Syarikat pengeluar kenderaan taktikal tempatan, Cendana Auto Sdn Bhd akan memulakan pembuatan pelbagai jenis kenderaan taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diperolehinya menerusi kontrak oleh Kementerian Pertahanan, seawal pertengahan tahun ini.
Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Pembuatan Cendana Auto, Shahrinoldin Othman, berkata pengeluaran akan dimulakan selepas unit pertama atau First Unit Vehicle (FUV) bagi setiap varian diuji dan disahkan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, syarikat itu dianugerahkan beberapa kontrak oleh Kementerian Pertahanan, melibatkan penyediaan sebanyak 46 unit GS Cargo untuk Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 82 unit GS Cargo untuk Tentera Darat, empat unit Kenderaan Pembawa Misil Starstreak serta 18 unit Kenderaan Pembawa Mortar.
“Kita menyasarkan kadar pengeluaran antara 18 hingga 25 unit sebulan bagi memenuhi kontrak baharu yang diperoleh tahun ini daripada ATM. Semua kenderaan ini akan diserahkan secara berperingkat dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan dalam kontrak.
“Tempoh pembangunan FUV ini melibatkan ujian ketahanan, keselamatan dan pematuhan kepada keperluan taktikal pengguna. Sebaik sahaja FUV diluluskan, kami akan teruskan pengeluaran bagi memenuhi sasaran penghantaran,” katanya kepada Bernama.
JOM BACA >> INTIP: Proton Saga MC3@AMA01 naik Cameron
Shahrinoldin berkata bahawa syarikat itu komited untuk memastikan setiap unit kenderaan yang dihasilkan memenuhi piawaian ditetapkan, selain dihantar mengikut jadual.
“Kami menjangka akan menyiapkan semua tempahan ini dalam masa setahun setengah, lebih awal daripada tempoh kontrak sebenar iaitu dua tahun,” katanya.
Antara yang telah dihantar untuk kegunaan ATM ialah 30 unit (FFR) Fitted For Radio untuk Markas Angkatan Bersama (MAB) bagi menjalankan misi MALBATT-UN di Lubnan, 40 unit FFR bagi Tentera Darat, 102 unit Kenderaan Pembawa Mortar bagi Tentera Darat berserta peralatan lengkap pelancar mortar 81mm, 49 unit Kenderaan Pembawa Senjata (KPS).
“Selain daripada itu, tambahan empat unit FFR diserahkan bagi kegunaan Markas Angkatan Tentera Malaysia dan 16 unit Special Operation Vehicle (SOV) pula diserahkan untuk kegunaan Tentera Darat,” katanya.
Cendana Auto sebelum ini telah menghasilkan hampir 500 unit kenderaan sejak tahun 2020, merangkumi pelbagai varian untuk kegunaan ketenteraan dan sektor bukan ketenteraan dengan kesemua kenderaan direka dan dibangunkan sepenuhnya di dalam negara, melibatkan jurutera tempatan serta pelatih institusi TVET.
Shahrinoldin berkata, Cendana Auto juga giat membangunkan pelbagai program peningkatan kualiti melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang intensif, yang banyak membantu dalam menaik taraf spesifikasi produk serta meningkatkan keupayaan reka bentuk taktikal kenderaan syarikat.
JOM BACA >> INTIP: Proton ‘semakin rancak’ menguji X50 FL (facelift) dan Saga MC3@AMA01!
“Selain kemahiran teknikal, kami juga membina kemahiran insaniah dalam kalangan kakitangan, seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan, yang amat penting untuk memperkukuh budaya kerja profesional dalam organisasi,” katanya.
Berhubung kontrak pembekalan empat Kenderaan Pembawa Misil Starstreak (KPMS), beliau berkata pihaknya dijangka akan menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh dua tahun.
Shahrinoldin berkata, kenderaan ini direka untuk membawa sistem pelancar Starstreak High Velocity Missile (HVM), yang mampu menembak dari atas platform kenderaan dan akan digunakan oleh ATM sebagai sebahagian daripada pelan pemodenan keupayaan pertahanan udara jarak dekat negara.
Kenderaan KPMS direka khas dengan keupayaan menggalas dan mengoperasikan sistem pelancar Starstreak secara langsung dari atas kenderaan, menjadikannya sesuai untuk penempatan pantas di lokasi strategik serta meningkatkan mobiliti dan keberkesanan unit pertahanan udara.
Ia juga mampu memuatkan empat kru termasuk pengendali sistem pelancar dan dikuasakan oleh enjin diesel 2.8 liter, sekali gus memastikan prestasi optimum dalam pelbagai kondisi operasi medan sebenar. – Berita Harian/Bernama
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> Proton bakal lancar sekurang-kurangnya empat model pada 2025 – Ini yang kami tahu…
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Proton Saga MC3@AMA01 kelihatan di Petron, dilengkapi sistem ADAS
JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua
JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026a
KOMEN TERKINI