Tinggal 3 hari lagi sebelum kita semua melangkah ke tahun baharu 2019. Sepanjang tahun ini kita telah menyaksikan pelbagai model baharu yang dilancarkan di Malaysia. Untuk 2019, kami jangka ia sekali lagi bakal menjadi tahun SUV negara kerana trend global sememangnya kini terarah kepada segmen tersebut.
Pemain tempatan seperti Proton dan Perodua pastinya tidak akan berdiam diri dan mereka bakal menyerang pasaran tahun depan dengan pelbagai produk yang menarik. Jadi, model apakah yang bakal dikeluarkan oleh Proton dan Perodua tahun depan? Ini adalah ramalan kami.
Proton
1. Iriz MC2 dan Persona facelift
Model naik taraf dengan perubahan kosmetik dan juga lebih penghalusan dari segi NVH ini semakin kerap ditemui sejak kebelakangan ini. Yang terkini, dua beradik ini telah dikesan sekitar lebuh raya ELITE semasa cuti Hari Krismas lepas. Menurut risikan kami model Iriz MC2 akan dilancarkan terlebih dahulu pada awal tahun depan dan Persona facelift bakal menyusul kemudian.
2. Proton X70 versi pemasangan tempatan (CKD)
Model SUV pertama Proton ini bakal memulakan fasa keduanya iaitu versi pemasangan tempatan (CKD) sekitar bulan Oktober depan dan ia kini telah mencatatkan tempahan melebihi 15,000 unit setakat ini. Dikatakan versi CKD nanti akan mempunyai pilihan enjin 1.5 liter TGDI dan kami jangka ia akan ada perubahan dari segi kosmetik sekiranya versi 2019 Geely Boyue dibawa masuk ke sini nanti.
3. Proton X50 @ Geely Bin Yue @ SX11
Model SUV kompak yang paling dinantikan oleh kami ini dijangka bakal memasuki pasaran seawal tahun depan. Kami jangka Proton tidak akan melengahkan lagi pengenalannya ke pasaran Malaysia. Adik kepada X70 ini dijangka menjadi ‘SUV marhaen’ kerana di China, tanda harga yang diletakkan pada model ini adalah antara RM47,000-RM72,000 (78,800 Yuan-118,800 Yuan). Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya ketik sahaja pautan ini.
4. Proton Prevé baharu @ Geely Bin Rui @ FE6
Memandangkan model Prevé bakal bersara wajib tidak lama lagi, kami jangkakan Proton sudah ada calon penggantinya dan mungkin tahun depan adalah masa yang sesuai untuk melancarkan model serba baharu. Kami rasakan model sedan Geely Bin Rui adalah calon yang tepat dan menurut risikan kami, Proton sedang membangunkan sebuah sedan segmen C serba baharu dengan namakod FE6.
JOM BACA >> INTIP : Proton uji Iriz MC2 dan Persona facelift semasa cuti Krismas?
Perodua
1. SUV Perodua @ D38L @ Perodua Aruz
Kembar kepada Daihatsu Terios dan Toyota Rush ini kami jangka akan dilancarkan seawal Januari tahun depan. Sepatutnya model dengan namakod D38L ini dijadualkan untuk menjadi model 2018, namun Perodua telah menganjakkan tarikhnya supaya menjadi model 2019. Setakat ini Perodua telah memberi beberapa petunjuk dan mengeluarkan iklan serta video acah model tersebut di laman rasminya. Desas-desus mengatakan nama Aruz telah dipilih untuk model tersebut.
2. Model pengganti Axia @ Perodua X-Concept versi produksi
Masih ingat lagikah anda pada model Perodua X-Concept yang dipertontonkan semasa Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) beberapa bulan lepas? Pada kami ia bukan sekadar model konsep atau daya penarik di reruai Perodua, tapi sebenarnya ia mungkin menjadi ‘petunjuk’ kepada model hatchback segmen A serba baharu.
Kenapa kami berkata demikian? Jika anda meneliti lenggok gaya reka bentuknya, ia memperlihatkan gaya rekaan baharu Perodua yang bakal diterjemahkan kepada model akan datang. Model yang kami maksudkan itu adalah model generasi baharu Axia. Seperti yang kita tahu, sudah sampai masanya Axia digantikan dengan model serba baharu dan Axia telah melalui fasa facelift pada awal tahun 2017. Tak percaya? Kita tunggu!
3. Model facelift Bezza
Mungkin tahun depan model sedan pertama Perodua, Bezza bakal melalui fasa facelift buat kali pertama. Ada sumber memberitahu kami, Bezza versi facelift nanti bakal mengalami perudahan yang agak besar dan boleh dikatakan sebagai major facelift. Namun kami tidak berani untuk mengiyakan sumber berkenaan buat masa ini, namun jika benar sudah pasti ianya bakal merancakkan lagi persaingannya dengan Proton Saga. Varian Bezza GXtra merupakan model naik tarafnya yang terkini yang telah dilancarkan pada bulan April yang lalu.
4. Model crossover Myvi dan Axia
Untuk kedua-dua model ini, kami hanya mendengarnya sebagai ‘khabar angin’. Kami difahamkan Perodua akan mencuba pasaran baharu iaitu segmen gaya hidup dan model Myvi serta Axia dikhabarkan bakal dijadikan sebagai model crossover. Ada yang mengatakan Perodua sedang membangunkan sistem suspensi khas, khusus untuk kegunaan kedua-dua model ini nanti. Sejauh mana kesahihan sumber ini masih belum dapat disahkan.
Tidak dilupakan juga model pertama dari projek kereta nasional ketiga hasil cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun ia masih samar, kami difahamkan Tun Dr Mahathir meminta pasukan reka bentuk projek kereta nasional terbaharu tersebut untuk menyiapkan prototaip pertamanya sebelum suku pertama tahun 2019.
Mungkin jika info ini benar, kita mungkin menyaksikan kelibat kereta misteri yang diselubungi celoreng penyamaran berada di jalan raya Malaysia mulai tahun depan. Difahamkan untuk permulaan, sebuah model hatchback segmen B sedang dibangunkan dan ia kemudiannya disusuli pula dengan model SUV yang dalam segmen yang sama. Dikatakan pelantar model ini datangnya dari pengeluar kereta Jepun dan rekaan kereta ini adalah hasil kreativiti anak tempatan sepenuhnya. Sama-sama kita nantikan!
JOM BACA >> INTIP : SUV Perodua dihantar ke Jepun?
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI