ARKIB

KATEGORI

BuletinUlasan Pandu Uji

Pandu Uji : Peugeot 308 THP – Keseronokan tak dijangka

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

Jangan disangka suspensi lembut prestasinya lembab

Nak sebut Peugeot pun orang Malaysia ni susah. Ye lah memang susah pun. Ada yang kata Pee-jot, ada yang kata Pew-Jo, ada yang kata Fe-Jo dan ada juga yang sebut Phe-Jho… Amekaw! Saya pun tak berapa berani nak komen tentang sebutan ni sebab lidah saya dah banyak makan belacan, tak cukup makan keju.

Selain dari sebutan nama Perancis yang agak mencabar lidah Melayu, pemandu di Malaysia ni kebanyakkannya kurang arif tentang kereta dari Perancis kerana sekian lama jenama seperti Peugeot, Citroen dan Renault dianggap kereta untuk orang yang pelik-pelik sikit. Tapi mereka yang dah pernah kena sengat kereta Perancis ni, memang akan terkenang sampai bila bila, manisnya kenangan dengan jenama-jenama unik ni hampir sama dengan pengalaman memandu dan memiliki jenama seperti Alfa Romeo, Fiat dan Saab.

Sebenarnya Peugeot dah lama terkenal dengan ride and handling yang unik, kereta mereka menggunakan suspensi yang lembut dan lentuk tapi bila menyerang selekoh ia tidak gugup atau menggelabah. Kelembutan suspensi tadi digunakan untuk mebolehkan tayar melekat pada jalan seperti bersalut gam dan kalau permukaan jalan tak rata pun, roda tetap menurut perubahan permukaan dan kemas memberi cengkaman tanpa sebarang masalah.

13639653_10153553943102105_746870142_o

Kombinasi spring lembut dan penyerap alunan (damper) yang ditala dengan baik seperti yang digunakan oleh jenama Perancis dan Jaguar dan Lotus di Britain mula lebih difahami dalam tahun 1990an di mana pasukan Williams F1 mula menggunakan spring yang jauh lebih lembut dari yang biasa digunakan dan mencapai kemenangan berganda. Spring keras tak semestinya menghasilkan pengendalian (handling) yang lebih hebat.

Peugeot bukanlah jenama asing dalam menghasilkan jentera hot hatch, malah ia merupakan antara syarikat yang menghasilkan ikon hot hatch pertama dunia iaitu model 205GTI yang terus mendapat penghormatan peminat sehingga kini. Walaupun begitu, entah kenapa bila kami mengambil kunci 308THP, langsung tak terlintas yang model ini juga sebenarnya ialah sebuah hot hatch yang mampu menggegarkan dunia kereta kompak prestasi tinggi Eropah dan juga Jepun.

Kami lebih kagum dengan suspensinya yang begitu mudah mengasingkan segala robek dan rabak jalan dari kabinnya yang bersalut kulit dan bersadur krom. Tahap keselesaan pemanduan Peugeot 308THP lebih mengkagumkan apabila kita lihat bahawa ianya dilengkapi dengan tayar berprofil rendah dan rim 18 inci yang lazimnya menghentak gelung liat dengan begitu ganas hingga terasa di pinggul penumpang.

Di sekitar binaan projek MRT di kawan Taman Tun Dr Ismail dan Kota Damansara, permukaan jalanraya agak melemaskan dengan lambungan dan lekukan di sana dan di sini tanpa sebarang amaran tetapi suspensi 308THP tidak sekalipun menghempas kereta. Jadi dalam tempoh sejam pertama, kami sibuk melayan kemewahan dan merasa kagum dengan rekabentuk kabin dan ergonomik yang berkisar disekitar stereng yang amat kecil.

13621901_10153553943232105_1481672536_o

Kecilnya stereng ni, sampai kita sebenarnya melihat papan pemuka di atas stereng bukan melaluinya. Rasa macam bawa kereta lumba. Stereng kecil dan konsep “i-cockpit” yang dikatakan iras ruang juruterbang pesawat pengempur dan pejuang ini sebenarnya petunjuk besar tentang apa yang difikirkan oleh Peugeot tentang konsep 308 THP sebagai hatchback berprestasi tinggi, namun kemewahannya telah menyimpangkan persepsi kami.

Enjin 1.6-liter turbo pula macam malu malu nak bersuara, paling kuat pun ianya berbisik garau bila pemacu dihentak keras ke lantai sehingga kami tak sedar bahawa ia sedang mengilas satu kadar pecutan yang agak agresif. Bila kami masuk ke lebuhraya baru terperasan yang ianya memecut dengan kadar yang lebih tinggi dari kebanyakkan kereta lain, namun ianya tetap tidak terasa gopoh atau terkinja-kinja, segalanya kekal tenang dan nyaman.

Agak mengelirukan. Kami terpaksa menekan pendikit dengan agresif beberapa kali untuk memastikan bahawa kadar pecutan kereta ini sememangnya melebihi kereta keluarga yang lain dan ianya terbukti benar. Setakat ini, kami merasakan bahawa kereta ini adalah pakej yang amat baik untuk mereka yang mahukan kepuasan pemanduan tanpa berkompromi keselesaan penumpang dan pada harga RM119,800 untuk varian Active ianya juga merupakan nilai yang baik untuk wang anda.

Pada harga RM136,888 untuk THP spesifikasi penuh anda mendapat hampir semua spesifikasi yang boleh dipasang pada kereta kelas ini termasuklah enam beg udara, ESC, active cruise control, kerusi elektrik dengan pemanas, sistem kawalan iklim automatik, sistem audio berkualiti tinggi, bumbung panorama dan rim 18 inci sebagai standard. Di ruang enjin, anda diberikan penjana kuasa 1.6-liter turbo tekanan tinggi yang menghasilkan 150PS kuasa dan 240Nm tork yang cukup bertenaga untuk pemandu yang bersemangat tetapi ia juga bakhil petrol dan mampu melangkah 800km dengan satu tangki penuh.

13647081_10153553944777105_1456207783_o

Kami melakar perjalanan 670km dengan satu tangki dalam keadaan pemanduan bercampur antara laju, bersemangat, santai dan berjimat cermat. Keupayaan enjin 1.6 THP memberikan penjimatan ataupun kuasa mengikut keinginan pemandu merupakan satu pencapaian yang penting dalam menjadikan kereta ini sebuah hatchback yang cukup berkebolehan untuk mencabar model prestasi tradisional seperti Volkswagen Golf GTI, Ford Focus Sport, Honda Civic Type R, mahupun BMW 118i yang jauh lebih mahal.

Dengan satu kereta anda boleh menjadi ayah yang melindungi keluarga, suami penyayang, ataupun pemandu hujung minggu yang mahukan keseronokkan. Tapi sayangnya kereta yang kami uji datang dengan satu kerosakan mudah yang tidak dapat dibaiki oleh pusat servis luar Kuala Lumpur di hujung minggu. Kami mendapati sistem kawalan iklim kereta ini tidak berjaya mencapai suhu yang ditetapkan di waktu tengahari. Perkara ini berlaku pada petang Jumaat apabila enjin dihidupkan dan lampu amaran ‘engine fault, repair needed’ berkelip.

Bagi memastikan ianya bukan pepijat (bug) dalam perisian elektroniknya yang kompleks, kami matikan dan hidupkan enjin beberapa kali sebagai reset. Selepas beberapa kali, lampu amaran kerosakan enjin tidak lagi menyala. Namun sistem iklim tetap tidak berfungsi dengan memuaskan. Keesokkannya kami bergerak ke utara dan mendapati kabin terus panas dan sistem kawalan iklim langsung gagal untuk menghasilkan sebarang kenyamanan di dalam kabin.

Dalam usaha membetulkan keadaan, kami berhenti di Bukit Beruntung dan mencari kedai servis hawa dingin, namun kami kecewa kerana kedai hawa dingin biasa dan kedai pakar tidak dapat melakukan sebarang ujian keatas sistem hawa dingin kereta ini kerana ia menggunakan injap khas untuk mememasukkan gas pendingin ataupun memeriksa tekanan di dalam sistem. “Ini guna gas baharu, lagi baharu punya, dia punya injap (valve) lain. Saya tak boleh sambung untuk periksa tekanan gas pun. Kita pun belum ada gas ini,” kata juruteknik yang bertugas.

Percubaan seterusnya membawa kami ke pusat servis Citroen di Juru dan juruteknik disitu mengesahkan bahawa model 308THP dan Citroen Picasso menggunakan gas baharu dan oleh kerana kereta itu masih baharu di pasaran mereka belum ada stok gas baharu dan menyuruh kami ke pusat servis Peugeot di Bagan Ajam, Butterworth. Berpeluh juga lah nak ke Bagan Ajam dari Juru, bukan jauh, bukan sesat, aircond takde.. panas… Setiba di sana, juruteknik menyambungkan komputer diagnostik kepada kereta dan mendapati bahawa tekanan di dalam sistem penghawa dingin adalah cukup tinggi, ini menandakan bahawa gas pendingin masih di tahap yang ditetapkan.

13663418_10153553944807105_1424805135_o

Komputer diagnostik menunjukkan bahawa relay kipas berkelajuan tinggi sudah tidak berfungsi. Itu yang menyebabkan sistem kawalan iklim gagal mendinginkan kabin. “Kalau nak ganti, kami order dari KL, kena tunggu tiga hari,” kata juruteknik. Aduss, takkan nak tunggu tiga hari di Bagan Ajam. Kami pun mengucapkan terima kasih atas usaha beliau memeriksa kereta dan berkata kami akan hantar kereta ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut. Dengan itu Peugeot 308THP menjadi ‘hot hatch’ dalam beberapa erti kata untuk selebih masanya bersama kami.

Komponen relay kipas kelajuan tinggi ini bukanlah sesuatu yang disimpan oleh semua pusat servis tetapi jika kita pergi ke pusat servis utama jenama Jepun, selalunya ia boleh didapati di hari yang sama ataupun esok hari sekiranya kita datang lewat petang. Mungkin Peugeot begitu yakin dengan kualiti produknya sehingga mereka tidak menghantar komponen tersebut ke pusat pengedaran zon, tetapi penyudahnya keputusan ini menyusahkan pemandu. Sekiranya saya baharu membeli model ini, pengalaman tersebut boleh membuatkan pemilik berasa kurang senang dengan pengalaman tersebut

Kami berharap Peugeot meningkatkan tahap servis mereka. Kesimpulannya, Peugeot 508THP memang satu model yang perlu diberikan perhatian sekiranya anda mencari kereta keluarga yang mengujakan untuk dipandu, kalau anda ada wang lebih sila pilih varian spesifikasi penuh kerana kemewahan yang diberikan memang berbaloi tetapi sekiranya anda hanya boleh melepaskan ciri seperti bumbung panorama dan sistem bunyi berkualiti tinggi, pilihlah varian aktif yang datang dengan enjin yang sama. Kami berikannya 8.0 dari 10.0 markah tetapi kami tolakkan sedikit, akibat kelemahan sistem lepas jualan dan ianya menjadi 7.8 markah.

cover pandu uji peugeot 308 thp

KLIK UNTUK BESARKAN

13621899_10153553943747105_1364389185_o 13621901_10153553943232105_1481672536_o 13639653_10153553943102105_746870142_o 13639694_10153553943422105_508301110_o 13639737_10153553943237105_2145681111_o 13639851_10153553943727105_347809720_o 13639963_10153553934247105_2065218005_o 13639990_10153553943742105_1999743409_o 13646656_10153553943082105_222075040_o 13646684_10153553943717105_298439491_o 13646703_10153553943722105_1018614421_o 13646763_10153553943072105_780671327_o 13646806_10153553944782105_622926003_o 13646810_10153553943462105_361428657_o 13646908_10153553933912105_1138624055_o 13646930_10153553944712105_147551417_o 13647003_10153553944797105_612405084_o 13647081_10153553944777105_1456207783_o 13647198_10153553943097105_886343339_o 13662443_10153553943472105_2037990631_o 13662461_10153553944702105_2015726418_o 13662576_10153553944737105_1011293974_o 13662608_10153553934257105_1555768431_o 13663418_10153553944807105_1424805135_o 13681722_10153553933897105_110636389_o 13681787_10153553944727105_1230191151_o 13681897_10153553934267105_1528171387_o 13681938_10153553944787105_2015417541_o 13692124_10153553943227105_1728191120_o 13692207_10153553944762105_156700742_o 13692299_10153553943412105_791153623_o 13692316_10153553943447105_1116028179_o 13694097_10153553943732105_1982671861_o

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment


  • Admin, mungkin ada typo sikit ni. Di perenggan terakhir “Kesimpulannya, Peugeot 508THP memang satu model yang perlu diberikan perhatian..” Peugeot 308 kot

Leave a Reply