ARKIB

KATEGORI

Info

INFO: Boleh ke buat kereta dijana oleh air?

Info

Views

Baru-baru ini tular kembali satu video yang memaparkan hasil ciptaan kereta yang dijana dengan air dan ia menimbulkan perlbagai perdebatan di kalangan warganet.

Sahabat kami di Middlesbrough, UK, Dr Aid Fawzal tidak terkecuali untuk memberikan komen, namun disebabkan pendapatnya yang mengatakan teknologi tersebut tidak terbukti dan tidak praktikal telah mengundang pelbagai kecaman.

Dr Aid Fawzal dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasminya, tampil memperjelaskan mengapa teknologi tersebut. Sebelum itu kita kena tahu dahulu apa itu kereta dijana oleh air. Tiada siapa yang mahu berjimat kerana air sememangnya murah dan mudah didapati.

Namun, mengapa hingga kini masih belum ada lagi kereta yang digerakkan oleh air? Padahal kajian mengenainya telah dijalankan berabad lamanya. Charles Garrett telah mempatenkan sejak 1932 dengan nama Karburetor Elektrolitik (Electrolytic Carburettor) (US2006676A).

Peminat tegar teori konspirasi pula akan menggemari kisah Stanley Meyer yang didakwa telah mencipta “sel bahan bakar” pertama yang menggunakan air pada 1980-an. Sebelum kita teruskan, Dr Aid Fawzal mahu pembaca faham bahawa kereta dijana oleh air bukanlah…

  • Bukan kereta dengan enjin hidrogen (macam Toyota Mirai atau Honda FCX Clarity). Enjin hidrogen ini telah dihasilkan oleh BMW sejak 2005 lagi.
  • Juga bukan teknologi semburan air dalam kebuk pembakaran. Kereta perlumbaan miliknya sendiri juga menggunakan semburan water-methanol untuk tingkatkan prestasi.

Tetapi kereta dijana oleh air adalah kereta yang menggunakan air sebagai bahan bakar utama, atau bahan tambahan (additive) dalam bentuk oxihidrogen (HHO).

Bagaimana air boleh menjadi bahan bakar?

Molekul air terdiri daripada gabungan hidrogen dan oksigen atau H2O. Hidrogen pada zahirnya mudah terbakar dengan membentuk letupan. Manakala oksigen juga bahan mudah terbakar apabila dalam kepekatan yang tinggi.

Dalam kepekatan rendah, oksigen adalah bahan wajib dalam penghasilkan api juga letupan. Disebabkan asas atomnya mudah terbakar, molekul air (H2O) ni perlu dipisahkan, barulah ia dapat digunakan sebagai bahan bakar.

JOM BACA >> Bukan prop filem pulak dah… sebenarnya untuk uji nilai kenderaan pengiring

Caranya adalah dengan proses elektrolisis.

Dengan elektrolisis, air akan menjadi gas HHO (Oxihidrogen): 2 H2O -> 2 H2 + O2

Uniknya, apabila HHO terbakar, ia akan kembali menjadi air (H2O): 2 H2 + O2 -> 2 H2O

Kerana teori inilah, ramai merasakan alangkah indahnya kalau kita boleh gunakan bahan HHO ini sebagai bahan bakar enjin kenderaan. Asalnya air, dipecahkan jadi HHO. Bila dibakar ia menjadi air semula, seronok kan?

Teori dah cantik, tapi kenapa ia tidak terbukti?

Dari sudut pandang kimia, air (H2O) adalah stabil. Untuk memecahkan molekul yang stabil seperti air memerlukan tenaga yang banyak. Sebelum ini kita dah sebut, untuk memecahkan molekul air kita gunakan proses elektrolisis. Jadi tenaga elektrik lah yang diperlukan dengan banyak.

Ada dua sumber elektrik untuk kenderaan, sama ada bateri, ataupun alternator.

Jika memerlukan kuasa elektrik yang banyak, saiz bateri juga perlu ditambah.

  • Bateri ini berat. Jika ditambah, ini akan membuatkan kenderaan lebih susah untuk mula bergerak; baca inersia. Kemudian untuk memberhentikannya juga susah, kerana ia perlu kemampuan brek yang besar.
  • Lebih besar kuasa bateri, lebih lama masa mengecas diperlukan.

Pilihan lain adalah bergantung harap kepada alternator.

  • Alternator ni mengubah kuasa mekanikal daripada putaran enjin kepada kuasa elektrikal. Lagi banyak kuasa elektrik diperlukan, lebih banyak kuasa mekanikal akan digunakan.

Seterusnya,

Air yang digunakan bukan air sebarangan, sebaliknya perlu guna air suling (distilled water). Air suling adalah air yang bersih/suci daripada sebarang bahan cemar dan mineral.

Perlukan elektrolit juga.

Air suling sahaja tidak cekap dalam menyalurkan elektrik. Jadi penambahan elektrolit (seperti: potassium hydroxide, baking soda dan lain-lain) diperlukan. Lebih banyak elektrolit penjanaan HHO lebih baik, namun ia akan menyebabkan elektrod menjadi cepat haus.

Penjana HHO

Kecekapan penjana HHO akan berkurangan setiap kali digunakan. Sampai satu masa elektrodnya perlu ditukar.
Berdasarkan empat hujah diatas, cuba bayangkan kalau sekarang ingin memulakan perjalanan, kita hanya perlu mengisi minyak sahaja.

Tetapi kalau ada kereta dijana oleh air, kita perlu membancuh air suling dengan elektrolit, cas bateri dan tukar elektrod penjana HHO secara berkala. Praktikal tak? Ini tidak termasuk kiraan berapa kuasa berguna (useful power) yang sistem ini dapat hasilkan.

JOM BACA >> Pelekat P dengan logo JPJ tarik perhatian pembeli di laman Taobao

Cuba bayangkan, untuk memecahkan molekul air sahaja guna banyak tenaga. Nanti apabila ia meletup/terbakar, tenaga tadi akan diguna semula untuk menjadi tenaga elektrik bagi memecahkan molekul tersebut. Habis tu berapa banyak tenaga yang boleh digunakan untuk menggerakkan kenderaan?

Ini belum lagi menyentuh hal-hal berkaitan automotif. Belum masuk bab ketirisan gas HHO yang bocor dicelah-celah cincin omboh, kesan HHO kepada minyak pelincir yang melekat pada dinding silinder, suhu pembakaran dan bagaimana ia terbakar serta kesan-kesannya. Pemandu teksi pasti mengetahui pedihnya kesan NGV kepada enjin, inikan pula HHO.

Akan tetapi, janganlah terus mengatakan yang teknologi HHO ini tidak berguna. Dalam dunia saintifik, kajian pengguna HHO masih giat dijalankan. Contoh terbaru kajian Khan et al (2021) menunjukkan pembakaran spontan HHO membantu dalam penyerebakan api dan tingkatkan kuasa & daya kilas bagi enjin diesel dan biodiesel. Namun, atas sebab HHO menyala dengan cepat, ia mengurangkan kecekapan haba enjin.

Kesimpulan

Kita menghormati sumbangan yang Prof tersebut cuba bawakan, namun beliau bukanlah orang pertama yang cuba buat enjin guna air. Dah lama dah orang lain dalam dunia buat. Dalam video tersebut beliau kerap menyebut hidrogen daripada air yang masuk dalam enjin meletup. Sebab itu komen Dr Aid Fawzal di sana fokus kepada hidrogen dan bukannya, HHO.

Isu kereta guna air ini adalah penipuan (scam) teknologi yang popular di serata dunia. Dari USA, India, Pakistan, Sri Lanka dan Filipina, ada sahaja mereka yang mengaku telah menemui penyelesaiannya, namun ia sekadar pseudosains dan pembohongan semata-mata.

Jika seseorang mendakwa yang dia telah menemui penyelesaiannya, minta bukti gas yang terjana adalah HHO, berapa penjimatan bahan api, berapa kenaikan kuasa dan daya kilask, apa keputusan gas-gas buangan (emission). Bukan hanya dakwaan berapa lama telah dipakai dengan testimoni memanjat gunung.

HHO sendiri boleh jadi bahan bakar untuk enjin, akan tetapi sistem sedia ada tidak mesra pengguna. Terlalu banyak pengguna perlu fikirkan. Kit yang tersedia dipasaran juga tidak terbukti. Banyak pengamal industri automotif dan peminat kereta telah mencuba dan tidak mendapat apa seperti yang didakwa oleh si penjual.

Dan kalau ia terbukti sekalipun, kenapa ia tidak dijual kepada pengeluar kereta? Semua pengeluar kereta sedang berlumba-lumba untuk menghasilkan enjin cekap tenaga dengan pengguna bahan api yang rendah. Kan lebih untung jual kepada syarikat-syarikat besar berbanding kepada pengguna?

Akhir sekali, jika ada yang sedang membuat kajian mengenainya, teruskanlah. Ada dua sudut yang perlu anda berikan perhatian:

  • Cuba cipta penjana HHO yang memerlukan kuasa elektrik yang rendah dengan ‘packaging‘ yang kecil, dan
  • Semak keberkesanan HHO dalam menjadi bahan bakar. Apa kesannya kepada blok dan komponen enjin terutama yang berasaskan besi. Jangan dilupa, besi kan alah dengan air dan hasil pembakaran HHO adalah air.

Semoga informasi ini memberikan manfaat buat semua. Terima kasih Dr Aid Fawzal!

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Satria Theo – Gambaran generasi ketiga model hatchback tiga pintu Proton versi “The Fudger”
JOM BACA >> Saga Knight Concept – Kolaborasi mantap antara dua mantan pereka Proton
JOM BACA >> Toyota Avanza/Daihatsu Xenia 2022, kembar Perodua Alza (D27A) kini dalam fasa pra-pengeluaran
JOM BACA >> Video tular kemalangan Toyota Yaris dan Proton Wira – Salah seorang mangsa wanita hamil, terima dua jahitan di kepala
JOM BACA >> INFO: Buka penyaman udara perlahan tapi ‘kuat makan minyak’, buka kuat pun sama je, kenapa ye?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply