ARKIB

KATEGORI

Buletin

Pandu secara berbahaya hingga akibatkan kematian 10 individu, pemandu treler mengaku tidak bersalah

Berita Tempatan

Views

Seorang pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas dakwaan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan dan kematian 10 individu, tiga hari lalu.

Menurut Utusan Online, tertuduh, Mohd. Rafi Jaafar, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua 10 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rafi yang memandu treler jenis Hanvan didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kemalangan seterusnya kematian 10 penumpang kenderaan WNL 1061 dan MAS 6651.

Penumpang kenderaan WNL 1061 ialah Puteri Hidayah Abdul Razak, 12; Razatul Aliah Abdul Razak, 16; Mohd. Razarul Amin Abdul Razak, 17; Mohd. Raid Fathi Abdul Razak (bayi); Mohd. Rokaizat Rezky Abdul Razak, 9; dan Mohd. Aizat Syazwan Abdul Razak, 10.

Turut berada dalam kenderaan WNL 1061 ialah Norul Naziah Buyong, 37; Mohd. Hidayat Hakimie Abdul Razak, 7; dan Puteri Nur Ain Shalwana, 3. Penumpang kenderaan MAS 6651 pula ialah Muhamad Rahimi Rolex, 27.

JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Proton Saga MC2 dikesan

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam pada pukul 12.02 tengah malam, 18 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Mohd. Asnawi Abu Hanipah serta Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan selain tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan lebih rendah memandangkan isterinya yang merupakan seorang suri rumah kini berada di Hospital Melaka bagi menjaga anaknya yang sakit.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu digantung serta-merta selain tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.

JOM BACA >> 30 unit Proton X70 diserah kepada Polis Kenya

Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada minggu pertama setiap bulan. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Januari 2022.

Akhbar tiga hari lalu melaporkan 10 individu maut dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite menghala Shah Alam yang turut menyebabkan seorang ibu dan lapan anaknya maut di tempat kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan.

Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.

Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.

Kesemua jenazah sembilan beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, pada pukul 1.30 petang kelmarin. Jenazah Mohd. Rahimi turut dikebumikan di tanah perkuburan yang sama pada pukul 1 pagi, hari yang sama.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Foto Daihatsu Xenia 2022, satu lagi kembar Perodua Alza (D27A) pula bocor!
JOM BACA >> INTIP: Myvi facelift (D51A) sedang jalani penggambaran iklan ke tu?
JOM BACA >> Nasib si Proton Juara: Dulu dicerca, sekarang jadi barang berharga
JOM BACA >> Ini rekaan Perodua Kancil dari Stola pada tahun 1997, tapi tak jadi…
JOM BACA >> Kereta kena gesel lori di Putrajaya – Pemilik tak boleh tuntut ganti rugi, kawasan diwartakan bukan untuk parkir

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply