Sebenarnya ramai yang terlepas pandang mengenai Diskaun Tiada Tuntutan (No Claim Discount/NCD) semasa membuat proses jual beli kereta. NCD atau dikenali juga sebagai No Claim Bonus, adalah suatu jenis bonus atau diskaun yang diberikan kepada pengguna sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap polisi kenderaan untuk tempoh 12 bulan sebelum itu. Anda akan berjimat dengan memindahkan NCD kereta lama anda ke kereta baharu, lagi lama anda tidak membuat tuntutan lagi banyak diskaun yang anda dapat.
Banyak mana diskaun yang anda dapat?
Diskaun adalah bergantung pada jenis kenderaan. Kenderaan persendirian menikmati diskaun lebih tinggi berbanding kenderaan komersial dan motosikal. Untuk melayakkan anda mendapat diskaun, anda perlu memenuhi syarat 12 bulan tanpa tuntutan. Pada tahun pertama tiada diskaun diberikan, namun ada akan mula mendapat diskaun setelah memperbaharui polisi untuk tahun kedua dan seterusnya.
Carta di bawah menunjukkan kadar diskaun mengikut jenis kenderaan dan jumlah tempoh mengikut tahun. Ia adalah kadar tetap yang ditentukan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Bermula dari | Kenderaan Persendirian | Motosikal | Komersil |
Tahun Pertama | 0% | 0% | 0% |
Tahun Kedua | 25% | 15% | 15% |
Tahun Ketiga | 30% | 20% | 20% |
Tahun Keempat | 38.3% | 25% | 25% |
Tahun Kelima | 45% | 25% | 25% |
Tahun Keenam | 55% | 25% | 25% |
Tahun Ketujuh | 55% | 25% | 25% |
Sekiranya anda terpaksa membuat tuntutan, apa yang akan terjadi?
Kami ambil contoh, jika pada tahun kedua anda kemalangan dan terpaksa membuat tuntutan dari pihak insurans, maka semasa membuat pembaharuan polisi, diskaun anda akan kembali kepada 0 peratus seperti tahun pertama.
Faktor penting mengenai NCD:
Kerosakan yang bukan dilakukan sendiri (No-Fault Damage)
No-fault damage adalah tuntutan kerosakan yang bukan dilakukan sendiri. Diskaun NCD kereta anda tidak akan hilang atas tuntutan sebegini. Sebagai contoh, jika berlaku kemalangan berpunca dari pihak ketiga (orang lain), anda mempunyai pilihan samada membuat tuntutan terhadap polisi dari pihak ketiga atau polisi komprehensif anda sendiri tanpa menjejaskan NCD kereta anda.
NCD boleh dipindahkan
Sebagai contoh : Jika anda ingin menjual kereta dan NCD kereta lama anda sebanyak 30 peratus, anda boleh memindahkan diskaun 30 peratus tersebut kepada kereta baharu. Namun begitu, NCD tidak boleh digunakan pada lebih dari satu kenderaan (jika anda membeli kereta baharu tetapi masih menyimpan kenderaan lama, maka NCD kereta baharu anda adalah 0 peratus).
Untuk mendapatkan penjimatan premium, anda dinasihatkan untuk memindahkan NCD yang tertinggi diskaunnya ke kereta yang paling tinggi harga pasarannya sekiranya memiliki lebih dari satu kenderaan. NCD kereta anda juga tidak akan terjejas sekiranya anda ingin menukar syarikat insurans/takaful.
Polisi cermin kereta
Polisi cermin kenderaan adalah satu polisi tambahan pada insurans komprehensif dan ramai yang memilihnya kerana kos yang tinggi untuk membaiki/menukar cermin yang pecah. Jika anda memiliki polisi ini dan membuat tuntutan, NCD kereta anda tidak akan terjejas, tetapi jika anda tidak memilikinya dan terpaksa membuat tuntutan, maka NCD anda akan hilang.
Bagaimana untuk mendapat ganjaran NCD sepenuhnya?
Bagi mengelak kehilangan NCD dan jika anda mempunyai kemampuan, anda disarankan untuk membayar kos kerosakan sendiri daripada membuat tuntutan insurans jika kos membaiki adalah sedikit. Kami berikan contoh situasi:
A. Jika anda tidak mempunyai polisi cermin kereta:
Jika kos membaiki cermin adalah RM 500 tetapi kadar NCD anda ialah 55 peratus yang membolehkan anda mendapat diskaun sebanyak RM 600, maka tidak perlulah membuat tuntutan dari pihak insurans dan sebaiknya anda membayar sendiri kos tersebut. Senang cerita, anda bukan sahaja dapat berjimat RM 100 dan anda tak perlu bermula dari 0 peratus seperti tahun pertama semula kerana NCD kereta anda akan meningkat setiap tahun.
B. Jika anda mempunyai polisi cermin kereta:
Jika anda mempunyai polisi ini, terpulanglah kepada anda sama ada hendak membuat tuntutan atau sebaliknya kerana NCD anda tidak akan terjejas. Kalau sayang duit eloklah tuntut sebab anda tak rugi apa apa pun.
Kami berharap informasi ini dapat membantu anda menjadi pengguna yang bijak. Dengan memahami polisi anda, ia bukan sahaja dapat melindungi hak anda sebagai pemegang polisi, tetapi juga menjimatkan kos. Jika mempunyai sebarang kemusykilan, sila rujuk kepada ejen insurans anda untuk maklumat lanjut. Jom semak kadar NCD kereta anda di MyCarInfo.com.my
Rujukan : iBanding.com
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI