ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua Myvi cecah angka sejuta unit

Views

Perodua sekali lagi mencatat sejarah dengan pengeluaran unit yang kesejuta model Myvi  dan ini sekaligus menjadikannya model paling banyak dikeluarkan oleh pengeluar kereta nasional kedua tersebut. Sejak diperkenalkan pada Mei 2005, Myvi menjadi kereta nombor satu di Malaysia dan memegang takhta tersebut sehingga penghujung 2014. Selepas itu Myvi meneruskan kehebatannya sebagai antara model paling laris jualannya di Malaysia.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, Perodua Myvi telah menetapkan satu standard baharu kepada syarikat dalam penawaran produk dan juga jangkaan pelanggan. Myvi juga akan menjadi penanda aras bagi model-model Perodua pada masa depan. Satu majlis khas bagi memperingati peristiwa ini telah diadakan di kilangnya di Sungai Choh, Rawang dan telah dirasmikan oleh Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB), Encik Masanori Takahashi dan Naib Presiden PCSB, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Berdasarkan pengiraan dalaman, semua model keluaran Perodua, Myvi, Alza, Axia dan Bezza masih mengekalkan kedudukan mereka sebagai kereta pilihan dalam segmen masing-masing. Bagi lima bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 81,900 unit kenderaan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus berbanding 77,300 unit yang telah terjual pada tempoh yang sama tahun lalu. Perodua juga menganggarkan jumlah keseluruhan industri untuk lima bulan pertama tahun ini akan mencecah 233,700 unit. Berdasarkan jumlah ini, bahagian pasaran Perodua untuk tahun 2017 setakat ini adalah pada 35 peratus dan optimis dapat mencapai sasaran jualan 202,000 unit kenderaan tahun ini walaupun keadaan pasaran yang sukar dan mencabar.

Myvi juga telah dieksport ke-enam buah negara sejak 2006, dan antara negara-negara tersebut termasuklah Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal menggunakan jenama Perodua, manakala pasaran eksport terbesar Myvi setakat ini adalah di Indonesia dengan hampir 31,000 unit telah dijual sejak 2007 menggunakan jenama Daihatsu Sirion. Secara keseluruhan, Perodua telah mengeksport sebanyak 35,400 unit model Myvi/Sirion sejak 2006 dipasaran tersebut.

Syabas Perodua!

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply