ARKIB

KATEGORI

Buletin

Tiada F1 tiada masalah

Views

Jika semalam kami menaikkan satu artikel mengenai Singapura yang dijangka tidak menyambung kontrak untuk penganjuran F1 di negara tersebut selepas perlumbaan terakhir 2017, Malaysia turut mengikut jejak langkah yang sama. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata perlumbaan Formula 1 sudah menjadi terlalu mahal dan kurang menarik berbanding dengan MotoGP.

Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM300 juta untuk menganjurkannya, namun jumlah pengunjung ke litar dan tontonan di kaca televisyen semakin berkurangan selain harga tiket yang mahal mendorong kepada faktor tersebut. Kemeriahan F1 juga tidak sehangat dahulu walaupun pasukan Mercedes AMG Petronas yang membawa nama syarikat Malaysia muncul sebagai juara dunia kategori pengeluar sebanyak tiga kali.

Ketiadaan anak tempatan sebagai pemandu jentera F1 juga menjadi faktor kurangnya daya tarikan untuk ke Sepang lagi. Kali pertama dan terakhir anak Malaysia menjadi pemandu F1 hanyalah menerusi Alex Yoong yang pernah mewakili pasukan KL Minardi Asiatech pada 2001 dan 2002. Anda tentu masih ingat perkataan ‘Go KL’ terpampang pada jentera lumba pasukan tersebut kan? Itupun dah memakan belanja yang besar walaupun untuk beraksi bersama pasukan ‘tercorot’ ketika itu.

Minat rakyat Malaysia kini lebih terarah kepada sukan dua roda MotoGP yang sentiasa mencatatkan peningkatan jumlah penunjung ke litar setiap tahun. Mana tidaknya, aksi anak anak muda seperti Khairul Idham Pawi (SuperKIP) dan Hafiz Syahrin (Pescao) sentiasa dinantikan dan nama mereka meniti di bibir peminat. SuperKIP sahaja sudah dua kali membuatkan seluruh Malaysia rasa terharu kerana bangga dan teruja apabila lagu Negaraku berkumandang semasa di podium.

minardi2002-1

Pada awalnya, memang tujuan Malaysia membina litar Sepang dan menjadi penganjur F1 sehingga kini untuk mempromosikan nama Malaysia ke seluruh dunia serta menarik kedatangan pelancong. Selain itu juga ia akan mendorong kepada pembangunan sukan permotoran dan memupuk minat rakyat Malaysia kepada teknologi tinggi. Kini ia menjadi sebaliknya kerana kos untuk menampung ‘sarkas berteknologi tinggi’ ini semakin membebankan penganjur dan pulangannya juga tidak setimpal.

Jika ada penaja tempatan yang bermurah hati menajanya, habis segala duit akan dilaburkan untuk sukan tersebut dan menjadikan program pembangunan akar umbi dan acara permotoran tempatan sengsara akibat ketiadaan dana. Jika penganjuran F1 direhatkan buat seketika atau selamanya, dana ini boleh disalurkan untuk merancakkan semula acara permotoran tempatan dan mencungkil lebih ramai bakat bakat muda sukan permotoran negara.

Saingan pelumba dan jentera F1 sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga tidak ‘sehangat’ dahulu. Jika dahulu kita sentiasa menanti-nanti perebutan juara dunia antara dua lagenda, Michael Schumacher dan Mika Häkkinen, namun sejak beberapa pindaan peraturan dibuat oleh FIA setiap tahun, ia menjadikan sukan permotoran ini membosankan, jentera semakin perlahan dan kadang-kalanya rupanya nampak seperti makhluk asing yang pelik.

Sampai masanya Bernie Ecclestone yang merupakan pemilik francais perlumbaan F1, memikirkan jalan terbaik untuk menjadikan sukan F1 lebih menarik dan kos efektif pada masa akan datang. Beliau kini sedang pening kepala memikirkan nasib sukan tersebut kerana Jerman dan Brazil mungkin mengikut jejak Malaysia dan Singapura untuk tidak meneruskan perjanjian perlumbaan tersebut selepas 2017. Beliau juga tidak terkejut jika ada beberapa pengeluar termasuk juara dunia Mercedes akan keluar dari saingan tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

3 Comments


  • Mmm… kalau kosnya dah melampau2. mmg x mampu la nk menanggung biawak hidup tu. Hehe. Mmg elok la kalau M’sia x perbaharui penganjuran selepas 2018 tu jika trend pengunjung berkurangan dan tarikan penonton di media massa juga kurang.

    Mungkin la minat kat F1 nie agak ‘mondom’ sebb asyik2 petronas/merz jer yg menang. asyik2 hamilton n rosberg jer naik podium 1, 2:) tu yg jadi boring tu kot. Ekeke:)

    Cheers!


  • Dimaklumkan sebelum CBP diperkenalkan syarikat gergasi sangat bermurah hati menaja sukan beratus juta ringgit. Kerana jumlah tajaan dikecualikan cukai. Sejak CBP diperkenalkan syarikat penaja wajib Bayar penuh 6% CBP Dan tidak dikecualikan dari jumlah tajaan


  • hahaha.. saya suka ayat2 kat article ini…

    saya bersetuju 100% pandangan editor mengenai pengajuran F1 di Malaysia, matlamat utama tidak tercapai, dana RM300juta itu, ianya lebih baik mengutamakan program pembangunan sukan pemotoran tempatan.

    keep posting good article mr editor..

Leave a Reply