ARKIB

KATEGORI

Buletin

Proton Perdana FL concept 2018

Views
Proton Perdana FL concept 2018

Akhirnya, setelah sekian lama menanti, Saharudin Busri atau Wak telah menghantar kepada kami imej 3D penuh model Proton Perdana FL concept 2018. Foto acahnya mula kami paparkan dua bulan lalu beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri. Sekali pandang, ia seakan sebuah model Mercedes-Benz atau KIA Stinger versi Proton terutama dari arah depan.

Bentuk lampu utama, jeriji dan bampar hadapan telah direkabentuk semula dengan lebih perincian supaya ia kelihatan sebuah sedan mewah buatan Eropah. Jeriji utamanya kini lebih besar sekaligus menampakkan kegarangan sedan segmen-D ini. Kami cukup tertarik pada sayap Proton versi baharu yang kelihatan seperti hulu keris sedang memegang lambang Proton di tengahnya.

Lampu hadapannya kini mempunyai jalur LED yang berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan pada sisi kiri dan kanan bampar hadapannya juga kelihatan 3 lapis susunan LED yang berfungsi sebagai lampu kabus. Bampar hadapan nampak lebih maskulin dengan permainan dua-tona warna.

Ke bahagian sisi, Saharudin masih mengekalkan profil asal model penderma model Perdana iaitu Honda Accord generasi kelapan dengan mengubahsuai bentuk bucu tingkap kecil di bahagian tiang D supaya nampak lebih tajam. Ia diperhalusi pula dengan kemasan krom pada bahagian bingkai bawah tingkap untuk menyerlahkan kemewahannya.

JOM BACA >> Adakah Ini Perodua Alza Facelift 2018?

Selain itu, sirip kemasukan udara juga telah ditambah pada bahagian bucu atas gerbang tayar hadapan dan model konsep ini juga diberikan skirting dua tona di bahagian sisi. Rim aloinya juga diberi sentuhan rekaan baharu dengan gabungan kemasan krom dan hitam. Ke bahagian belakang, lampu asal model semasa Perdana juga telah direkabentuk semula.

Lampu belakang model konsep ini bersambung dan membentuk satu jalur melintang panjang dan dihiasi pula dengan sedikit kemasan krom di tengahnya. Sekali imbas ia seperti model generasi baharu Hyundai Grandeur dan ada kalanya penulis mata melihatnya seperti sebuah model Audi.

Bampar belakangnya juga telah direkabentuk dengan cukup baik, lebih kemas dan ringkas sekaligus melengkapkan rupa keseluruhan model ini. Kehadiran corong ekzos berkembar di bahagian diffuser sudah cukup memberikan gambaran yang model ini berprestasi tinggi. Untuk menaikkan mood dan menjadikan model 3D ini seakan ‘hidup’, Saharudin telah menggabungkan karya 3Dnya dengan berlatarbelakangkan bandar Muar, tempat kelahirannya.

Penulis amat teruja dengan satu foto Proton Perdana FL concept 2018 di tepi esplanade pada waktu senja yang nampak cukup anggun dan bergaya. Jika kami tidak memberitahu ia hanyalah sebuah imej 3D sudah pasti ramai yang akan percaya model ini sememangnya wujud di aalam nyata kan? Apa pendapat anda mengenai hasil karya terbaharu Saharudin Busri ini? Pada pandangan peribadi penulis, rekaan ini sememangnya ‘wow’ dan mempesokan!

JOM BACA >> INTIP : VISI 2020 – Adakah SUV Misteri Ini Model Pertama Kereta Nasional Ketiga?

KLIK UNTUK BESARKAN

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply