ARKIB

KATEGORI

Buletin

Meskipun disaing hebat oleh jenama lain, permintaan untuk model X-Series Proton kekal utuh

Berita Tempatan

Views

SUV pertama Proton, X70 telah dilancarkan pada tahun 2018, setahun selepas kerjasama mereka dengan Geely.

Tujuh tahun kemudian, dua lagi SUV dilancarkan dan setiap satunya dengan kemas kini seterusnya, menjadikannya terus relevan di pasaran.

SUV segmen B, Proton X50 muncul sebagai SUV terlaris jenama nasional itu dengan mencatat jumlah jualan sebanyak 23,647 unit pada tahun lepas.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan peneraju pasaran dalam segmennya selama empat tahun berturut-turut sejak 2021, meskipun mendapat persaingan sengit daripada jenama lain.

Pengenalan X50 2024 pada 4 Jun tahun lalu telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan jumlah tempahan mencecah 8,000 unit dalam bulan pertama.

Tahun lalu, X50 2024 mencatat jualan sebanyak 13,780 unit yang mewakili 58.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan model ini. Berikutan kejayaan itu, Proton melancarkan X50 Edisi Sport (SE) pada 17 Januari lalu.

Sejak dilancarkan, ia telah menerima 941 tempahan dengan 299 unit telah didaftarkan dalam masa kurang dari sebulan. X50 SE memberikan penampilan yang lebih bergaya dan mewah, di samping mengekalkan prestasi, keselamatan, dan teknologi termaju.

JOM BACA >> Proton bakal lancar sekurang-kurangnya empat model pada 2025 – Ini yang kami tahu…

Kajian terbaru terhadap lebih 1,300 pelanggan mendapati bahawa pemilik Proton X50 tertarik kepada gabungan ciri-ciri, prestasi enjin, serta ruang kabin yang luas.

Seramai 43 peratus responden menyatakan kenderaan ini mempunyai lebih banyak ciri berbanding pesaing, dan 35 peratus daripadanya menghargai prestasi pemanduan yang cemerlang.

Selain itu, 30 peratus menekankan kecekapan bahan api dan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang sebagai penyumbang penting kepada keputusan pembelian mereka.

Lebih menarik, 20 peratus daripada pembeli X50 sebelum ini memiliki kereta Proton , tetapi majoriti besar iaitu 80 peratus merupakan pelanggan yang beralih daripada jenama lain.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 38 peratus pembeli merupakan pembeli kereta kali pertama, 38 peratus lagi menggantikan kereta mereka yang lama, dan 25 peratus membeli kereta tambahan untuk keluarga mereka.

Sebagai tambahan, tinjauan mendapati bahawa 19 peratus daripada para pembeli merupakan golongan yang bekerja sendiri, manakala 46 peratus lagi bekerja di sektor swasta.

SUV segmen-D Proton iaitu X90, terus mendominasi pasaran sejak dilancarkan dua tahun lalu, dengan 3,553 unit diserahkan pada tahun 2024.

Para pembeli tertarik dengan kombinasi prestasi pemanduan yang baik, ruang penyimpanan yang luas, dan nilai yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

Sekitar 30 peratus daripada pembeli memilih kereta ini kerana prestasi pemanduan yang menyakinkan, sementara 27 peratus lagi tertarik dengan ruang penyimpanan yang luas, nilai yang berbaloi dengan wang, serta jumlah ciri yang ditawarkan berbanding pesaing.

JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Proton Saga MC3@AMA01 kelihatan di Petron, dilengkapi sistem ADAS

Tambahan pula, pemilik X90 mempunyai keluarga dan anak-anak dengan profil pembelian yang serupa dengan X50. Hanya 17 peratus pembeli yang pernah memiliki kereta Proton sebelum ini, selebihnya pula adalah pemilik kereta daripada jenama lain.

Model SUV segmen-C Proton, X70 2025 telah dilancarkan pada Ogos tahun lalu, dan mencatatkan jualan sebanyak 5,628 unit. Jumlah ini mewakili 62.6 peratus daripada keseluruhan jualan sebanyak 8,992 unit pada tahun 2024.

Berdasarkan tinjauan terbaru yang sama, antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan pembelian adalah kecekapan penggunaan bahan api, ciri-ciri yang ditawarkan, dan prestasi enjin.

Didapati bahawa 13 peratus pembeli adalah pembeli kereta kali pertama, 53 peratus menggantikan kereta lama mereka, dan 35 peratus membeli kereta tambahan.

30 peratus pelanggan menyatakan kecekapan bahan api sebagai faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka, manakala 28 peratus menyukai ciri-ciri tambahan berbanding pesaing dan 23 peratus lebih menyukai prestasi pemanduan yang cemerlang.

X70 2025 menawarkan pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya, merangkumi gaya luaran yang diperbaharui, kelengkapan dalaman yang terkini, dan teknologi keselamatan ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf.

Hanya 14 peratus pembeli sebelum ini memiliki kereta Proton, menunjukkan bahawa 86 peratus daripada jualan adalah hasil daripada penaklukan pasaran, iaitu pelanggan yang beralih daripada jenama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, respons positif pasaran terhadap barisan model keluaran Proton adalah bukti jelas kepercayaan dan kesetiaan yang telah diraih mereka daripada pelanggan.

Tambah beliau, Proton akan terus berdedikasi untuk menghasilkan kenderaan yang memberikan prestasi cemerlang, ciri-ciri menarik, dan nilai yang berbaloi, pada masa yang akan datang.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua
JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply