ARKIB

KATEGORI

Buletin

Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group terbesar di Asia Pasifik dibuka secara rasmi

Views

BMW Group Malaysia telah merasmikan pembukaan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau baharunya di Zon Industri Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru. Terletak di atas tanah seluas 775,000 kaki persegi di Zon Industri Bebas dan melibatkan pelaburan lebih RM130 juta, pusat ini merupakan salah sebuah kemudahan BMW yang terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik. Ia akan menyokong lebih 23 buah negara di rantau ini sebagai gudang logistik serta pusat pengedaran alat ganti untuk alat ganti selepas jualan, komponen dan barangan gaya hidup bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Berucap pada majlis perasmiannya, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Azman Mahmud, berkata, pusat ini dibuka tepat pada masanya dan Malaysia juga berasa bangga kerana BMW telah memilih Johor sebagai tapak lokasi pusat tersebut. Ia juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan terhadap rakyat Malaysia selain pertukaran pengetahuan teknologi akan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih inovatif dan berbakat.

Naib Presiden Kanan Rantau Asia, Pasifik dan Afrika Selatan BMW Group, Hendrik von Kuenheim berkata, Malaysia akan menjadi pasaran utama yang akan menyokong hala tuju strategik perniagaan BMW Group dalam usaha meluaskan lagi pengaruh di rantau ini. Dengan pembukaan pusat ini ia akan membantu BMW Group untuk terus memacu visi kami menawarkan yang terbaik dalam inovasi automotif serta nilai kepada para pelanggannya.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Han Sang Yun pula berkata, Sejak beroperasi selama 14 tahun di Malaysia, BMW Group Malaysia bukan sahaja mengukuhkan posisinya selaku peneraju dalam menyediakan mobiliti mapan dan individual, malah sebagai sebuah organisasi yang menunjukkan pertumbuhan dalam semua aspek. Selain peningkatan pelaburan ke dalam negara, pusat ini bakal menyaksikan pelanggan di seluruh rantau ini terus dapat menikmati kebolehdapatan dan tempoh lebih pantas dari segi penghantaran alat ganti selepas jualan, komponen dan barangan gaya hidup ke para pengedar BMW.

Siap sepenuhnya pada Disember 2016, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group menjadi fasa pertama pembinaan kemudahan pembuat kenderaan premium itu. Kemudahan itu akan memanfaatkan lokasinya yang strategik dan infrastruktur moden, di samping akses pelabuhan laut dan udara di Zon Industri Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Pusat pengedaran alat ganti baharu itu akan membekalkan barangan ke Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Macau, Filipina, Brunei, Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Mongolia, Sri Lanka, Tahiti, New Caledonia, Fiji dan Guam. Pusat baharu itu juga dijangka menawarkan 120 peluang pekerjaan.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply