Semalam kami ada memuat naik foto intipan sebuah unit ujian Lynk & Co 02 yang ditemui berhampiran kilang Proton di Shah Alam. Foto tersebut telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan kami juga sebenarnya terkhilaf kerana model ini sebenarnya berkongsi pelantar Compact Modular Architecture (CMA) bersama dengan Volvo XC40.
Pelantar ini dibina hasil usahasama antara Geely dan Volvo di bawah satu unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) khusus yang dinamakan China Euro Vehicle Technology AB (CEVT). Ia turut dikongsi oleh beberapa kenderaan lain, Lynk & Co 01, model sedan Lynk & Co 03, Geely Borui GE dan Geely FY11.
Berbalik kepada tajuk artikel, kami telah membekukan cuti perisik terhandal Mat Bond serta merta dan beliau telah dikerahkan untuk melakukan kerja-kerja risikan secepat yang mungkin. Hasil risikan awal yang diperolehi, khabarnya di Pusat R&D Proton, terdapat beberapa unit model Lynk & Co 02 sedang menjalani ujian, termasuklah di litar. Katanya, unit-unit ini baharu sahaja tiba di Malaysia.
JOM BACA >> PANAS : Foto Perodua Aruz bocor – Bakal dilancarkan 15 Januari ini?
Sebab itulah unit yang dikesan semalam menggunakan plet perdagangan yang biasa digunakan oleh Proton. Buat masa ini maklumat yang diperolehi adalah sangat terhad memandangkan ia masih terlalu awal, namun kami difahamkan model SUV kompak Proton yang bakal berkongsi pelantar dengan Geely Bin Yue (SX11) akan dilancarkan pada tahun 2020.
Ada dua kebarangkalian awal yang kami boleh simpulkan buat masa ini, pertama unit yang ditemui semalam mungkin ‘keldai ujian’ awal untuk model SUV kompak Proton kerana kedua-duanya berkongsi penjana kuasa yang sama, iaitu enjin 1.5 liter TGDI dengan transmisi Dwi-Klac (DCT) 7-kelajuan. Tambahan pula beberapa hari lepas kami telah kongsikan penemuan unit X70 yang turut menggunakan kombinasi enjin dan kotak gear yang sama.
Kedua, mungkin juga ia merupakan model pertama yang akan dilancarkan di bawah jenama Lynk & Co di Malaysia. Ini kerana Geely memang berhajat besar untuk menjadikan kilang Proton di Tanjung Malim sebagai hab pengeluaran pemanduan sebelah kanan (RHD) mereka di rantau ini, bukan sahaja untuk Proton malah jenama-jenama lain di bawah kumpulannya. Jadi kemudahan R&D yang ada Proton dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguji model tersebut lebih dahulu sebelum ia memasuki pasaran.
Pantas Mat Bond buat kerja walaupun info yang ada agak terhad. Nantikan info seterusnya daripada kami dari semasa ke semasa.
JOM BACA >> INTIP : Lynk & Co 01 dikesan – Adakah ini ‘keldai ujian’ Proton X50?
KLIK UNTUK BESARKAN
Launch X50 pada 2020? Menghampakan betul. Terpaksa beli brand lain.