ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

Diskaun tol 10 peratus di lebuh raya KLK dan LPT 1 sempena Hari Natal

Views

ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan diskaun tol 10 peratus sempena cuti perayaan Hari Natal. Diskaun tol untuk semua kelas kenderaan itu akan berkuatkuasa dalam tempoh 24 jam bermula jam 12.00 tengah malam hingga jam 11.59 malam pada Isnin, 25 Disember 2017. Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, inisiatif memberikan diskaun tol menjelang semua jenis perayaan utama di Malaysia yang diperkenalkan sejak 2011 ini adalah sebagai tanda terima kasih Syarikat kepada semua pengguna KLK dan LPT 1.

ANIH Berhad turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan pulang ke Pantai Timur sempena cuti perayaan Hari Natal. Beliau berkata, TTA ini disediakan untuk membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada sesuatu masa yang sama di plaza tol (waktu puncak), khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

Waktu-waktu puncak di mana trafik dijangkakan membanjiri Lebuhraya KLK & LPT 1 sempena cuti Hari Natal adalah pada 23 Disember 2017, iaitu mulai jam 11 pagi hingga 1 petang (untuk trafik menghala ke Pantai Timur) dan pada 25 Disember 2017, antara jam 3 hingga 6 petang (untuk trafik menghala ke Kuala Lumpur). Pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 23 Disember disarankan untuk masuk ke lebuh raya sama ada pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang ATAU antara 7 hingga 11 malam.

Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara jam 6 hingga 10 pagi ATAU jam 5 petang hingga 8 malam. Untuk kembali semula ke ibu kota pada 25 Disember, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara jam 6 hingga 10 pagi ATAU antara 7 petang hingga 11 malam. Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 hingga 11 pagi ATAU antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 6 petang hingga 10 malam ATAU antara 9 malam hingga 12 tengah malam.

Selain itu, pengguna yang ingin menuju ke Pantai Timur boleh mendapatkan jadual TTA di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. ANIH Berhad juga ingin memaklumkan bahawa Lebuhraya KLK dan LPT1 telah melaksanakan kaedah pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya. Oleh itu, pengguna dinasihatkan sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go (TnG) mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik mulai padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol. Sekiranya ingin membuat tambah nilai atau membeli kad TnG, pengguna boleh melakukannya di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di sepanjang KLK dan LPT 1 iaitu di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari. Pengguna turut boleh membuat tambah nilai di kios layan diri di Hentian Sebelah Gombak (arah barat), Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Genting Sempah, R&R Temerloh (arah timur dan barat) dan di Plaza Tol Gambang.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply