ARKIB

KATEGORI

Buletin

Mitsubishi tayang ASX facelift – Bakal buat kemunculan di Geneva bulan depan

Berita Global

Views

Sebenarnya kami macam tidak percaya Mitsubishi ASX akan melalui satu lagi fasa facelift, kerana ingat ia telah digantikan dengan sebuah lagi model SUV kompak iaitu Eclipse Cross. Semalam Mitsubishi telah menayangkan model ASX berwajah baharu yang kini tampil dengan perubahan yang agak besar terutama di bahagian hadapan.

Model ini ada beberapa nama, di Asia ia turut dikenali dengan nama RVR, manakala di Amerika Utara ia dinamakan sebagai Outlander Sport. Jika sebelum ini ASX hanya berubah di bahagian bampar dan jeriji yang telah menampilkan unsur Dynamic Shield, versi facelift kali ini wajahnya berubah secara keseluruhannya.

Ia menampilkan muncung hadapan serba baharu, bermula dari hud hingga ke bahagian bampar. Reka bentuknya kini nampak segar dan moden serta mengikut gaya rekaan terkini model sedia ada seperti Eclipse Cross, Outlander dan juga Triton.

Dari depan ia nampak lebih lebar kerana rekaan lampu hadapannya yang nipis manakala jeriji Dynamic Shieldnya pula ditarik memanjang bagi menampakkan susuk tubuhnya yang lebih tengap dan sasa. Di bahagian sisi dan belakang ia masih mengekalkan hampir keseluruhan rekaan asal dengan perubahan minima.

JOM BACA >> INTIP : Proton uji X70 enjin 1.5 TGDI dengan transmisi 7-kelajuan DCT naik Genting Highlands?

Kemasan yang seakan sirip kemasukan udara dengan kemasan krom berkilat kini diletakkan pada bucu lengkung tayar di mana garisan sisi badan bermula. Lampu belakangnya kini lebih menarik dan nampak timbul seolah-olah 3 dimensi dengan susunan LED di dalamnya.

Apabila ia menyala, bentuk lampunya seakan “Tukul Thor” yang menjadi identiti model Volvo. Bampar belakangnya juga turut menampilkan rekaan serba baharu dengan kemasan warna perak pada diffusernya dan kini ia dilengkapi dengan lampu kabus.

Perubahan di dalam kabin agak minima, yang berbeza hanyalah kehadiran skrin sistem infohiburannya yang lebih besar bersaiz 8-inci. Keseluruhan kabinnya menggunakan warna hitam dengan sedikit kemasan hitam piano di tengah-tengah papan pemuka.

ASX facelift akan menampilkan tiga warna baharu iaitu Red Diamond, Sunshine Orange dan Oak Brown. Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0-liter MIVEC yang digandingkan dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau CVT enam-kelajuan INVECS 3-III dengan Mod Sport.

ASX facelift turut ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda dan bakal membuat kemunculan secara rasmi di Geneva Motor Show 2019 yang bakal berlangsung pada awal bulan hadapan. Kami tidak pasti sama ada model ini akan di bawa ke pasaran Malaysia pada masa akan datang, jika ada ia mungkin memberi saingan kepada SUV segmen-B sedia ada seperti Honda HR-V dan Toyota C-HR, mungkin juga Proton X50 nanti.

JOM BACA >> Proton tayang foto rasmi pertama Iriz berwajah baharu – Kini dengan fungsi Arahan Suara

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply