Inilah yang dikatakan “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Sejak kejadian kes pergaduhan yang berlaku Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang pada 24 Disember lalu, kunjungan pengguna lebuh raya ke hentian tersebut semakin berkurangan. Menurut Berita Harian, salah seorang pekerja gerai makanan di hentian tersebut berkata, sebelum insiden itu, peniaga gerai makanan mampu menjana keuntungan RM1,000 sehari, namun sekarang nak dapat RM500 pun susah.
Tambahnya lagi, sepatutnya cuti musim sekolah dan cuti hujung minggu ramai pengguna lebuh raya akan singgah, tetapi disebabkan kes itu tular mereka menjadi mangsa. Walaupun insiden pergaduhan dikatakan bermula dari kawasan R&R Gambang arah timur namun, kawasan perniagaannya turut terkena tempias.
Dia yang sudah bekerja di kawasan R&R Gambang arah barat sejak 13 tahun lalu mengakui sudah tidak melihat kelibat pemandu bas ekspres untuk singgah di kawasan itu untuk membeli makanan mahupun untuk berehat. Tindakan boikot itu menyebabkan mata pencarian penduduk sekitar turut terjejas dan berharap orang ramai tidak memboikot hentian tersebut kerana kejadian tersebut masih dalam siasatan pihak polis.
JOM BACA >> Mungkin inilah rupa SUV baharu Perodua
Salah seorang peniaga gerai di hentian sama pula berkata disebabkan gerainya bernombor enam, dia dan keluarga turut menerima tempias perniagaan disebabkan berlaku salah faham yang mengatakan dia dan keluarga menjadi penyebab kepada pergaduhan itu. Padahal kejadian tersebut berlaku di R&R arah timur (arah bertentangan) tetapi pengguna lebuh raya ingat gerai mereka yang menjadi puncanya.
Insiden itu juga menyebabkan beberapa gerai lain terkesan daripada segi pendapatan dan jumlah kehadiran pelanggan semakin berkurangan. Sepatutnya ia tidak berlaku kerana ketika ini musim cuti sekolah dan cuti perayaan. Tinjauan mendapati, kehadiran pelanggan sememangnya semakin berkurang berbanding kebiasaan.
Bagaimanapun, difahamkan sudah ada usaha dan perbincangan dilakukan antara pengusaha gerai dan wakil ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya LPT untuk mencari jalan penyelesaian yang dihadapi peniaga. Kami difahamkan, sejak kejadian itu beberapa pemandu bas ekspres mula berhenti rehat di R&R Perasing, Terengganu.
Sebelum ini, hentian tersebut sering dimomokkan dengan kisah-kisah seram dan menakutkan kerana kedudukannya yang sedikit tersorok. Kami berharap agar peniaga di sana tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan jika tidak, hentian tersebut pula yang akan diboikot nanti.
JOM BACA >> RAMALAN : Model apakah yang bakal dikeluarkan oleh Proton dan Perodua tahun depan?
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI