ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua pamer keupayaan masa hadapan di KLIMS18 – Perkenal model X-Concept

Views

Perodua memberi peluang kepada para pengunjung Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) untuk melihat keupayaan masa hadapannya, terutama sekali dari segi konsep reka bentuk. Bertemakan Illumination (pencahayaan), sudut pameran Perodua menggambarkan visi dan cita-cita mereka untuk terus mencetuskan idea-idea yang sejajar dengan keperluan dan kehendak pelanggan masa hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata sudut pameran KLIMS18 Perodua menawarkan satu kilasan kepada arah yang mungkin mereka jejak untuk memenuhi jangkaan para pelanggan mereka yang sentiasa berkembang. Perodua memperkenalkan X-Concept hari ini yang merupakan sebuah kenderaan konsep berteknologi tinggi yang menuju ke arah aspirasi dan gaya hidup masa hadapan.

Para pengunjung dialu-alukan untuk berhubung dengan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Perodua dengan memberi maklum balas dan pandangan mereka terhadap X-Concept. Dengan menampilkan bentuk dinamik hatchback, ciri-ciri menarik Perodua X-Concept termasuk jeriji hadapan dan logo Perodua yang diterangi LED, lampu hadapan LED berbentuk Y, lampu isyarat membelok yang berurutan dan pintu tanpa tiang-B apabila dibuka.

JOM BACA >> INTIP : Adakah ini Proton Persona facelift 2019?

Di bahagian dalaman, X-Concept mempunyai susun atur papan pemuka futuristik yang mengelilingi panel instrumen TFT, skrin sesentuh tengah bersaiz 12.9 inci dan stereng rata di bahagian bawah. Seiring dengan tema Beyond Mobility KLIMS18, Perodua X-Concept adalah lebih daripada sekadar kenderaan. Ia merupakan manifestasi visi Perodua masa hadapan di mana kenderaan menjadi kenyataan gaya hidup dan dipenuhi dengan teknologi terhubung (connected technology).

Para pengunjung turut berpeluang untuk ‘memandu’ dan mengalami sendiri X-Concept, secara realiti maya (VR). Reruai Perodua turut mempamerkan Myvi GT, satu percubaan reka bentuk yang meneroka versi Myvi yang lebih sporty. Kenderaan ini mempunyai bumpar hadapan dan belakang yang tampil lebih agresif, sistem brek yang dinaik taraf serta rim sport bersaiz 17 inci, kerusi bucket Alcantara dan stereng rata di bahagian bawah.

Peminat teknikal akan teruja dengan pameran penjana tenaga generasi seterusnya yang dibangunkan oleh rakan teknikal Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan, dan akhir sekali, para pengunjung juga boleh mengintai-intai bakal SUV tujuh-tempat duduk terbaharu (D38L) yang akan dilancarkan nanti. Pengunjung juga boleh bermain permainan interaktif, menyertai peraduan digital dengan hadiah-hadiah menarik di reruai Perodua yang terletak di Aras 1, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai esok hingga 2 Disember ini.

JOM BACA >> PANAS: Ottimo bakal perkenal moped ‘harga marhaen’ tidak lama lagi!

KLIK UNTUK BESARKAN

X-Concept

Myvi GT

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply