Selepas mencatat rekod jumlah jualan industri (TIV) tertinggi 813, 521 unit tahun lalu, jualan automotif Malaysia mula mengalami penurunan pada bulan Januari.
Ini berikutan jualan yang tinggi pada bulan sebelumnya, selain musim perayaan Tahun Baru Cina yang telah memberi kesan kepada pembelian kereta baharu.
Jualan pada Januari 2025 dianggarkan sebanyak 50,278 unit, turun dengan agak ketara sebanyak 38.7 peratus berbanding 81,987 unit pada Disember 2024.
Berbanding jualan Januari tahun lalu, jumlah jualan juga menyusut sebanyak 24.9 peratus daripada 66,925 unit yang dicatatkan setahun yang lalu.
Pada Januari 2025 jualan Proton turut terjejas, dengan jumlah jualan sebanyak 9.914 unit (domestik + eksport + Proton e.MAS + kereta smart). Ini berbanding dengan 12,882 unit (kereta ICE sahaja) yang dicatatkan pada Januari 2024.
Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran diramalkan 19.7 peratus, meningkat daripada 18.7 peratus pada tahun lalu. Proton e.MAS 7 telah mengakhiri bulan pertama jualannya sebagai EV paling laris di Malaysia.
Selain itu, terdapat peningkatan jumlah eksport sebanyak 86.9 peratus berbanding tahun lalu, manakala tiga model Proton memulakan tahun ini sebagai peneraju dalam jualan segmennya.
Proton e.MAS 7, yang dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember, telah berjaya menerima sambutan hangat daripada bakal pembeli EV.
JOM BACA >> Proton bakal lancar sekurang-kurangnya empat model pada 2025 – Ini yang kami tahu…
Jumlah tempahan setakat ini telah berjaya melepasi angka 4,000 unit, dengan 3,000 unit tambahan kini ditawarkan dengan pakej manfaat pelancaran.
Penghantaran kepada pelanggan kini telah bermula, berikutan ketibaan kereta-kereta tersebut pada awal tahun ini. Pada bulan pertama operasinya, sebanyak 421 unit SUV EV segmen-C ini telah berjaya diserahkan kepada pelanggan.
Pencapaian ini meletakkan model tersebut sebagai EV terlaris di Malaysia dengan penguasaan 25 peratus pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari.
Unit unit terawal e.MAS 7 telah mula diserahkan kepada pemilik menerusi 30 buah cawangan pengedar Proton e.MAS yang telah mula beroperasi.
Lebih 80 peratus daripada tempahan yang diterima adalah bagi varian Premium dan ia dijangka akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baharu.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang, dala tempoh sebulan sahaja, Proton e.MAS 7 telah berjaya menerajui carta jualan EV, sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan sangat menarik.
Pelaburan Proton dalam infrastruktur dengan rakan niaga luar negara untuk mengembangkan jualan eksport, dilihat mula “menuai hasil” awal.
Jumlah eksport mencapai angka bulan pembukaan terbaiknya sejak tahun pertama kerjasama dengan Geely pada 2018, apabila 200 unit dieksport ke pasaran antarabangsa.
Sebagai perbandingan, hanya 107 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu. Proton Saga mendahului di pasaran eksport, diikuti oleh Proton X50 dan Proton S70.
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Proton Saga MC3@AMA01 kelihatan di Petron, dilengkapi sistem ADAS
Proton Saga turut menjadi model paling laris syarikat pada Januari, dengan jumlah keseluruhan 4,597 unit. Proton Persona, sedan segmen-B, dan Proton Iriz, hatchback segmen-B, masing-masing menyumbang 1,221 dan 291 unit.
Sementara itu, Proton X50 mendahului jualan segmennya dengan 1,436 unit, diikuti Proton X90 dengan 203 unit, dan Proton S70 dengan 1,143 unit.
Kesemua model Proton ini telah memulakan tahun 2025 dengan kedudukan teratas dalam kategori SUV segmen-B, SUV segmen-D dan sedan segmen-C. Proton X70, model SUV ketiga, mengekalkan prestasi jualan yang kukuh dengan 576 unit terjual pada bulan Januari.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, industri automotif berdepan risiko permulaan yang lembab pada tahun 2025.
Dengan jumlah terkumpul lebih daripada 1.6 juta kenderaan baharu yang dijual dalam dua tahun lepas, ramai pembeli berada dalam fasa pemilikan awal.
Oleh yang demikian, pasaran mungkin mengalami perubahan sementara dalam kitaran penggantian kenderaan baharu. Selain itu, pelbagai model baharu telah pun dilancarkan dalam tempoh setahun yang lalu.
Ini bermakna, penggiat industri perlu berusaha lebih gigih pada tahun 2025 bagi menarik perhatian pembeli dalam pasaran yang sudah tepu.
Proton memulakan tahun ini dengan peningkatan bahagian pasaran, hasil daripada permintaan yang lebih tinggi bagi model-model keluaran mereka berbanding penurunan TIV.
Jualan Proton e.MAS 7 menyumbang kepada angka angka tersebut, dan pihaknya yakin jualan EV baharu ini akan terus meningkatkan prestasi bulanan syarikat.
Tambah Roslan, Proton telah mengumumkan beberapa rancangan bagi model baharu dan sedia ada untuk baki tahun 2025.
Proton berharap ini akan membantu pihaknya untuk kembali ke landasan pertumbuhan jualan keseluruhan pada tahun ini.
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua
JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?
KOMEN TERKINI