ARKIB

KATEGORI

Buletin

Isuzu Service Center Shah Alam dibuka

Views

Isuzu Malaysia dengan kerjasama Automotive Corporation Malaysia (ACM), anak syarikat DRB-Hicom Bhd, telah menubuhkan sebuah kemudahan selepas jualan utamanya, Isuzu Service Center (ISC) yang terletak di Shah Alam, Selangor. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Isuzu Motors Limited, Susumu Hosoi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Kemudahan ini menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan yang lebih cekap dan pantas kepada pengguna serta pemilik kenderaan Isuzu. Pusat khidmat selepas jualan ini akan diuruskan oleh pasukan teknikal warga Jepun dari Isuzu Motors Limited, Jepun dan disokong oleh juruteknik-juruteknik yang memiliki sijil i-MEC Isuzu. Ia juga menempatkan Pusat Teknikal Isuzu yang akan memberi latihan kepada mekanik-mekanik pelatih.

Dengan kedudukannya yang strategik di wilayah tengah, hampir dengan rangkaian lebuh raya utama, pusat logistik dan pelabuhan penting negara, kemudahan itu sememangnya sesuai untuk memberi perkhidmatan kepada trak-trak jarak jauh yang menjadi tulang belakang kepada negara. Salah satu objektif utama ISC adalah untuk menyediakan proses pembaikan yang lebih pantas melalui tenaga kerja yang cekap, alat ganti yang tersedia dan kemudahan komprehensif dengan 16 ruang penyelenggaraan.

Berkeluasan dua ekar, kemudahan yang dijangka disiap dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga 2017 itu akan dilengkapi dengan pengangkat berkapasiti tinggi yang  mampu mengangkat trak tugas sederhana dan berat. Ia juga dilengkapi dengan alat ujian kalibrasi brek, alat pengukur emisi ekzos, mesin penjajaran tayar dan roda untuk memastikan kenderaan komersial itu bersedia sebelum pemeriksaan PUSPAKOM.

Kemudahan tersebut bakal dipasang dengan pelbagai peralatan diagnostik untuk tujuan ‘troubleshoot’ atau talaan rangkaian terbaharu kenderaan Isuzu yang dilengkapi enjin ‘commonrail’ yang berkuasa tinggi dan efisien. Isuzu Service Center dibuka mulai Isnin hingga Jumaat dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang dan dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang pada hari Sabtu. Kemudahan itu turut menampatkan servis Isuzu Dr. Mobile 24 jam yang boleh dihubungi menerusi talian hotline Dr. Mobile: 1-800-88-8000.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply