ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua ramal cabaran pada separuh tahun kedua 2018 – Sasaran jualan 209,000 unit kekal

Views

Untuk separuh tahun pertama (1H18), Perodua telah mencatat rekod baharu dari segi angka jualan dan lepas jualan dan kini sedang siap siaga untuk mengharungi segala rintangan pada separuh tahun kedua 2018 (2H18). Sasaran jualan turut kekal sebanyak 209,000 unit menjelang akhir tahun ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata syarikatnya juga turut mengekalkan sasaran pengeluarannya sebanyak 215,300 kenderaan pada tahun ini iaitu peningkatan 7.5 peratus berbanding 200,100 kenderaan yang dikeluarkan tahun lalu.

Setakat tahun ini, Perodua telah menjual 117,100 kenderaan untuk 6 bulan pertama, 17.5 peratus lebih tinggi berbanding 99,700 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu dan seterusnya mencatat rekod setengah tahun buat syarikat itu. Perodua juga mencatat rekod dengan meraih sebanyak 40.4 peratus bahagian pasaran daripada jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 289,700 unit untuk 1H18.

Perodua juga telah menambah jumlah pengeluaran kenderaannya kepada 109,000 unit (antara Januari dan Jun 2018), disebabkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding 99,000 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas. Pembelian Perodua daripada pembekal (vendor) untuk enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM2.28 bilion, kurang daripada RM2.33 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengurangan tersebut adalah disebabkan penjimatan yang diperoleh daripada kadar pertukaran mata wang asing yang baik pada 1H18 walaupun jualan meningkat. Jumlah pendaftaran sebanyak 117,100 adalah terdiri daripada 46,860 Myvi, 33,870 Axia, 23,555 Bezza dan 12,815 Alza, mengekalkan kedudukan teratas untuk kesemua empat model di dalam segmen masing-masing.

JOM BACA >> PANAS : SUV Proton Tanpa Celoreng Penyamaran Berjaya Dikesan Di China!

Rekod jualan ini adalah berikutan permintaan yang tinggi buat Myvi baharu serta model yang lain pada suku pertama dan menjelang akhir suku tahun kedua yang menyaksikan peningkatan dalam jualan disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar. Myvi baharu terus menjadi model Perodua yang paling popular – sejak dilancarkan November 2017, dengan lebih daripada 65,000 telah berjaya didaftarkan daripada 115,000 tempahan yang dikumpulkan.

Sebagai perbandingan, Perodua mengakhiri setengah tahun pertama 2017 (1H17) dengan 35 peratus daripada 284,500 unit TIV. Manakala bahagian pasaran bulanan dalam 1H18 adalah 39.7 peratus untuk Januari, 42.2 peratus Februari, 41.5 peratus Mac, 42.3 peratus April, 51 peratus Mei dan 31 peratus Jun. Penurunan peratusan pada bulan Jun adalah disebabkan oleh kenaikan jualan keseluruhan industri berikutan kadar sifar GST. Jualan syarikat meningkat dengan mendadak pada bulan Mei dengan hampir 22,000 unit.

Berdasarkan ramalan, akan ada kenaikan harga kenderaan bermula dari bulan September dan seterusnya disebabkan dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan tidak lama lagi. Berkemungkinan impak tersebut akan berlangsung sehingga Disember 2018, walaupun pada kebiasaannya, ketika itu kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan akan memberi tawaran yang hebat untuk mengelakkan stok dibawa ke tahun hadapan. Dari sudut tempahan, Perodua menerima lebih daripada 185,000 pesanan dalam 1H18, rangsangan 24 peratus berbanding 1H17 dan menjadi lagi satu rekod setengah tahun.

Pada bulan Jun sahaja pesanan melepasi 40,000, dan Perodua sedang bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan itu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif. Selain daripada beberapa unit Alza, Perodua menjangkakan semua tempahan yang dibuat bulan ini akan dipenuhi hanya bermula dari 1 September dan ingin memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul. Jumlah pengambilan servis kenderaan di 179 pusat servis Perodua di seluruh negara pula menyaksikan pertumbuhan 6 peratus daripada 1.026 juta kenderaan pada 1H17 kepada 1.083 juta pada 1H18.

JOM BACA >> Coretan : Industri Automotif – ‘Idea Gila’ Tun Yang Telah Berjaya Mengubah Landskap Ekonomi Negara

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply