UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini telah mengumumkan pengenalan model-model Toyota Fortuner, Innova dan Hilux yang dinaik taraf. Tempahan ketiga-tiga model ini telah mula dibuka pada 3hb September 2018 dan pelancaran jualan serta penyerahannya pula akan dilakukan pada akhir bulan ini.
Model Toyota Fortuner dan Innova kini menerima tambahan warna baharu Phantom Brown yang turut diperkenalkan diperingkat global. Dengan penawaran ini, pelanggan Fortuner kini mempunyai enam pilihan warna berbeza, sementara bagi Innova pula hadir dalam tujuh pilihan warna.
Toyota kini sedang bergerak ke arah mencapai matlamat sifar kematian akibat kemalangan. Untuk itu, Fortuner kini menerima naik taraf dari sudut spesifikasi dengan sistem bantuan pemanduan yang lebih maju bagi semua empat varian yang ditawarkan. Sistem-sistem berkenaan merangkumi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Brek (BA), Kawalan Bantu Mendaki (HAC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC).
A-TRC merupakan tambahan terbaru kepada rangkaian sistem keselamatan yang membantu menjadikan cengkaman kenderaan lebih berkesan dalam situasi permukaan yang licin terutamanya dalam situasi pemanduan off-road selain permukaan jalan yang berlumpur. Ia akan mengesan kadar pusingan roda dan mengagihkan daya kilas di antara roda depan dan belakang untuk menghindari kadar pusingan yang berlebihan, seterusnya mengawal kenderaan daripada tergelincir.
Sistem berkenaan akan mengesan sekiranya satu atau lebih roda telah hilang kawalan cengkaman dan dengan secara automatik ia akan mengenakan brek pada roda yang tiada cengkaman dan membolehkannya untuk menghantar kuasa kepada roda yang mempunyai cengkaman. Ini sekaligus mengekalkan kestabilan kenderaan dan ia juga boleh dikendalikan dengan lebih baik semasa di selekoh.
JOM BACA >> INTIP : Proton Iriz ‘facelift’ ditemui lagi, kali ini lebih jelas!
Dibangunkan di bawah program Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV), Fortuner, Innova dan Hilux berkongsi DNA ketahanan dan ketangkasan yang sama. Fortuner dan Innova masing-masing mempunyai kapasiti tujuh dan lapan penumpang. Generasi terkini model-model terbabit menampilkan ciri-ciri seperti pintu kargo belakang berkuasa elektrik dan kawalan jelajah (hanya bagi Model Fortuner), sistem Smart Entry & Start, lampu utama LED dan tempat duduk pemandu dengan lapan arah pelarasan.
Sistem infotainmen dengan paparan skrin sentuh yang besar turut didatangkan dengan ciri tambahan, termasuk boleh dihubungkan kepada telefon pintar yang serasi dan juga kepada internet (capaian internet diperlukan). Bagi Hilux pula, generasi terbaharu yang ada ketika ini merupakan versi terbaik yang pernah dihasilkan.
Fortuner, Innova dan Hilux akan ditawarkan dengan jaminan selama 5-tahun tanpa had perbatuan bagi model Fortuner dan Innova. Semua pemilik kenderaan yang diedarkan oleh UMWT juga akan menikmati sokongan lepas jualan melalui rangkaian luas pusat servis rasmi seluruh negara.
Harga bagi Fortuner, Innova dan Hilux baru ini, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pendaftaran persendirian, tidak termasuk insurans:
- Toyota Fortuner (4 varian) bermula dari RM170,500 hingga RM195,600
- Toyota Innova (4 varian) bermula dari RM107,280 hingga RM132,400
- Toyota Hilux [Double Cab] (5 varian) bermula dari RM100,000 hingga RM138,000
JOM BACA >> Perodua Lancar Alza Berwajah Baharu – Tempahan Kini Dibuka
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI