ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

Perodua Myvi 2017 – Apakah yang anda ingin tahu mengenainya?

Views

Semakin panas laman-laman sosial dengan penularan beberapa foto risalah dan foto tiris terbaharu Perodua Myvi 2017 (D20N) sejak malam tadi. Atas faktor tertentu kami tidak akan memuatnaik foto-foto berkenaan di sini dan cuma mahu berkongsi informasi pada risalah tersebut yang memaparkan tajuk utama Evolusi Ikon. Rekabentuk Myvi 2017 kini berevolusi sepenuhnya hasil sentuhan pereka tempatan. Pada kami model ini memang sangat menarik dan bakal membuatkan jualannya meletup kembali!

Seperti yang kita sedia ketahui, Myvi 2017 (D20N) bakal mempunyai pilihan dua penjana kuasa, enjin 1.3 liter 1NR-VE empat silinder DOHC dengan DVVT-i (enjin Bezza) dan enjin 1.5 liter 5NR-VE empat silinder DOHC dengan DVVT-i (enjin Avanza baharu). Kedua-dua penjana kuasa ini digandingkan dengan dua pilihan transmisi, lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik elektronik. Enjin ini juga membolehkan Myvi 2017 mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga.

Untuk versi Myvi 1.3 liter hanya dua varian ditawarkan iaitu G dan X. Myvi 1.3 liter varian G diberi pilihan dua transmisi, sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik manakala varian X hanya ditawarkan transmisi empat-kelajuan automatik. Myvi 1.5 liter juga ditawarkan dengan pilihan dua varian iaitu H dan AV (Advance). Kedua-dua varian hanya ditawarkan dengan transmisi empat-kelajuan automatik.

Antara ciri-ciri menarik Myvi 2017 (D20N) adalah :

  • Fungsi kemasukan pintar dengan butang mula/henti enjin untuk semua varian.
  • Lampu hadapan LED dengan fungsi Auto-off dan Follow-me-home untuk semua varian.
  • Lampu belakang dengan Light Guide untuk semua varian.
  • Sistem Henti Melahu (Eco-Idle) untuk varian Myvi 1.3 liter varian G dan Myvi 1.5 liter dan varian H dan AV (Advance).
  • Alat pembaca tol terbina dalam untuk Myvi 1.5 liter.
  • Kawalan pendingin hawa menggunakan skrin sentuh.
  • Rim aloi dwi-tona bersaiz 15-inci untuk Myvi 1.5 liter.
  • Rim aloi bersaiz 14-inci untuk Myvi 1.3 liter.
  • Skirt depan dan sisi dwi-tona untuk Myvi 1.5 liter.
  • Spoiler belakang untuk Myvi 1.5 liter.
  • Konfigurasi tempat duduk yang fleksibel (8+1) untuk semua varian.
  • Poket sisi untuk kerusi depan untuk semua varian.
  • Empat beg udara (depan dan sisi depan) untuk Myvi 1.3 liter.
  • Enam beg udara (depan, sisi depan dan tirai) untuk Myvi 1.5 liter.
  • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) adalah standard untuk semua varian.
  • Bantuan Pemanduan Selamat (Advance Safety Assist – A.S.A) seperti ciri Amaran Pra-pelanggaran, Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah) dan Amaran Pergerakan Hadapan, Kawalan Salah-Operasi Pedal hanya untuk Myvi 1.5 liter varian AV (Advance).

Myvi 2017 ditawarkan dengan pilihan enam warna yang menarik. Dua daripadanya merupakan warna yang baharu iaitu Granite Grey (metalik) dan Peppermint Green (metalik) serta empat lagi warna sedia ada seperti Lava Red (metalik), Mystical Purple (metalik), Glittering Silver (metalik) dan satu-satunya warna solid iaitu Ivory White. Aksesori Gear-Up turut ditawarkan kepada pembeli dan boleh dimasukkan terus ke dalam pakej pembiayaan.

Peminat automotif tempatan berpeluang untuk mengintai-intai kelibat model baharu Myvi 2017 di Malaysia Autoshow 2017 bermula 9-12 Novermber di MAEPS, Serdang. Tempahan akan mula dibuka hari ini dan kami dimaklumkan majlis pelancarannya bakal berlangsung pada 16 November ini. Nantikan kemunculan Evolusi Ikon – Myvi 2017!

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

5 Comments

Leave a Reply