ARKIB

KATEGORI

Buletin

Pasukan Malaysia bolot empat anugerah di Shell Eco-Marathon Asia 2016

Views

Empat pasukan wakil Malaysia di Shell Eco-Marathon Asia 2016 yang berlangsung di Manila, Filipina mengharumkan nama negara dengan berjaya membolot empat anugerah yang dipertandingkan dalam acara tersebut. Dua daripada empat anugerah tersebut telah dimenangi dari pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan masing-masing satu dari pasukan Universiti Malaya (UM) dan Monash University Malaysia.

Tahun ini, pasukan UiTM Eco-Sprint dari UiTM Shah Alam Malaysia berjaya melakar kejayaan hat-trick sebagai juara dalam kategori Prototype Hydrogen Fuel Cell dengan mencatat rekod perbatuan 476 km/m3. Satu lagi pasukan dari UiTM , UiTM Eco-Planet berjaya memenangi kategori UrbanConcept Hydrogen Fuel Cell buat kali yang kedua, dengan memperkenalkan kereta yang dicetak secara 3-D dengan menggabungkan 120 komponen dicetak secara berasingan. Setiap komponen mengambil masa sepuluh jam untuk disiapkan.

“Kami memilih untuk mencetak kereta secara 3-D kerana ia lebih ringan, ekonomikal, mengurangkan proses dan memastikan tiada kesilapan semasa fabrikasi. Kami hanya mempunyai pencetak 3-D bersaiz kecil dan memerlukan 1,200 jam untuk mencetak keseluruhan komponen yang dipasang apabila tiba di Manila,” kata Mohd Syafiq Akmal Samsudin dari Pasukan UiTM Eco-Planet.

Pasukan Eco-Voyager dari Universiti Malaya (UM) berjaya memenangi tempat kedua dalam kategori Prototype Hydrogen Fuel Cell dengan mencatat rekod perbatuan 244km/m3 sekaligus memperbaiki kedudukan mereka pada tahun lalu. Pasukan Eco-Chaser dari Monash University Malaysia pula telah berjaya memenangi tempat teratas dalam kategori Prototype Compressed Natural Gas (CNG), mencatat rekod perbatuan 95km/l, yang hampir menyamai jarak pemanduan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson dengan hanya menggunakan seliter petrol.

Seramai 117 pelajar dari 17 negara seluruh Asia, Timur Tengah dan Australia telah mengambil bahagian dalam pertandingan pada tahun ini. Pertandingan ini mencabar para pelajar untuk merekabentuk, membina dan memandu kereta paling cekap-tenaga dengan fokus unik, untuk pergi lebih jauh, bukan lebih laju. Keputusan dikira mengikut jarak pemanduan paling jauh yang bersamaan 1 kWh atau seliter petrol.

Pasukan menghantar kenderaan mereka dalam kategori Urban Concept atau Prototype dengan memilih salah satu daripada tujuh tenaga yang berbeza : petrol, diesel, petrol alternatif (ethanol 100), diesel alternatif (Gas Shell ke cecair atau asid lemak metil ester), bateri elektrik, atau sel bahan api hidrogen.

Dalam kategori “Prototype”, para pelajar akan menumpukan kepada kenderaan yang cekap bahan api melalui elemen-elemen reka bentuk yang inovatif, seperti pengurangan seretan (drag). Kategori “Urban Concept” akan memberi tumpuan kepada lebih banyak kenderaan jimat minyak yang bertujuan untuk memenuhi keperluan hidup sebenar pemandu.

“Shell Eco-Marathon bertujuan untuk memenuhi kehendak dunia kepada lebih banyak tenaga mesra alam, terutama sekali apabila ia berkaitan dengan mobiliti pada masa depan. Shell berbangga kerana Eco-Marathon telah berjaya menjadi plaform utama pelajar Malaysia untuk membangunkan dan menonjolkan bakat mereka dalam bidang sains, kejuruteraan, teknologi, perniagaan, pemasaran dan komunikasi yang secara tidak langsung membantu menjadikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.” kata Leigh Wong, jurucakap Shell Malaysia.

Shell Eco-marathon 2016 juga menunjukkan komitmen Shell untuk membantu dunia dalam pertumbuhan keperluan tenaga dengan cara yang lebih bertanggungjawab, menggabungkan pelajar, rakan niaga dan juga orang awam.

25390678651_2d288e507d_k 25461477771_cabbdd9994_k 25546842275_84aab50876_k UiTM Black Panthera - 120 Individually  3D Printed Pieces

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply