ARKIB

KATEGORI

Buletin

Ini penambahbaikan yang dibuat pada Proton X50 2024 – Harga dari RM86,300

Berita Tempatan

Views

Tatkala ramai peminat automotif tempat menanti versi facelift Proton X50, hari ini pengeluar kereta nasional itu memperkenalkan ‘versi yang dipertingkatkan’ bagi model ‘SUV paling popular di Malaysia’ itu untuk tahun 2024.

Model ini hanya merupakan versi Running Change (RC) dan bukanlah versi Minor Change (MC) yang melibatkan perubahan kosmetik kecil pada bahagian luaran dan dalaman.

Senang cerita, model ini ibarat selingan, sementara menanti versi faceliftnya yang dijangka akan tiba pada tahun hadapan.

 

Ada empat pilihan varian yang ditawarkan untuk X50 2024. Berikut adalah harga atas jalan X50 2024, tidak termasuk insurans:

  • Proton X50 1.5T Standard – RM86,300
  • Proton X50 1.5T Executive – RM93,300
  • Proton X50 1.5T Premium – RM101,800
  • Proton X50 1.5 TGDi Flagship – RM113,300

Dari segi pilihan warna pula, X50 2024 didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu:

  • Snow White
  • Armour Silver
  • Jet Grey
  • Ocean Blue
  • Passion Red

JOM BACA >> SPEKULASI: Supermoped Modenas-Kawasaki mungkin guna enjin 177cc?

Dari segi fizikal, tiada perubahan kosmetik dilakukan, namun ada beberapa penambahbaikan telah dibuat pada model 2024 ini. Antara penambahbaikan yang telah dibuat adalah:

  • Pakej kedap bunyi atau NVH (Bunyi, Getaran, dan Kekasaran) pada lebih 20 titik
  • Pintu but berkuasa bebas tangan untuk varian Premium dan Flagship sahaja
  • Semua varian X50 2024 kini didatangkan paparan inforia bersaiz 10.3-inci yang dilengkapi cip pemproses dual quad-core dengan berkapasiti 2GB RAM dan kapasiti storan 64GB.
  • Kamera 360-darjah (varian Premium dan Flagship) kini 3.3 kali lebih piksel, paparan titik buta, termasuk imej 3D sekeliling yang lebih jelas.
  • Menyokong aplikasi PROTONLink yang membolehkan beberapa fungsi seperti menghidupkan enjin atau mengaktifkan pendingin hawa menerusi telefon pintar.

Dari segi mekanikal, X50 2024 masih mengekalkan pilihan enjin 1.5-liter turbo 3-silinder untuk varian Standard, Executive, dan Premium, manakala 1.5-liter TGDi  ditawarkan untuk varian Flagship sahaja. Kedua-dua enjin ini disambungkan kepada transmisi tujuh-kelajuan dwi-cekam (DCT).

Dari segi keselamatan, X50 2024 dilengkapi dengan enam beg udara (empat untuk Standard), sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan turun cerun, Auto Brake Hold dan ISOFIX.

Varian Flagship masih menerima ciri pemanduan kendiri tahap 2 (L2) yang merangkumi ciri kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan mula, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik dan bantuan parkir.

Berikut adalah perincian ringkas X50 2024 mengikut varian:

Proton X50 1.5T Standard

  • Enjin 1.5L Turbo
  • Transmisi 7-Kelajuan DCT
  • 4 beg udara SRS
  • Lampu LED dengan lampu siang (DRL)
  • Rim 17-inci
  • Skrin inforia 10.3-inci
  • Kamera undur

JOM BACA >> SPEKULASI: Supermoped Modenas-Kawasaki mungkin guna enjin 177cc?

Proton X50 1.5T Executive (tambahan dari varian Standard)

  • 6 beg udara SRS
  • Lampu hadapan auto
  • Lampu kabus hadapan
  • Stereng balutan kulit
  • Tempat duduk balutan kulit buatan (leatherette)

Proton X50 1.5T Premium (tambahan dari varian Executive)

  • Sistem pemantau tekanan tayar
  • Filem penapis haba keselamatan
  • Rim aloi 18-inci
  • Pintu but belakang berkuasa
  • Kemasan dalaman dwitona
  • Tempat duduk pemandu berkuasa
  • Kamera 360 darjah

Proton X50 1.5 TGDI Flagship (tambahan dari varian Premium)

  • Enjin 1.5L TGDI
  • Ciri ADAS
  • Warna luaran dwitona
  • Bumbung suria panoramik

Sempena pengenalan X50 2024, Proton turut menawarkan pakej pembeli terawal (early bird) untuk 5,000 tempahan pertama yang dibuat sebelum 31 Julai 2024, yang merangkumi diskaun RM7,000, rebat tukar-beli (trade-in) RM1,500 dan ciri tambah nilai RM6,000. Jumlah keseluruhan RM14,500!

Selain itu, setiap pembelian X50 2024 akan didatangkan Pakej Standard yang merangkumi waranti selama lima-tahun (tanpa had perbatuan), lima-tahun pakej data percuma (16G sebulan), pembiayaan dengan kadar faedah dari 2.28 peratus, program insurans Proton dan enam kali servis termasuk kos upah percuma.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INTIP: Modenas sedang uji skuter maxi Kymco DTX250 ke tu?
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Gambaran awal Proton X80, versi kembar Geely Xingyue/Tugella
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Gambaran awal Proton X50 facelift versi Theottle
JOM BACA >> INTIP: Proton X70 MC2 ronda-ronda KL ditemani X90, pelancaran mungkin sedikit lewat
JOM BACA >> Supermoped Modenas-Kawasaki sedang jalani ujian di Eropah, mungkin ada dua kapasiti enjin?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply