ARKIB

KATEGORI

Buletin

Pelan perniagaan Proton dengan Geely hampir siap, CEO baharu bakal dilantik

Views
Pengurusan Global bakal terajui Proton?

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) sedang berusaha memperincikan pelan perniagaan baharu bagi Kumpulan PROTON. Pelan perniagaan terperinci ini penting bagi menghasilkan “peta hala tuju” yang kukuh bagi Kumpulan PROTON untuk tahun-tahun akan datang dan juga meliputi strategi bagi kedua-dua syarikat bekerjasama bagi membangunkan kenderaan baharu untuk pasaran global.

DRB-HICOM dan Geely Holding masing-masing memegang 50.1 peratus dan 49.9 peratus kepentingan dalam Kumpulan PROTON. Kumpulan PROTON dibahagikan kepada tiga entiti utama iaitu :

  1. PROTON Holdings Berhad (PHB) – Syarikat induk.
  2. Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) – 100 peratus anak syarikat PHB yang berfungsi sebagai syarikat pengeluar, operasi, pembuatan dan pemasaran yang utama.
  3. PROTON Edar Sdn Bhd – 100 peratus anak syarikat PHB, sebagai pengedar utama PROTON.

Bagi ketiga-tiga syarikat tersebut, DRB-HICOM mempunyai satu kerusi tambahan di peringkat Lembaga Pengarah, menyamai pegangan 50.1 peratus yang dimiliki DRB-HICOM. Apabila transaksi dimuktamadkan kelak, satu pengumuman akan dibuat berkaitan komposisi lembaga pengarah syarikat-syarikat tersebut. Ketiga-tiga syarikat ini akan mempunyai wakil daripada DRB-HICOM dan Geely Holding.

Selain penamaan lembaga pengarah di masa terdekat ini, pentadbiran hal ehwal PROTON adalah seperti berikut:

  1. Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar akan kekal sebagai Pengerusi keseluruhan PHB.
  2. Dato’ Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PHB berkuatkuasa 30 September 2017 setelah dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April 2016.
  3. Geely Holding akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PONSB.
  4. Dato’ Mohd Radzaif Mohamed akan kekal sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di PONSB.
  5. Abdul Rashid Musa turut kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd setelah dilantik ke jawatan tersebut pada Februari 2017.

Antara intipati Perjanjian Muktamad yang ditandatangani DRB-HICOM dan Geely Holding ialah syarikat China tersebut bukan sahaja melabur didalam Kumpulan PROTON, tetapi juga berkongsi kepakaran mereka dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran, terutamanya di PONSB.

DRB-HICOM dan Geely Holding menandatangani Perjanjian Dasar pada 24 Mei 2017 untuk membolehkan pembuat kereta China itu menjadi rakan strategik asing PROTON. Pada 23 Jun, kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Muktamad di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply