ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kilang baharu Toyota dan gegaran industri automotif di Malaysia

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

  • Pesaing bakal gigit jari
  • Pelaburan RM1 billion tanda keyakinan Toyota kepada Malaysia dan industri automotif tempatan
  • Peningkatan kapasiti dijangka akan menjadikan harga kereta di Malaysia lebih kompetitif

Minggu lalu Toyota membuat kejutan besar ke atas industri automotif Malaysia apabila ia mengumumkan pelaburan RM1 billion untuk membina sebuah kilang kereta baharu yang mampu menghasilkan 50,000 unit kenderaan setahun.

Pertama sekali, kalau kilang berharga RM1 billion hanya menghasilkan 50,000 unit kenderaan, maknanya Toyota kena kelentong dengan kontraktor sebab kilang Perodua Global Sdn Bhd yang baharu dua tahun siap tu pun harganya RM1 billion juga dan ia boleh menghasilkan 250,000 kereta setahun.

Jadi kita boleh buat andaian ada kekhilafan telah berlaku dalam melaporkan cerita tersebut, sama ada angka pelaburan adalah jauh lebih kecil atau kapasiti kilang adalah jauh lebih besar dari apa yang dilaporkan.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Toyota akan membangunkan kilang tersebut bersama rakan niaganya di Malaysia iaitu UMW Toyota Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat UMW Holdings. Kita pun cepat cepat tanya kengkawan dalam UMW, kebetulan minggu lepas diadakan Mesyuarat Agung pemegang saham UMW dan jawapannya; sila tunggu Mei 25 untuk pengumuman rasmi dari kami.

Hmmm….

Dalam beberapa minggu yang lepas Toyota telah mengumumkan bahawa ia akan membeli keseluruhan saham Daihatsu Motor Corporation dan seperti yang kita tahu DMC ialah rakan kongsi UMW dalam Perodua.

Kini Toyota menjadi rakan kongsi UMW melalui UMW Toyota dan juga melalui Perodua Holdings Sdn Bhd. Jadi dia boleh masuk ikut pintu mana yang dia suka. Apapun kilang bernilai RM1 billion ini akan meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menjadi pusat pembikinan automotif serantau dan sudah tentu Toyota akan memastikan wang sebanyak itu tidak dibazirkan dengan menjual kereta hanya di Malaysia.

Pembukaan kilang Toyota ini juga dijangka akan memberi nafas baharu kepada vendor dan keseluruhan ekosistem industri automotif dan bakal menjadi tunjang penting dalam pembangunan industri negara. Perkembangan terbaharu ini boleh dianggap sebagai berita amat baik untuk pengguna dan juga ekonomi negara kerana ia menandakan rasa keyakinan Toyota terhadap Malaysia dan ia juga mungkin menandakan permulaan era baharu bagi pengguna dari segi pertandingan harga.

Dengan wujudnya kilang yang sebegitu mahal, sudah tentu Toyota bercadang memperkenalkan beberapa model baharu yang akan memberi saingan sengit kepada Honda yang telah berjaya mendahului Toyota di pasaran Malaysia. Kami menjangkakan pembeli akan menikmati harga yang lebih kompetitif akibat dari pertarungan antara dua gergasi ini.

Pertarungan harga dijangka akan berterusan agak lama kerana kedua-dua syarikat mempunyai margin yang agak mewah di Malaysia, legasi dari duti import dan tarif lain yang dahulunya tinggi tetapi kini sudah dihapuskan. Jika sebelum ini pengeluar kereta enggan menurunkan harga atas alasan ia akan mengganggu-gugat pasaran kenderaan terpakai danmerosakkan keyakinan pembeli kepada jenama mereka, kali ini kita akan menyaksikan dasar pertarungan yang berbeza.

Kita juga tidak boleh lupa bahawa Daihatsu dan Perodua kini dalam proses terakhir melakukan pelaburan lebih RM2 billion dalam kilang pemasangan baru, kilang enjin kedua di Sendayan, tapak pembuktian di Serendah dan juga infrastruktur baharu di sekitar kompleks kilang utama mereka.

Toyota sudah tentu tidak akan bertelagah dengan anak syarikat sendiri dan jika mereka hanya mahukan angka global, sudah tentu tidak ada keperluan untuk Toyota membelanjakan RM1 billion untuk kilang baharu kerana Daihatsu, melalui Perodua sudah tentu mampu memberikan lebih 200,000 unit jualan tahun ini. Jadi kita perlu menunggu hingga hari Rabu (esok) untuk mendapat kepastian tentang rancangan Toyota di Malaysia. Yang pastinya rancangan Toyota akan membuat pesaing gigit jari.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply