Ini bukan produk terbaharu dari syarikat telekomunikasi ONEXOX atau pun tuk tuk versi pikap. Memperkenalkan OX, trak pikap kos rendah yang didtangkan dalam bentuk pek rata pasang siap lengkap dengan perkakasannya. Ia merupakan idea bernas dari bekas pereka supercar McLaren F1, Gordon Murray yang sebelum ini juga pernah merekabentuk beberapa kenderaan konsep. Trak pikap kecil ini boleh lah diibaratkan membeli kereta mainan Tamiya bersaiz besar.
OX disasarkan untuk penduduk negara membangun yang berada di kawasan yang sukar untuk dilalui kenderaan. Memang tidak dinafikan bentuknya memang hodoh, tak seseksi trak pikap kegilaan ramai di negara ini, namun ia merupakan solusi bijak dan sangat utiliti. Pintu belakangnya boleh dicabut dan digunakan sebagai tanjakan untuk menaikkan barang. Tempat duduk belakangnya pula boleh digunakan sebagai trek pasir. Ruang dibelakang tempat duduk hadapan cukup untuk memuatkan tong minyak sebagai bekalan dalam perjalanan, kerana negara sasaran jualan pikap ini sangat kekurangan stesen minyak dan lokasinya juga terletak sangat jauh.
Kanopinya boleh ditanggalkan dan digunakan sebagai tempat perlindungan sementara. Muncung dan ekor bahagian bawah dicondongkan dengan sudut 42 darjah, mungkin untuk memudahkan bergerak melalui halangan tanpa tersangkut. Cermin trak pikap ini sengaja direka berasingan untuk mudah digantikan dan kosnya penukarannya sudah tentu lebih murah.
Segala yang ada pada kenderaan ini memang rata, tiada lekuk lekuk untuk mengurangkan kos. Bahagian badannya juga diperbuat dari bahan yang sangat kuat dan kalis air. Walaupun ia kecil, OX dikuasakan oleh enjin 2.2-liter diesel yang turut digunakan pada van Ford Transit dengan pacuan dua roda. OX juga boleh digunakan sebagai generator dan turut dibekalkan dengan soket kuasa dibahagian depannya.
Untuk mengelakkan dari perbezaan pemanduan sebelah kiri atau kanan yang berbeza di setiap negara, setereng OX sengaja diposisikan ditengah tengah, bijak kan? Tujuan kenderaan ini direka untuk dihantar secara pek rata adalah kerana duti import sangatlah mahal di Afrika hinggakan ramai rakyatnya tidak mampu membeli kenderaan, sebagai contoh di Nigeria, dutinya sahaja dah 35 hingga 70 peratus dari harga kos keseluruhan kenderaan tersebut. Selain itu dengan cara ini, ia boleh dimuatkan dalam kontena kapal dalam bentuk pra-pemasangan.
Sir Torquil Norman seorang dermawan yang mengupah Gordon Murray untuk merealisasikan projek ini berkata, impiannya pada suatu hari nanti OX akan mampu dimiliki di setiap kawasan pedalaman di Afrika. Beliau telah menubuhkan organisasi amal yang dikenali Global Vehicle Trust khusus untuk membangunkan kenderaan tersebut dan telah mengeluarkan dananya sendiri sebanyak £3 juta (RM16.3 juta) setakat ini. Matlamat utama mereka kini adalah untuk menambahkan pembiayaan sehingga projek ini menjadi kenyataan. Semoga usaha murni mereka berjaya!
Sumber : Core77.com
KLIK UNTUK BESARKAN
tu dia….aku rasa kalau pasang sendiri nie lagi reliable dr P1 yg pasang kat Shah Alam/T,Malim tu..komponen dia rasanya lagi bagus