ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

Kemalangan maut Tesla, kes ujian teknologi autopilot?

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

  • Pembahagian tanggungjawab isu penting dari segi undang undang
  • Peningkatan keselamatan dan produktiviti bakal menjadi pemacu utama teknologi ini dalam sektor pengangkutan

Antara perkembangan yang paling penting dalam industri automotif global ialah teknologi pandu sendiri ataupun autopilot yang sedang rancak dibangunkan dan kini sudah terhasil kenderaan yang tidak memerlukan pemandu manusia. Namun persoalan yang paling penting bukanlah berkisarkan sama ada teknologi tersebut boleh dihasilkan tetapi apakah implikasi undang undang apabila sesuatu kemalangan berlaku.

Kemalangan maut yang melibatkan sebuah kereta elektrik Tesla yang kini viral dengan keupayaan autopilot telah mendapat perhatian dunia kerana ia mungkin menjadi kes ujian tentang tanggungjawab dan tanggungan semua pihak yang terlibat dari pembuat kereta kepada pemandu dan juga pemandu kenderaan lain.

Seperti biasa, dalam terma perjanjian jual beli Tesla telah meletakkan beberapa syarat tentang penggunaan sistem autopilotnya dan yang utama ialah pemandu harus sentiasa meletakkan tangan di stereng dan peka dengan keadaan sekeliling. Telsa juga menyatakan dengan jelas bahawa pemandulah yang wajib bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kenderaan mereka.

Insiden kemalangan ini dijangka menjadi langkah pertama dalam pembangunan undang undang menyelaras dan menyelia sistem autopilot untuk kenderaan pandu sendiri yang dijangka akan mula memasuki pasaran dalam tempoh lima tahun.

Menurut pemerhati industri, sektor komersil dijangka akan menjadi pengguna pelopor teknologi ini bagi tujuan penjimatan kos, peningkatan keselamatan dan produktiviti. Desas desus penggunaan pemandu elektronik untuk sektor pengangkutan barang dan penumpang telah mula membuat ramai pemandu professional memikirkan kerjaya alternatif dan keputusan kes Tesla ini bakal menjadi penunjuk arah kawalan undang undang ke atas teknologi ini.

rts4hx4

Menurut pakar undang undang, langkah yang terbaik ialah langkah yang kecil dan ini bermaksud penggunaan teknologi tersebut adalah bersyaratkan adanya pemandu yang sedar dan peka dalam kenderaan tersebut. Tanggungjawab ke atas keselamatan penumpang, barangan dan pengguna jalan raya yang lain masih kekal di bahu pemandu dan majikan sementara teknologi digunakan sebagai pembantu yang tidak boleh menerima tanggungjawab secara automatik.

Inilah model yang digunakan oleh industri penerbangan di mana sistem autopilot telah beroperasi lebih lima dekad namun syarikat penerbangan masih menggunakan juruterbang untuk memastikan semuanya selamat. Secara realistiknya, syarikat pengangkutan dijangka akan menghasilkan tata kerja yang menggariskan keupayaan dan tanggungjawab pemandu ketika menggunakan sistem autopilot, sama seperti apa yang berlaku dalam industri penerbangan.

Antara perubahan yang mungkin berlaku ialah penggunaan sistem pengawasan pemandu yang mungkin memerhatikan tindak balas pemandu untuk menentukan samada dia peka atau pun leka. Sistem pemerhati kelekaan ini sudah terdapat dalam beberapa model mewah dan pertengahan dan ianya agak efektif tetapi dalam penggunaan sekarang, pemandu masih mengawal kenderaan dan sistem tersebut memerhatikan tindak balas pemandu bagi mengesan corak pemanduan leka atau mengantuk.

Sekiranya kenderaan dikawal oleh sistem autopilot, teknologi pengesan kelekaan perlu mencari parameter lain untuk diperhatikan bagi mementukan sama ada pemandu masih peka atau tidak. Dalam penggunaan sistem autopilot pesawat, juruterbang diwajibkan membuat panggilan radio untuk melaporkan kedudukan dalam tempoh tertentu bagi memastikan pihak kawalan laluan udara tahu bahwa mereka masih peka dan mampu mengambil alih sekiranya berlaku sesuatu diluar jangkaan.

Untuk penggunaan kereta mungkin pemandu wajib memakai serkop kepada yang dilengkapi dengan pengesan gelombang otak bagi tujuan pemantauan. Kenderaan tersebut juga mungkin perlu dipasangkan dengan sistem penggera untuk mengejutkan pemandu yang leka atau lelap. Apa pun keputusan pihak mahkamah tentang punca kemalangan dan pembahagian tanggungjawab dalam kes Tesla ini akan membentuk langkah seterusnya bagi teknologi kereta pandu-sendiri yang dijangka tidak dapat disekat dalam jangka masa sederhana.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply