ARKIB

KATEGORI

Info

INFO: Proton Iriz MC2 bakal guna kotak gear baharu?

Views

Ini info yang pastinya ditunggu-tunggu oleh semua! Kami mendapat beberapa maklumat terbaharu mengenai Proton Iriz MC2 dari salah seorang rakan pembaca, Sam Lee. Beliau telah terserempak dengan sebuah unit ujian Iriz MC2 semasa di stesen Petronas Hicom bersebelahan Proton COE malam tadi dan sempat berbual dengan pemandu unit ujian tersebut.

Pada mulanya pemandu unit ujian tersebut agak keberatan untuk berkongsi maklumat untuk menjaga kerahsiaan, namun salah satu pertanyaan yang dijawab adalah berkaitan kotak gear atau transmisi yang digunakan pada model itu. Apa yang menarik, transmisi CVT buatan Punch yang digunakan ketika ini bakal ‘digantikan’ dengan transmisi automatik 4-kelajuan atau 5-kelajuan yang dibekalkan oleh Geely.

Walaubagaimanapun, agak malang sedikit kerana foto bahagian dalaman unit ujian Iriz MC2 itu tidak dapat dirakam kerana ia tidak dibenarkan oleh pemandu unit ujian tersebut. Mungkin untuk mengelakkannya pelbagai spekulasi dibuat sebelum pelancarannya nanti sekiranya foto tersebut berlegar di laman sosial lebih awal.

JOM BACA >> INTIP: Stok Proton X70 mula tiba, Iriz MC2 ronda-ronda dekat McD

Namun begitu, Sam Lee memberitahu kami beberapa perubahan yang beliau nampak seperti kehadiran unit maklumat hibur (infotainment), panel meter, tempat duduk belakang dan kemasan warna dalaman yang baharu. Nampak gayanya Proton begitu serius untuk menaik taraf Iriz untuk menggugat ‘ketuanan’ Myvi sebagai Raja Kereta Kompak di negara ini. Bukan sekadar perubahan kosmetik luaran dan dalaman, transmisi CVT yang selalu ‘menghantui’ pemilik Iriz bakal digantikan dengan transmisi yang baharu.

Apa pun, kita kena tunggu sedikit masa lagi sebelum Iriz MC2 dilancarkan kerana ia hanya berada di pasaran pada awal tahun hadapan. Mungkin jika kita bernasib baik, Proton akan membawanya ke Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, yang akan diadakan dari 23 November hingga 2 Disember 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Nantikan kemunculannya! Moh ler kita membawang di ruangan komen!

JOM BACA >> INTIP: Proton Iriz MC2 sah pakai antena sirip jerung

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

6 Comments

Leave a Reply