ARKIB

KATEGORI

Spyshots

INTIP: Stok Proton X70 mula tiba, Iriz MC2 ronda-ronda dekat McD

Views

Selamat pagi semua! Pagi-pagi ini kami nak membuka cerita dengan dua foto intipan berbeza. Ok, kita mulakan dengan foto intipan pertama dulu. Rakan pembaca kami, AbdulRahim Mansor telah berjaya mengesan kelibat sebuah treler pengangkut kereta yang membawa beberapa ‘bungkusan misteri’ berwarna hitam di lebuh raya Kesas berhadapan dengan Pusat Kecemerlangan Proton.

Menurutnya bungkusan misteri tersebut berbentuk seperti sebuah SUV dan jika diperhatikan betul-betul, kain pembungkus kenderaan tersebut terselak sedikit di bahagian bawah dan menampakkan bentuk rimnya. Apabila dibuat perbandingan, ia kelihatan sama seperti rim Proton X70. Adakah ini stok X70 (CBU) yang mula tiba dari China?

Kami diberitahu memang stok terawal Proton X70 akan tiba di Malaysia bermula hujung bulan ini dan bakinya akan menyusul secara berperingkat. Stok X70 ini akan bertapa dalam gudang di Tanjung Malim terlebih dahulu sementara menanti detik pelancaran yang katanya pada bulan Disember nanti, namun kami masih belum mendapat pengesahan rasminya lagi.

JOM BACA >> INTIP: Proton Iriz MC2 sah pakai antena sirip jerung

Foto intipan kedua pula, Iriz MC2 (Minor Change 2) yang masih berceloreng penyamaran kami perolehi dari Facebook Syamsul Azhar. Lokasi penemuan tidak dapat dipastikan namun ia berjaya dikesan berhampiran sebuah restoran makanan segera, McDonalds. Kali ini foto bahagian belakangnya lebih jelas kelihatan dan menampakkan sedikit bentuk lekuk bamparnya yang kami jangka menggunakan dua tona warna untuk membezakan bampar dengan diffuser.

Untuk mengetahui apakah kelainan dan peniingkatan yang dibuat pada model tersebut, anda boleh ketik pautan ini. Iriz MC2 hanya akan berada di pasaran mulai awal tahun hadapan dan kami jangka Proton akan membawanya ke Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, yang bermula dari 23 November hingga 2 Disember 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur untuk membuat kemunculan awal.

JOM BACA >> INTIP: Proton Iriz MC2 ‘ronda-ronda’ KL lagi, wajah hadapan kini lebih jelas kelihatan

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply