ARKIB

KATEGORI

BuletinUlasan Pandu Uji

Proton Persona 2016 – apa yang anda perlu tahu?

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

Kalau nak dikirakan kereta yang memberi nilai terbaik kepada wang anda, saya undi Proton Persona yang dah nak digantikan dengan model baharu ni. Pada saya Persona ialah kereta yang paling cantik dalam senarai model yang dihasilkan oleh Proton kerana, pada pandangan mata saya, rekabentuknya mantap dan selaras dari depan ke belakang dan semua ciri ciri rekabentuk dan kemasan kelihatan terletak elok walau dari sudut mana sekalipun.

Tapi apakan daya, setiap yang ada pasti diganti dan Proton telah membuat keputusan untuk menggantikan model Persona yang menjadi tonggak begitu banyak keluarga di Malaysia ini dengan satu sedan yang baharu. Proton tidak menyorok hakikat bahawa Persona terkini dibina atas pelantar yag dikongsi dengan model hatchback Iriz dan ini telah membolehkan mereka menghasilkan sebuah sedan yang dapat memenuhi segala keperluan dan peraturan dari segi keselamatan.

Seperti yang kita tahu, Proton Iriz menggunakan besi tempa panas ataupun hot press formed (HPF) yang menjadikan kerangka kereta itu amat jitu dan kuat. Dalam transformasi dari hatchback ke sedan, Proton mengekalkan jarak antara gandar dan menambah but yang agak besar kepada kereta ini sambil membuat beberapa perubahan penting kepada ruang kabin.

Rekabentuk but Persona ini jelas menunjukkan bahawa mereka memberi perhatian khusus kepada ruang barangan dan hasilnya ialah kapasiti 510 liter yang cukup besar untuk keperluan sekeluarga. Dalam menghasilkan but yang besar ini mereka terpaksa bersabung pena untuk melarikkan garisan yang dapat, sedikit-sebanyak, mengalih pandangan dari saiz but dari luar. Kedudukan bukaan but yang tinggi menyebabkan sisi Persona agak tebal dan ini memerlukan kreativiti rekabentuk untuk menjadikannya lebih pipih secara visual.

Penggunaan garis ciri yang bermula dari dasar tingkap sisi dan terus ke lampu belakang memecahkan monotoni permukaan dan ini dipecahkan lagi dengan garis ciri kedua yang dilarek dari atas bukaan tayar ke belakang. Penggunaan lampu belakang yang berbentuk organic tetapi dihias dengan kemasan geometrik membolehkan Persona kelihatan agak licik dan bergaya walaupun ianya jelas sebuah sedan keluarga. Bumper depan “Misai Wak Doyok” dijangka akan menjadi tumpuan perbualan tentang rekabentuk Persona kerana ianya begitu tersendiri dan pada masa yang sama bersahaja.

Ini bukan Persona bapa anda, ini Persona alaf baharu jadi rekabentuknya juga dihasilkan mengikut citarasa Gen-Y yang mahukan identiti yang jelas berbeza dari yang lain tapi pada masa yang sama tidak janggal. Dari segi kabin, Proton mencuri beberapa inci di sini dan di sana secara fizikal dan visual untuk menghasilkan kabin yang boleh dikatakan agak lapang. Contoh paling utama ialah lekuk di bahagian belakang kerusi hadapan yang memberi seinci dua ruang lutut tambahan dan ini amat bernilai untuk mereka yang agak tinggi seperti saya.

Penggunaan dua tona bagi papan pemuka dan kemasan pintu juga memainkan peranan dalam melapangkan persepsi visual kabin Persona. Pada kami perubahan yang utama berlaku di bawah pelantar dimana jurutera Proton telah mendedikasikan usaha mereka kepada pengurangan bising, gegaran dan kekasaran (noise vibration and harshness – NVH). Saya boleh mengatakan ianya usaha yang telah sukses dan segala perubahan, termasuk rekabentuk sistem ekzos, penggunaan bahan penyerap bunyi dan gegaran, rekabentuk tapak enjin yang baru dan pelbagai pengukuhan struktur telah menghasilkan satu jentera yang tinggi tahap kehalusannya dari segi NVH.

Perubahan kepada talaan kotak gear CVT dan cara ia bertindak balas kepada input pendikit juga memainkan peranan penting dalam menjana kabin yang senyap dan selesa. Jika dulu enjin dikerah ke 5,500 rpm setiap kali pendikit di tekan ¾ atau hingga ke lantai dan sang pemandu dibiarkan menunggu kelajuan meningkat dalam masa yang sama enjin terus-terusan mengaum pada nada yang bingit. Pengalaman pengguna masa itu kurang memuaskan kerana bunyi enjin yang mengaum tidak diiringi oleh peningkatan kelajuan yang dramatik.

Hasilnya ramai berkata Iriz dulu lemau. Dengan perubahan ini , pemandu menikmati perubahan visual kelajuan sambil menikmati peningkatan nada enjin yang selari dengan input visual. Hasilnya ramai wartawan yang menguji Persona di litar ujian Proton petang semalam merasakan kabinnya senyap melebihi yang dijangkakan. Bunyi angin juga minimum kecuali sudah melepasi had laju lebuhraya. Penalaan kotak gear, enjin dan ekzos telah mencapai maksud mengurangkan bunyi, gegaran dan kekasaran sambil memperbaiki persepsi prestasi dan kualiti.

Ikhlas kami katakan bahawa sekiranya anda sedang memikirkan sebuah kereta keluarga mampu milik, eloklah anda menunggu model Persona ini agar dapat merasai dengan sendiri apa yang kami katakan. Sekiranya Proton mengekalkan harga Persona yang sedia ada dan menawarkan model asas pada harga tak jauh tinggi dari RM44,000 maka ini adalah kenderaan yang memang akan memberi pulangan nilai yang tinggi untuk wang anda.

Kalau tak suka pun sekurang kurangnya anda sudah mengalami Persona dan tidak tertanya-tanya lagi sama ada dan telah membuat pilihan yang tepat. Bukan kami kata kereta ini dah sempurna tetapi kekurangan yang kami dapati dari segi kualiti plastik, sentuhan suis dan tombol adalah isu yang sama yang dihadapi oleh semua model asas walaupun harga mereka lebih mahal dan dihasilkan oleh syarikat automotif gergasi.

Selain dari itu, anda juga boleh tonton video “Safety360” yang menjelaskan bahawa model Persona ini didatangkan dengan pelbagai ciri keselatan termasuk ESC, ABS, Traction Control dan enam beg udara.

KLIK UNTUK BESARKAN

lampu belakang persona 2016 lampu kabus persona 2016 meter panel persona 2016 papan pemuka persona 2016 rekabentuk depan persona 2016 rim sukan persona 2016 ruang dalaman persona 2016 - beg udara ruang dalaman persona 2016 ruang enjin persona 2016 tempat duduk belakang persona 2016

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

36 Comments


  • Persona 2016 lebih baik keseluruhannya berbanding Persona terdahulu. Article yang menarik untuk dibaca. Banyak persoalan terjawab apabila membaca artikel di atas. Syabas tuan Shamsul Yunos.


    • seperti ford fiesta, mazda 2, kia rio, Peugeot 207 yang disedankan, pasti akan ada sedikit cacat bentuknya.

      BTW, kalau kereta sedan, laluan tangki minyak tu masih berada di bawah wheel arc seperti kompak juga ke? kalau tgk gambar persona ni, laluan tangki minyak masih seperti kereta kompak.


  • hmmmm……. bagi saya ini bukan persona… ini iriz sedan… persona adalah preve… kalau anda ikut perkembangan proton… preve adalah model gantian dari persona… sebab persona masih ada permintaan itu pasal proton masih keluarkan persona….

    dashboard sebijik mcm iriz…. kenapa perlu disorok bagai masa ujian selama ini ? hahaha…


    • bro..ni memang persona..preve is preve..sebelum ini pengurusan proton sendiri carca merba dalam penyusunan kereta-kereta mereka. sebab tu kejap umum pengganti waja, kejap umum pengganti persona….tup2 bagi nama lain pulak..

      Now, mereka susun semula. persona yang akan dilancarkan tak lama lagi, itulah persona generasi baru. Yup..mereka memang ambil dari Iriz, tapi ia salah satu cara untuk mengurangkan kos pembangunan.anggap je ini permulaan baru, sebab lepas ni mungkin mereka tidak ubah nama..saga segmen A, persona segmen B, preve segmen C…

      So, kepada pencinta persona, anggap je persona ini bukan sedan yang mempunyai bentuk yang proper seperti sebelumnya sebab proton sudah susun semula segmen kereta mereka. Mungkin ada yg sedikit kecewa sebab proportionnya tak sesempurna vios dan city.


      • betul tu bro…. pengurusan proton yg mencelarukan model2 tersebut…

        asal nya mmg penganti persona… memandangkan persona masih menerima permintaan yg agak baik… sebab itu proton masih menjualnya… kalau perasan la… masa preve keluar… proton umumkan persona bakal ditamatkan pengeluarannya… berapa kali proton tangguh tamat pengeluran ? sbb nya permintaan masih ada….

        sepatutnya persona lebih baik dan menarik dari model yg dipanjangkan dari model iriz ini…. apa susah panggil iriz sedan je…. hihi…..

        ok bro… sekadar pandangan je….. Go Proton !


        • Bagi saya takde masalah pun guna nama Persona untuk model iriz sedan ni walaupun lagi kecil daripada model persona sedia ada.Mitsubishi Mirage tu dulu kan nama Satria tu, tapi sekarang dah guna nameplate tu kat Mirage bau yg mrupakan kereta segmen A 4 pintu,yg jauh sangat berbeza dengan Mirage Satria.
          Honda pun sama juga.Jazz tu nama bagi model macam Vitara di Jepun.Tapi bagi model Fit,sestengah market guna nama Jazz. Lagi satu model adalah Honda City. 1st gen city merupakan hatcback 2 dan 4 pintu.Tapi bila platform Jazz dipanjangkan,City adalah sedan B Honda disebabkan Civic yang pada mulanya di B segmen menjadi semakin besar dan masuk territory C segment.


  • Kalau dari exterior, aku rasa Iriz lagi kelihatan premium berbanding persona ini.
    Memandangkan proton terpaksa cut cost untuk mengekalkan harga di bawah RM60K, mereka terpaksa membuang beberapa ciri luaran seperti yg terdapat pada Iriz. Agak kecewa juga jika head rest seat belakang tidak boleh diadjust seperti Iriz.

    Dari segi pemanduan dan NVH, rasanya kena pandu kedua-dua model ni. kadangkala ia subjektif bagi setiap individu.

    Memandangkan proton sudah menambah baik model saga serta memperkenalkan semula persona pada segmen yang berbeza, diharapkan proton tidak lupa kepada segmen C mereka iaitu preve. Sudah tentu ada golongan pertengahan atas yang menginginkan kereta yang “proper” dari segi rekabentuk, saiz dan sedikit ciri premium untuk keluarga mereka.

    Moga selepas ini proton menumpukan usaha kepada preve di samping mereka membina pengganti exora…


  • USB port phone charger kat belakang tuh bagus. Tapi lebih bagus kalau ada tempat untuk letak talipon. Macam Iriz terutama sekali yang manual tak tahu nak letak phone kat mana semasa charge. Lubang bulat belakang tak muat untuk phone yang rata rata saiz 5 inci keatas. Dekat bahagian depan gear tuh asyik sangkut batang gear manual bila nak tukar gear.


  • Sport rim agak mencacatkan kecantikan kereta ini. Kalau beli perkara pertama kena fikir…ganti sport rim. Hrp utk model premium, sport lebih cantik.


  • Paultan melaporkan di kelajuan had lebuhraya (110kmj), rpm persona baru ini mencecah 3000rpm (seperti Persona lama). Dalam hal ini, isu fuel consumption masih lagi menjadi tanda tanya.

    Bezza dilaporkan mencecah kelajuan tersebut pada rpm yang lebih rendah. Maka, rasanya lebih baik tunggu enjin 1.3 GDI usahasama dengan Ricardo UK (codename Volcano) yang bakal muncul 2017 nanti untuk kualiti pemanduan yang leibh jimat petrol dan senyap (sekiranya talaan dilakukan untuk penjimatan dan senyap, bukannya fokus prestasi sahaja).


  • Setuju dengan Encik Shamsul. Saya juga berpendapat Persona CM6 dan Gen-2 dua model yg paling berstail keluaran Proton. Saya xbeli Persona sebab ciri-ciri dalaman dh ketinggalan walaupun 2007 cermin sisinya kena adjust guna tangan. Ini mcm Saga 1986 bapa saya.

    Encik Shamsul mmg jauh lebih pakar drpd saya yg cuma sorg pemerhati kopitiam/syiok sendiri. Di sini saya bagi sikit pendapat saya ttg strategi Proton, atau lebih tepat, “missed opportunity” Proton. Saya berani kata bahawa apabila Persona dikeluarkan 2007, ia adalah kereta segmen B+ yg pertama di dunia, tapi sayangnya pengurusan Proton mcm tidak sedar peluang emas dlm tangan mereka (saya pun xsedar masa tu, tapi kan para pengurus Proton sepatutnya lebih peka kpd industri kereta). Saya juga berani kata, sebaliknya pengurusan Nissan yg sedar potensi Persona dan Nissan melancarkan Almera/Sunny N17 pada 2011. Sebab sebelum itu, Nissan memasarkan hatchback Latio (yg mcm Gen-2) dan Latio sedan (yg saiz mcm Vios dan City). Masa tu Vios, City, Latio sedan jauh lebih kecil berbanding Persona. Saya berani kata, sekali lagi, pengurusan Nissan mendapat ilham daripada Persona dan memanjangkan frame Latio utk menghasilkan Almera/Sunny (China). Sasaran mereka pesaing segmen C tempatan China (yg seperti negara kita berada pada tahap harga segmen B kereta import). Strategi Nissan utk menjadikan sebuah kereta segmen B+ nampak sebesar kereta segmen C berhasil dan Sunny jual lebih laris daripada Vios generasi dua yg lebih pendek di China. Tak hairannya Toyota yg juga lambat sedar – tapi lebih baik drpd xsedar – juga melancarkan Vios generasi tiga yg merupakan frame Yaris yg dipanjangkan, dan kita pun dh tau siapa yg menguasai segmen B/B+ tempatan hari ini. Proton mempunyai “headstart” hampir lima tahun sebelum B+ asing yg pertama – Almera dilancarkan di Malaysia. Tapi Persona kekal dgn kelengkapan zaman Gen-2. Mcm juga tiada usaha utk “upgrade” frame Persona utk pengiktirafan keselamatan lima bintang (saya bkn jurutera tapi saya rasa mmg ada cara utk terus menggunakan frame Persona yg sampai hari ini masih belum ketinggalan dari segi dimensi). Persona pada zaman 2010 – 2016 mcm model sedang tunggu diluputkan.

    Pihak pengurusan Proton nampaknya masih tidak sedar yg pada pendapat saya satu kesilapan strategik yg dibuat hampir sepuluh tahun dahulu. Gen-2 digantikan dgn Iriz mensasarkan Myvi (yg kemungkinan juga model tunggu luput sebab strategi Toyota utk Perodua dh beralih ke “low cost model” dgn pelancaran Axia dan skrg Bezza – saya mula-mula ingat Myvi akan digantikan Bezza tapi tanggapan saya salah – strategi Toyota jauh lebih agresif dgn memasarkan Bezza di harga Axia – tapi saya tetap rasa Myvi dan Alza akan diluputkan dan digantikan dgn MPV kos rendah dan mungkin Toyota akan keluarkan Avanza J mcm Daihatsu Xenia utk mengisi ruang Alza – mungkin saya salah sekali lagi). Skrg Proton terpaksa menjual sebuah model kereta yg xjauh beza drpd Axia dgn harga yg lebih mahal. Kalau Proton mengekalkan strategi Gen2 (saya xtau istilah utk bezakan hatchback jenis Gen2 dgn Iriz/Axia) dan mengeluarkan model yg baru seperti Polo dan Kia Rio, tidakkah ini memberi lebih “differentiation” banding Axia? Dgn Gen2 baru yg lebih besar, dapatlah Proton keluarkan pengganti Persona yg lebih besar daripada CM6, dan dgn itu Proton sekali lagi mempunyai “tangan tinggi” berbanding pesaing segmen B yg lain, seperti tahun 2007. Sebab masalah besar Proton skrg ialah harga kereta segmen B semakin turun sejak Vios J di bawah RM80K, Almera di bawah RM70K, dan kemudian City di bawah RM80K. Tapi harga Persona tak turun. Sebaliknya, Persona gantian menjadi lebih kecil dari segi dimensi. Wheelbase dan kelebaran Persona gantian kurang drpd CM6. Maksudnya, apa yg Proton hasilkan adalah sebuah kereta sedan mcm Attrage, yg kita semua pun tau jualannya mmg tak menggalakkan. Dan harga spek tinggi Persona gantian pun tak jauh drpd harga Attrage dan base spek Almera. Klu kira bayaran bulanan perbezaan itu lagi kecil. Apa yg pengguna akan pilih? Adakah pengguna Persona CM6 akan membeli sebuah model baru yg lebih kecil?

    Saya selalu berpendapat Proton adalah sebuah syarikat kereta yg mempunyai potensi utk berjaya di tahap antarabangsa. Saya yakin dgn kemampuan kejuruteraan dan rekaan tempatan (Gen-2 dan Persona) tetapi saya “underestimate” betapa pentingnya peranan pihak pengurusan dlm kejayaan sesebuah syarikat. Saya rasa bukan saya sorg sj yg berpendapat Proton gagal disebabkan pihak pengurusannya. Saya rasa contoh Persona adalah penanda kegagalan strategi produk pihak pengurusan Proton yg paling ketara – mempunyai “the goose that laid the golden eggs but never realising it”. Kadang-kadang saya tertanya samada kumpulan eksekutif Proton membawa kereta keluaran syarikat mereka hari-hari (dan tau apa bunyi yg keluar dari dash atau kerusi) atau kereta mewah Jerman? Proton sebenarnya mempunyai banyak peluang keemasan utk melonjak ke depan tapi mcm disia-siakan sj (Preve). Seperti yg pernah saya ulaskan, Proton perlukan sorg pemimpin yg “breath and eat everything Proton”, bukan pengurus yg dtg buat accounting dan costing sj. Kalaulah Tan Sri Yahya ada, adakah Proton hari ini lebih berbezza (Proton yg tinggi jualan bkn Perodua)?


    • Panjang nya la komen,saya ingatkan artikel baru pada mulanya.
      Nampaknya ramai tak tahu root cause Proton tidak dapat update produk mereka sepantas global player lain.Jawapannya adalah scale of economic.Dengan jualan sekitar 150k unit setahun bagi 5 model,Proton akan ambil masa 2 kali ganda bagi break even @ balik modal.
      Proton banyak keluarkan produk niche macam Perdana, Satria, Arena, Gen2 yang kos pembangunannya sama macam model pisang goreng panas.Model2 ini sepatutnya tidak dikeluarkan pada awalnya.Kita lihat P2,hanya ada 4 model panas sahaja dan tidak bertindih market sesama mereka.Proton pula banyak model yang hampir sama, jualan rendah, cannibalising each other.
      Streamline model Proton ni dulu Syed Zainal dah buat, tumpu high volume model Saga,Persona,Exora.Lagipun dia guna acuan P2 sebab dia dari P2 juga.Part2 antara model mula dikongsi macam door handle dan sebagainya untuk dapatkan scale of economic.
      Peluang zaman iPhone yg Proton lepaskan sebenarnya adala bekerjasama dengan Apple atau Google.Mereka sangat agresif nk keluarkan kereta sendiri dan teknologi self driving.Syarikat2 automotif tradisional VW,GM,Toyota sangat risau dengan mereka ini kerana punyai cash reserve yang sangat besar.Proton ada kapasiti pengeluaran dan R&D yang bole ditawarkan kepada Apple dan Google sebagai partner sebenarny.Bayangkan peluang kerja baru dan bidang baru yang kita boleh teroka, yang mana mampu naikkan traf rakyat Malaysia.


      • Terima kasih kerana membaca cuma sikit pendapat saya. Mmg betul Proton tiada ekonomi of scale seperti syarikat kereta besar dunia. Tapi harus ditanya mcm mana Perodua mampu keluarkan varian “refresh” Myvi, Alza, atau Viva (sebelum ini) hampir setiap dua-tiga tahun? Dgn tambah sikit mcm bumper rekaan baru. Preve, kereta yg saya beli empat tahun lepas, masih nampak sama – ok ada tambah dua lagi airbag dan player baru – tapi rupa luarnya dh nampak mcm apek. Setiap kali saya pergi servis kereta Preve yg duduk kt showroom tu mcm semakin usang. Perodua xmungkin dpt ekonomi of scale dari Toyota – sekurangnya bkn bumper baru tu – jadi mesti ada caranya mereka dpt sampai kecekapan utk “refresh” produk tanpa meningkatkan kos. Saya rasa, masalah Proton bkn sj ekonomi of scale, tapi “efficiency” atau kecekapan Proton dan para pembekalnya. Jelas Perodua mendapat bimbingan Toyota dari segi ini. Proton nampaknya belum “grasp” prinsip pengurusan “supply chain”.


        • Klu boleh saya tambah lagi, ayam dan telur yg manakah dulu? Tanpa model “refresh” atau baru, mananya dtg jualan; tanpa peningkatan jualan, mananya dtg volume; tanpa volume, mananya dtg “economy of scale”; tanpa scale, mcm mana kurangkan kos utk hasilkan model “refresh”/gantian tiap lima tahun? Inilah “conundrum” yg buat sorg pakar pengurusan sakit kepala. Tapi jawapan dia mmg dh ada, iaitu kecekapan atau “efficiency”. Utk kawan-kawan yg bekerja atau pernah berkhidmat dlm sektor awam, ia dinamakan “5S”. Dari negara manakah dtgnya konsep 5S, kita semua tau.

          Keadaan Proton lebih kurang sama dgn satu lagi GLC yg skrg bermasalah – MAS: kos overhead yg terlampau tinggi. Sebuah syarikat yg rasional akan kurangkan kos apabila pendapatannya berkurang, tapi adakah Proton berbuat demikian? Berapakah pekerja Proton yg telah kena “retrenched”? Setahu saya, tiada. (Ya, saya faham, ini isu sensitif, tiada siapa mau dibuang kerja, tapi utk perbincangan kita jgn termasuklah emosi, gunalah rasional.) Toyota, yg sepatutnya ada “economy of scale” dh “retrench” pekerjanya di negara Thai sebaik sj jualan menurun. Kerajaan pusat kan juga membeku pengambilan penjawat awam baru persekutuan sebab pendapatan negara berkurang. Kita juga tau di mana-mana syarikat kereta – dari GM, Ford, Chrysler pd tahun 2008 – bila syarikat rugi pekerja dilepaskan supaya syarikat dpt hidup. Tapi Proton tak buat demikian walaupun dh rugi beratus juta (dan ini bkn kali pertama).

          Hakikatnya, Proton bukan sahaja dpt mengurangkan kos tapi juga dpt meningkatkan produktivitinya dgn jumlah pekerja yg jauh kurang drpd yg ada skrg. Pengurus muktamad Proton, iaitu kerajaan Malaysia, harus membebaskan Proton drpd pelbagai jenis “ikatan” yg melambatkan transformasi Proton. Peranan kerajaan cumalah menyokong, bkn mengawal. Proton harus dpt membuat keputusan sendiri pasal “manpower” (retrench atau tidak) dan pemilihan pembekal (mana-mana pembekal yg paling kos rendah dan berkualiti dan bkn dipaksa beli tempatan). Bila “red tape” sebegini dikurangkan, dptlah Proton menjadi sebuah syarikat yg lebih efisien dan mampu bersaing dgn gergasi di depan pintu mereka – Toyota.


          • Saya lagi, dan cun-cun CEO Lotus (anak syarikat Proton) berkata bahawa Lotus akan kembali berkeuntungan mulai tahun ini. Klu sebuah syarikat “sports car” yg “low volume” dan kurang “economy of scale” (banding Porsche, Ferrari) dpt kembali untung, kenapa Proton tidak?

            Ini yg CEO Lotus ckp mcm mana Lotus dpt kembali untung: He added that Lotus will continue to review costs in the future, despite trimming much of the bulk in the intervening two years. In that period, jobs have been slashed from 1,200 to 900, the number of hours taken to build a car has been reduced by 10% and the company has been continuously cutting the cost of parts. “It was one of the prerequisites of becoming profitable, and we will get there,” he said Cerita pendeknya: Lotus telah menjadi jauh lebih efisien drpd dulu.

            Adakah dia yg sepatutnya menguruskan Proton?


          • Mmm… kena ingat, selain restruktur kembali lotus, keuntungan lotus sejak 2 tahun yg lalu adalah bila lotus serius bertapak di China dan model lotus nie mendpt tempat di sana. Semua nie adalah hasil usaha DSZ sebelumnya. Ketika itu juga profit jualan prootn meningkat (saga/persona/exora). Namun keuntungan itu masih belum dpt menebus kerugian syarikat keseluruhan yg tertanggung sejak zaman model waja dikeluarkan (1999/2000).

            So, 2017 adalah percaturan baru utk prootn bangkit menguasai pasaran yg agak sengit dengan pengenalan model2 proton generasi baru (spt. saga/persona/ertiga/perdana) di bawah gaya pengurusan yg baru. 5 tahun ini menyaksikan tempoh pemulihan bagi prootn 🙂

            Cheers!


          • Ya, setuju dgn Encik Fauzan. Tapi Lotus sebenarnya belum untung lagi (bkn dh untung sejak dua tahun bila Dany Bahar yg dipecat CEO). CEO-nya (Jean-Marc Gale) menjangkakan keuntungan tahun ini. Dan jualan di China sebenarnya jauh lebih kecil – 80 kereta, banding Jepun 365 kereta dan pasaran tradisionalnya – UK, USA. Hasil untung Lotus dtg drpd “cost cutting” dan pelancaran model yg menarik pembeli dan jualan meningkat di semua pasaran lamanya. “Cost cutting” dan produk baru adalah dua bahagian sebiji duit syiling. Adakah Proton melakukan dua-dua ini?

            Hakikatnya, Proton susah kembali untung tanpa pengurangan pekerjanya dan pengurangan kos “parts” buat kereta. Masa DSZ Proton masih mempunyai kelebihan dari segi kos – kereta Proton masih murah (banding import) dan pembeli kereta zaman DSZ kurang pilihan maksudnya kurang pesaing – Almera bawah RM70K (vs Persona lama) belum lancar lagi, Perodua juga belum lancar Alza (vs Exora) dan Bezza (vs Saga). Dan klu saya berpeluang bersemuka dgn DSZ, saya ingin tanya dia kenapa Preve Premium dilancarkan tanpa kerusi kulit, DRL dan transmisi yg lebih sesuai – ciri-ciri yg mampu melonjatkan Preve ke depan segmen C (dan mungkin kekalkan daya-saingnya sehingga hari ini). Skrg jualan Preve dh diatasi Vios-3 (kereta yg lebih kecil dan lebih mahal). (Saya beli Preve sebab saya sokong Proton; klu secara rasional sepatutnya saya beli kereta segmen C Jepun.) Tapi saya setuju bahawa DSZ mungkin CEO paling cekap Proton.

            Proton ada “cut cost” – tapi dia “cut” mana? Saya ambil contoh pusat servis 3S Kuching. Empat tahun dahulu saya pergi ada minuman kopi, teh, dan biskut percuma. Dua tahun kemudian biskut dh xda – ok mungkin kebetulan habis. Satu bulan lepas, pergi servis biskut tetap xda, mesin buat kopi rosak, kerusi goyang, langsir ada yg rosak – pusat servis dan jualan ini mcm xbermaya – walaupun dgn Perdana baru di tengah – apakah tanggapan pelanggan sedia ada? Adakah mereka akan syorkan kereta Proton kpd kawan klu keadaan pusat servis dan jualan mcm tu? Dan Proton “cut cost” lagi di mana? Rakan sekalian ada perasan lampu kereta Proton semakin kecil lepas Persona? Ya, saya tau, skrg model terbaru kembali besar. Tapi, “damage is done” byk sales yg hilang sebab rekaan kurang menarik. Dan Persona gantian – DRL hilang, Projector hilang, centre armrest xda, kurang bahagian krom (Proton mcm sgt takut krom door handle dan sebagainya), dahlah kereta dh kurang dimensi banding Persona lama. Proton “cut cost” kt produknya. Ini mcm KFC bila keuntungannya berkurang KFC cut cost dgn kurangkan bahan-bahan yg masuk dlm ayam gorengnya. Apa yg terjadi? Ayam kurang sedap, pelanggan kurang, revenue KFC berkurang lagi – satu “vicious cycle” yg akan tarik sesebuah syarikat ke bawah. Ini kesalahan kritikal klu cut cost dgn mengurangkan ciri-ciri jualan (selling points) produk sesebuah syarikat. Klu Proton kurangkan kos overhead dgn kurangkan pekerja dan kurangkan kos belian parts, kos yg dijimatkan tu bolehlah digunakan utk tingkatkan kualiti dan tambah kelengkapan kereta Proton utk menjadikan kereta tersebut lebih menarik hati pelanggan.

            Itu sebab kenapa Lotus tak cut cost dgn membuat kereta dia kurang kelengkapan. Sebaliknya, Lotus kurangkan kos belian atau “acquisition costs” parts kereta dia dari pembekal. Dan Proton hanya dpt capai ini klu dia bebas memilih pembekal – tak terhad kpd pembekal tempatan. Tapi satu tangan tepuk tak berbunyi. Cost cutting terpaksa melibatkan “retrench” pekerja – kos overhead mesti dikurangkan – contoh Lotus dan satu lagi GLC – MAS.

            Saya mmg berharap saya salah 10000% dan En Fauzan betul dan Proton akan kembali untung dlm masa lima tahun ini tanpa membuat apa-apa yg disenaraikan di atas.


          • Mmm… Keuntungan operasi lotus utk 2 tahun itu masih tidak dpt cover kerugian syarikat itu sejak prootn ambil alih lotus.

            X semestinya semakin semua mengecil itu dikatakan cut cost. Bagi sesebuah model depa cari bentuk yg praktikal. Means myvi baru yg lebih kecil drp model lama itu sebahagian drp cara cut cost?

            Preve tu C segment. Jualan operasinya patut dibanding dgn altis, forte/cerato/civic. Kalau nk banding dgn vios, yg tu B segment. Compare la dgn honda city, persona mazda2:)

            Ada pelbagai kaedah utk sesebuah syarikat melakukan pemulihan dan ini bergantung kat depa. X semestinya bila sebut re-struktur organisasi mesti melibatkan pembuangan pekerja. Mgkin itu last choice:)
            Apa yg penting prootn perlu mengembalikan kepercayaan pengguna menerusi barisan model2 baru dan memperbaiki service lepas jualannya.

            Cheers!


      • Peluang masih ada.Proton boleh cuba approach Apple atau Google untuk beli saham Proton dan jadi partner Proton.Masalah luar biasa memerlukan penyelesaian luar biasa juga.Mereka banyak cash reserve untuk bangunkan kereta masa depan.


      • Cadangan jual saham dan partneding dengan syarikat kerta luar adalah kaedah konvensional.partnering dengan tech company adalah out of the box dan merpakan blue ocean strategy.madani,Miti,DRB HICOM bacalah komen ini dan ambil tindakan sepatutnya dengan pantas.


    • saya fikir missed opportunity bukan sekadar strategi untuk produk sahaja tapi juga missed opportunity utk memasuki pasaran baru (India, China, Asean). 15-20 tahun lalu P1 lebih berminat dengan pasaran Eropah dan mengabaikan potensi kuasa Asia yang bekembang dengan senyap. Cuba kaji pasaran Indo, Siam, Vietnam yang dah cukup besar untuk kompeni bersaiz P1.
      P1 memang memerlukan engineer, marketer, accountant sebagai tulang belakang tapi yang lebih penting ialah visionary, economist dan leader yang boleh memandu P1 untuk sentiasa bekembang.
      All the best Proton!


    • Haha saya dtg lagi, tak habis-habis komen. Tambahan kepada ulasan saya hari lepas. Sebelum ini saya ada berharap Proton akan memasarkan Persona gantian spek rendag di basah haag spek tinggi Bezza. Dan mengikut risikan Encik Campromania Proton tak mengecewakan. Tapi lepas membaca preview Persona gantian di Funtasticko (Encik Shamsul) dan Paultan yg langsung tidak sebut Persona gantian adalah lebih besar daripada Iriz yg menjadi asasnya, saya sedar tanggapan saya dh salah dan tanggapan Toyota adalah betul. Kenapa?

      Mula-mula saya ingat semua model “native” Proton iaitu kecuali Ertiga akan mengambil strategi “lebih besar dan value berbanding pesaing” – Perdana baru yg mungkin sedan segmen D paling panjang, dan spyshots Saga gantian yg nampak ketara lebih besar daripada Saga Plus. Saya beranggapan Persona gantian akan dipanjangkan utk bersaing terus dgn Almera dan Vios-3. Tapi dari preview Persona nampaknya anggapan ini tak tepat dan Persona kekal dimensi Iriz yg kurang daripada Persona CM6. Tambahan pula, sesetengah spek seperti DRL diketepikan apabila kereta baru import segmen B akan dtg pasti akan ada DRL – bkn ciri penting dari segi penggunaan tapi penting utk pembeli “show-off” kereta dia.

      Sebaliknya, Toyota “bertaruh” (atau ada org dalaman Proton “leak”) Proton akan mengikut strategi lama dia – Gen-2/Persona CM6, Preve/Suprima S – dgn tambah buntut sj tanpa apa-apa pemanjangan pada wheelbase atau kelebaran. Dgn itu, Toyota telah memposisi Bezza utk mensasarkan bkn sj Saga tapi juga Persona gantian – spek rendah sasar Saga dan spek tinggi sasar Persona. Ini sepertimana Axia spek tinggi disasarkan kpd Iriz walaupun dua kereta ini segmen berlainan. Tapi Axia yg dh dlm segmen A+ cuma kurang sikit banding Iriz dan klu tgk secara mata kasar nampak lebih kurang sama. Ini sebagaimana strategi Nissan utk menjadikan sebuah kereta segmen B nampak sebesar kereta segmen C. Dan ternyata strategi ini berhasil bkn sj di China (tempat strategi ini julung kali digunakan) tapi juga Malaysia – cuba banding jualan Preve (C) vs Vios-3, Almera, City yg semua B (di Kuching, Preve adalah spesis terancam). Strategi sama ini diguna semula oleh Toyota utk mensasarkan Axia vs Iriz dan skrg Bezza vs Saga dan Persona sama sekali.

      Adakah Toyota akan ulangi strategi ini utk “sambut” kedatangan Ertiga? Mungkinkah Perodua akan keluarkan sebuah MPV kos rendah lepas sebuah hatchback dan sedan kos rendah? Dan adakah Toyota akan keluarkan Avanza J supaya Ertiga diserang dari bawah dan atas sama sekali? Setakat ini belum ada berita – tunggu Funtasticko risik. Strategi Toyota utk Perodua dh laju beralih kpd low cost model sepertimana strategi Toyota/Daihatsu di Indonesia. Sebelum ini Perodua “rebadge” model Daihatsu Jepun. Skrg model-model terbaru Perodua adalah model yg dibangunkan khas utk pasaran Asia Tenggara. Sasaran Toyota bukan sahaja Proton – yg merupakan pengeluar tempatan selepas Holden Australia yg bakal di-KO Toyota (kebetulan pula saiz pasaran negara kita lebih kurang sama dgn Australia) – tapi juga cabaran yg belum dtg tapi bakal dtg tak lama lagi iaitu kereta kos rendah keluaran China dan India.

      Dalam keadaan ini, Proton mungkin hanya ada satu strategi (pendapat saya je yg kurang professional). Memandangkan Proton tak akan/mampu membuat Persona gantian lebih besar, Proton terpaksalah turunkan harga permulaan supaya “overlap” dgn Saga gantian, dimana spek rendah Persona di bawah harga spek tinggi Saga. Saya rasa usah risau Saga “makan” jualan Persona sebab CC dan spek jelas berlainan. Yg lebih merisaukan adalah jumlah jualan berbanding pesaing utama mereka – Bezza. Klu harga Persona diturunkan lagi (dan mungkin tambah DRL pd Persona) saya rasa jualan ada harapan. Sebab Saga spek tinggi mcm (dari risikan Funtasticko) dah kurang – tiada DVD nav, kerusi kulit, reverse cam – banding Bezza. Klu harga Persona dpt diturunkan ke harga Bezza spek tengah, Proton ada “fighting chance”. Pada pendapat saya, lebih penting kekalkan pasaran dan pelanggan sedia ada daripada mementingkan “profit margin” atau “profit per vehicle”. Apa gunanya kalau setiap kereta yg dijual tu ada untung klu tiada pembeli.


  • Proton Persona 2016 – apa yang anda perlu tahu?.. Apa yang saya tahu Persona 2016 jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Persona sebelumnya.. Dari artikel yang ditulis di atas memeritahu Persona 2016 sememangnya mengatasi dari segala aspek lebih baik dari persona sebelumnya.. Sememangnya lebih baik, kita nantikan hari uji pandu..


    • Persona yang sedia ada nampak lebih normal macam sedan biasa.

      Iriz sedan @ Persona ni dari tepi nampak cacat. Persona yang sedia ada jauh lebih elok dari tepi.


    • Setuju.! Di atas kertas Persona 2016 lebih baik berbanding Persona terdahulu Dari semua aspek. Lebih ringan lebih jimat lebih selamat DLL. Headroom pun lebih Luas.

Leave a Reply