ARKIB

KATEGORI

Sukan Permotoran

AKSI HANGAT SUPER GT BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA BULAN JUN INI

Views

GSR HATSUNEMIKU BMW

Aksi pantas dan debaran jentera perlumbaan Grand Touring bakal menghangatkan suasana di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang bulan Jun 2013 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi pusingan ketiga Siri AUTOBACS SUPER GT.

Dianjurkan oleh JPM Motorsport, pusingan Siri AUTOBACS SUPER GT di Malaysia yang dijadualkan berlangsung mulai 15-16 Jun ini disifatkan sebagai salah satu siri perlumbaan GT terpantas dan paling mengujakan di dunia.

Siri AUTOBACS SUPER GT 2013 menpunyai lapan pusingan dan dibahagikan kepada dua kelas iaitu GT500 dan GT300. Ia menjadi medan perhimpunan jentera terbaharu pengeluar kenderaan Jepun seperti Lexus, Honda, Nissan, Toyota dan Subaru, serta jenama terkemuka dunia termasuklah Porsche, Lamborghini, Ferrari, BMW, Mosler, Chevrolet, Audi, Aston Martin dan Mercedes-Benz.

Pusingan pertama Siri AUTOBACS SUPER GT 2013 membuka tirainya dengan persembahan dramatik di Litar Antarabangsa Okayama pada 6-7 April 2013. Perubahan cuaca yang drastic menjadikan perlumbaan itu bertambah menarik.

Dalam kelas GT 500, pasukan MOTUL AUTECH GT-R berjaya menempatkan diri di petak depan sewaktu pusingan kelayakan yang berlangsung di atas permukaan litar basah. Senario pada hari perlumbaan berubah apabila litar bertukar kering sepenuhnya. Ketika itu, berlaku persaingan tiga penjuru yang akhirnya menyaksikan pasukan RAYBRIG HSV-010 (GT500) yang dipandu Takuya Izawa dan Takashi Kogure muncul juara bagi pasukan Honda.

Pemandu pasukan MOTUL AUTECH GT-R, Masataka Yanagida mengetuai perlumbaan sehingga hujan mula membasahi litar perlumbaan. Dengan hanya 10 lap dari penamat, dia berdepan dengan kesukaran untuk menstabilkan jenteranya lalu dikejar rapat  oleh dua jentera Honda.

Lima lap sebelum pusingan berakhir, pelumba RAYBRIG HSV-010 iaitu Takashi Kogure berjaya memintas sekali gus meraih kejuaraan pertama bagi pasukannya yang sekian lama tidak dinikmati sejak tahun 2006. Tempat kedua menjadi milik Koudai Tsukakoshi dari pasukan KEIHIN HSV-010 manakala Yanagida menduduki tempat ketiga.

TEAM APR AUDI R8 LMS ULTRA

Sementara itu, ekoran gagal menempatkan diri di petak utama, pelumba pasukan SUBARU BRZ R&D SPORT, Kota Sasaki dan Tetsuya Yamano terpaksa berpuas hati menamatkan pelumbaan sejauh 300 kilometer di tempat kelima. Mereka ketinggalan satu lap dibelakang pemandu Mercedes-Benz SLS GAINER DIXCEL SLS iaitu Katsuyuki Hiranaka dan Bjorn Wirdheim.

GAINER DIXCEL SLS memulakan perlumbaan dari tempat ketiga di grid barisan kedua mengetuai perlumbaan sejak peringkat permulaan dan tidak berdepan saingan sehinggalah ke garisan penamat. Ini merupakan kemenangan pertama bagi pasukan itu sejak debutnya pada musim lalu.

Pasukan GSR HATSUNEMIKU BMW dengan Nobuteru Taniguchi dan Tatsuya Kataoka di dalam sebuah BMW Z4 menamatkan kedudukan di tempat kedua dengan perbezaan masa 11 saat. LA SEINE Lamborghini Gallardo bersama pemandunya Hideki Yamauchi dan Hiroki Yoshimoto mendiami tempat ketiga selepas ketinggalan satu lap dibelakang.

Pelumba Malaysia, Fairuz Fauzy bersama rakannya dari Jepun, Yuki Iwasaki dari pasukan APR Audi R8 LMS Ultra berjaya menduduki tempat ke-14 dalam kelas perlumbaan GT300. Mereka bermula dari kedudukan ke-23 di grid litar lumba.

Pusingan kedua siri perlumbaan akan diadakan di Fuji Speedway di Oyama, Shizuoka mulai 28-29 April 2013. Litar itu terkenal dengan laluan lurus sepanjang 1.5km. Para pelumba perlu mengharungi perlumbaan sejauh 500km di Jepun sebelum tiba di Litar SIC bagi pusing ketiga pada 15-16 June 2013.

Para peminat boleh membuat pembelian tiket perlumbaan iaitu RM100 bagi pusingan ketiga Siri AUTOBACS SUPER GT di Malaysia dengan melayari laman web www.supergt.com.my. Perkembangan terkini dan semasa musim penuh perlumbaan boleh diperoleh daripada laman sosial www.facebook.com.my/supergt.my.

SUPER GT QUEEN MALAYSIA KE JEPUN

Jelitawan Julie Tan diberi penghormatan untuk menyertai kumpulan GT Queen Jepun di Fuji Speedway di Oyama, Shizuoka, Jepun bagi pusingan kedua Siri AUTOBACS SUPER GT yang dijadualkan bermula 28-29 April 2013.

Tan ialah pemenang Malaysian SUPER GT Queen Search Pageant 2012. Dia akan disertai oleh wakil-wakil daripada JPM Motorsport dengan objektif untuk mempromosikan siri pusingan perlumbaan di Malaysia serta mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan yang popular.

Malaysian SUPER GT Queen Search Pageant 2012 dianjurkan oleh JPM Motorsport dengan tujuan mempromosikan perkongsian pengetahuan, kepakaran, bakat antara Ratu GT Malaysia dan Jepun.

Jika anda ingin menjadi Ratu Super GT Malaysia, jangan lupa sertai pencarian ratu edisi 2013 yang akan diadakan tidak lama lagi. Anda hanya perlu mengunjungi laman Facebook SUPER GT di www.facebook.com/supergt.my untuk maklumat terkini serta berpeluang menyelami pengalaman Tan ketika berada di Jepun.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply