ARKIB

KATEGORI

Buletin

Dyson bakal keluarkan kereta elektrik pada 2020

Views

Pengeluar perkakasan elektrik dari British yang pakar dalam pembuatan pembersih hampagas (vacuum cleaner), kipas angin tanpa bilah dan pengering tangan dengan teknologi bilah angin, Dyson bakal mengeluarkan pelbagai jenis kereta elektrik yang menggunakan teknologi bateri solid-state ciptaan mereka. Auto Express melaporkan, kereta elektrik pertama Dyson itu akan diperkenalkan pada tahun 2020, berdasarkan dari teknologi bateri tercanggih dan dibangunkan di kampus terbaharu mereka yang terletak di bekas tapak lapangan terbang tinggal Perang Dunia ke-2 di Wiltshire.

Pengumuman tersebut dibuat oleh pengasas syarikat tersebut, Sir James Dyson menerusi sepucuk surat kepada kakitangannya yang mengatakan beliau sedang melabur sebanyak dua bilion Pound untuk mengeluarkan kereta tersebut – satu bilion untuk pembangunan kereta dan satu bilion lagi untuk mengeluarkan bateri solid-state yang tercanggih. Dyson telah pun menggajikan 400 orang untuk projek kereta tersebut dan bercadang untuk merealisasikannya dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Buat masa ini Dyson tidak memberi sebarang butiran terperinci mengenai saiz, rekabentuk atau jenis kenderaan elektrik yang akan dikeluarkan, namun ia bukanlah kereta sport dan harganya juga tidak murah. Kereta tersebut dijangka menampilkan rekabentuk yang agak nik dan radikal, sama seperti kelengkapan rumah yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut yang turut menampilkan warna-warna yang menyerlah.

Bateri yang akan digunakan nanti adalah dari jenis solid-state, bateri generasi masa depan yang masih dibangunkan oleh pengeluar kenderaan sejak sedekad yang lalu. Awal tahun ini, Toyota mengumumkan kereta keluarkan mereka bakal menggunakan bateri solid-state menjelang 2020, tarikh yang sama dengan kereta elektrik keluaran Dyson. Bateri solid-state tidak mengandungi cecair seperti unit lithium-ion, dan ia mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih besar, lebih selamat dan boleh dicas dengan lebih pantas.

Adakah kereta elektrik Dyson mempunyai rekabentuk unik seperti pembersih hampagas keluaran mereka seperti foto di bawah? Jika Dyson berjaya dengan projek ini, ada kemungkinan pengeluar perkakasan elektrik seperti Panasonic, Samsung, LG, SONY atau Pensonic akan mengikut jejak langkah mereka dengan mengeluarkan kereta elektrik masing-masing nanti, kita tunggu je lah ye!

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply