ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda Civic Type R tiba di Malaysia – Tempahan dibuka mulai 1 Oktober 2017!

Views

Ini berita yang pastinya menggetarkan rusuk peminat setia Type R! Honda Malaysia mengumumkan Civic Type R bakal dilancarkan di Malaysia dan tempahan model ini akan dibuka mulai 1 Oktober 2017. Model Honda paling berkuasa ini mencatatkan rekod sebagai kereta pengeluaran pacuan-roda hadapan terpantas di dunia dengan catatan masa 7 minit 43.80 saat di Litar Nurburgring Jerman pada bulan April tahun ini.

Civic Type R 2017 bakal menampilkan konsep ringan, prestasi dinamik dan mekanikal yang mudah dengan teknologi termaju. Ia dibangunkan dari pelantar Civic Hatchback dengan kerangka badan yang tegar dan peningkatan 38 peratus dalam kekakuan kilasan berbanding dengan generasi Type R sebelumnya (pasaran Eropah). Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter VTEC dengan pengecas turbo yang mengeluarkan output sebanyak 310PS dan tork maksimum 400NM.

Enjin berprestasi tinggi ini digandingkan pula dengan transmisi enam-kelajuan manual yang dibangunkan oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Honda, yang menjanjikan pertukaran gear yang tepat. Civic Type R turut dilengkapi dengan 3-Cara Mod Pemanduan (COMFORT, SPORT dan +R) yang mengawal Sistem Peredam Adaptif (ADS), pendikit Drive-by-Wire (DBW), Stereng Kuasa Elektronik (EPS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), serta sistem cengkaman dan brek.

Honda R&D turut membangunkan Sistem Ekzos 3-Cara untuk memberikan rasa sport dengan bunyi pecutan untuk memenuhi aspirasi pemandu. Pada kelajuan rendah hingga sederhana, ia menghasilkan bunyi ekzos yang padu, manakala pada putaran enjin tinggi ia mengurangkan bunyi yang kurang enak dan memberikan pengalaman yang lebih diperhalusi untuk pemandu.

Untuk memberikan pemanduan yang lebih mantap, Civic Type R dipasang dengan roda aloi aluminium bersaiz 20 inci dan brek berprestasi tinggi BREMBO. Model untuk pasaran Malaysia dikeluarkan dari kilang Honda yang terletak di Swindon, United Kingdom manakala enjinnya pula dikeluarkan di Anna, Ohio (Honda of America Manufacturing Inc).

 

Sempena meraikan ‘Champion of Champions’, Civic Type R bersama-sama Jazz Hybrid Mugen, Civic 1.5L Turbocharged dan CR-V serba baharu akan dipamerkan di booth Honda Innovation. Evolution. di Kawasan Mall Litar Antarabangsa Sepang sempena Formula One Petronas Grand Prix 2017 dari 29 September 2017  hingga 1 Oktober 2017. Tempahan boleh dibuat mulai 1 Oktober 2017 di 21 buah pengedar Honda Sport yang terpilih. Untuk maklumat lanjut hubungi talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020 atau layari laman sesawang www.honda.com.my

Senarai pengedar Honda Sport
*Pelanggan boleh menempah Civic Type R menerusi senarai pengedar di bawah:

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply