ARKIB

KATEGORI

Buletin

Abdul Rashid letak jawatan, bakal ke UMW Holdings

Views

Sebenarnya desas-desus mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa bukan lagi rahsia kerana semalam Berita Harian melaporkan berita mengenainya. Pada kami, ia bukanlah berita yang mengejutkan kerana kami telah mengetahuinya lebih awal namun apabila ditanya kepada tuan empunya diri, beliau hanya meminta kami supaya menanti pengesahan rasmi dari Proton.

Beberapa hari sebelum pelancaran X70, rakan media kami di Careta.my telah memuat naik satu berita panas mengenai perletakan jawatan Abdul Rashid dan berlakunya pergolakan dalaman di Proton. Secara tidak langsung ia telah menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi serta menjadi rencah ‘membawang’ para peminat automotif di laman maya. Ini juga bermakna X70 merupakan produk yang terakhir yang dijual oleh beliau di Proton.

Pengarang laman web kami Shamsul Yunos turut mengesahkan perkara berkenaan apabila ditanya oleh pihak Berita Harian. Menerusi info dari sumber kami menerusi Whatsapp pula, di UMW Holdings Bhd nanti beliau akan menggantikan En. Megat sebagai Presiden Bahagian Pengeluaran dan Kejuruteraan berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Jawatan yang bakal disandang beliau bukan lagi asing kepadanya kerana ‘orang kampung’ penulis yang berasal dari Kuantan ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1989 dan mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang dalam industri automotif. Dari Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pengeluaran sehingga ke jualan dan pengedaran, beliau telah merasai segala pengalaman dalam industri tersebut.

JOM BACA >> INTIP : SUV Perodua dihantar ke Jepun?

Beliau telah bersama dengan Proton selama lebih 21 tahun dan antara hasil tangan beliau yang kami masih ingat sehingga kini adalah penghasilan keluarga enjin baharu Proton bersama Ricardo di UK, namun ia kini tinggal sejarah sejak Geely tiba sebagai Rakan Strategik Asing. Sebenarnya ada beberapa perkara bermain difikiran kami mengenai peletakan jawatan Abdul Rashid. Pertama, adakah benar berlakunya pergolakan dalaman di Proton kerana sebagai pemerhati, kami melihat semakin ramai eksekutif kanan dari China telah dilantik dengan alasan memudahkan komunikasi dengan ‘bos-bos’ mereka di sana.

Alasan tersebut pada kami ‘agak kelakar’ kerana di Volvo tidak pula dibangkitkan perkara yang sama. Namun, apabila ditanya kepada rakan-rakan kami yang ada di Proton, setakat ini mereka tidak mempunyai masalah dan masih bersemangat untuk terus berkhidmat dengan pengeluar automotif tersebut. Kedua, adakah UMW Holdings Bhd merupakan ‘transit’ sementara Abdul Rashid sebelum ‘diserap’ masuk ke Projek Kereta Nasional Ketiga yang bakal dilancarkan pada tahun 2020.

Ia tidak mustahil kerana pengalaman individu seperti beliau amat diperlukan untuk syarikat yang masih ‘hijau’ itu nanti. Mungkin di sana juga nanti kami jangka ramai bakat yang dilatih dari ‘universiti’ Proton bakal berkumpul dan mencurahkan khidmat untuk merealisasikan idea serta impian Tun Dr. Mahathir Mohamad itu kerana kepakaran mereka dalam pembangunan kereta sememangnya amat ditagih.

Setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Proton dan Lotus dua tahun lalu, kami mendengar beliau telah merancang untuk menubuhkan Proton kedua di Cyberjaya dan mungkin inilah pencetus kepada Projek Kereta Nasional Ketiga. Buat masa ini kita nantikan pengumuman rasmi Proton terlebih dahulu untuk mengetahui siapakah pengganti Abdul Rashid selepas ini. Kemudian barulah kita sambung ‘membawang’ pula!

JOM BACA >> MESTI TONTON : Video acah pertama SUV Perodua (D38L)

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply