ARKIB

KATEGORI

Buletin

SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz dilancarkan – Harga bermula dari RM72,900

Views

Iklan acah sudah, bocor pun sudah. Akhirnya setelah penantian telah berakhir dengan pelancaran rasmi Perodua Aruz sebentar tadi. Seperti yang kita semua tahu SUV ketiga dalam keluarga Perodua selepas Kembara dan Nautica ini merupakan kembar kepada Toyota Rush dan Daihatsu Terios, tetapi dengan citarasa Malaysia. Ia hanya ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Aruz 1.5 X dan varian paling tinggi, Aruz 1.5 AV.

Sejak tempahannya dibuka pada 3 Januari lalu, tempahan Aruz kini sudah menjangkau 2,200 unit. Majlis pelancaran rasmi Aruz disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Yang Berhormat Datuk Ignatius Dorell Leiking dan turut disaksikan oleh Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin dan Duta Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Makio Miyagawa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, dengan Aruz lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati kelebihan SUV yang dilengkapi ciri-ciri tercanggih yang hanya terdapat pada model dengan tanda harga lebih mahal. Ia sekaligus menjadikannya model SUV paling berbaloi di pasaran ketika ini yang menawarkan anjakan ruang, keselamatan dan kecekapan.

Aruz dijana oleh enjin Dwi-VVTi 1.5 liter yang diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan purata 15.6 km untuk setiap liter petrol yang telah disahkan oleh ECE. Enjin ini mampu menjana 75kW pada 6,000 rpm dan 133Nm tork pada 4,200 rpm dan digandingkan dengan kotak gear 4-kelajuan automatik. Ia turut dilengkapi dengan sistem henti-lahu (eco-idle). Ia merupakan kenderaan keempat Perodua yang menerima pengiktirafan tersebut selepas Axia, Bezza dan Myvi.

SUV kompak tujuh tempat-duduk ini menampilkan reka bentuk mengikut citarasa rakyat Malaysia yang meminati kenderaan dengan gaya yang sporty. Ia dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home beserta dengan lampu automatik (untuk varian AV sahaja), rim aloi dwi tona bersaiz 17-inci dan rel bumbung (untuk varian AV sahaja).

JOM BACA >> MESTI BACA : Reka bentuk papan pemuka Perodua Aruz dengan Toyota Rush – Apa yang berbeza?

Di ruangan kabin, Aruz dilengkapi kerusi separa bucket dengan kemasan fabrik bagi varian X manakala varian AV pula mendapat kemasan kulit sepenuhnya. Selain itu ia turut dilengkapi dengan corong pendingin hawa belakang dan juga stereng boleh laras dengan butang kawalan audio yang dibaluti kulit dan mempunyai fungsi kawalan terima panggilan untuk varian AV.

SUV ini juga dilengkapi dengan ciri kemasukan pintar bersama butang tekan mula/henti enjin, alat pembaca kad tol terbina dalam, perakam video pemanduan bersepadu (DVR) untuk varian AV, port pengecasan di setiap baris tempat duduk dan untuk varian AV turut ditambah dengan port HDMI, Smart Link, Bluetooth, sistem navigasi serta kamera undur.

Dari segi keselamatan pula, varian Aruz AV dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Bantuan Keselamatan Termaju (A.S.A) versi 2.0 yang kini dengan ciri Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Pra-Pelanggaran, sistem Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kesilapan Menekan Pedal dan enam beg udara sekaligus melayakkannya untuk menerima penarafan 5-Bintang dari ASEAN NCAP.

Aruz mempunyai 95 peratus komponen tempatan dan dibangunkan dengan kos sebanyak RM600 juta. Ia ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Amazon Green, Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White. Perodua turut menawarkan waranti selama 5-tahun atau 150,000km (yang mana terdahulu) untuk model Aruz.

Varian dan harga Perodua Aruz (harga atas jalan tidak termasuk insurans) untuk Semenanjung Malaysia:

Perodua Aruz 1.5 X – RM72,900.00
Perodua Aruz 1.5 AV – RM77,900.00

JOM BACA >> Gambaran digital ‘mirip model sebenar’ Proton Iriz MC2 rekaan TheAjerul

KLIK UNTUK BESARKAN

Perodua Aruz AV

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply