ARKIB

KATEGORI

Buletin

Proton catat rekod jualan tertinggi sepanjang 30 bulan pada Julai dengan 8,102 unit

Views

Proton memulakan separuh kedua 2018 dengan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 31 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 8,102 unit. Angka ini juga merupakan rekod jualan tertinggi sepanjang 30 bulan yang lalu. Peningkatan jualan tempatan adalah disebabkan pembeli yang mengambil kesempatan terhadap kadar sifar GST dan sebelum pelaksanaan SST pada September ini. Aktiviti eksport juga diteruskan semula oleh syarikat dan turut menyumbang kepada peningkatan kepada keseluruhan jualan.

Pegangan pasaran Proton meningkat sebanyak tiga bulan berturut-turut dengan anggaran 11.7 peratus bagi Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai. Jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah pegangan pasaran sebanyak 9.6 peratus yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Saga dan Persona kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.

Jualan eksport Proton juga telah digerakkan semula pada 2018 dengan penghantaran sebanyak 517 unit pada bulan Julai. Pada masa ini, pasaran eksport yang paling popular untuk kereta Proton adalah di Timur Tengah menerusi lokasi utama seperti Jordan, Iraq dan Iran. Jualan di Mesir dijangka akan kembali pada suku akhir tahun ini apabila negara tersebut pulih daripada krisis mata wang.

Pertandingan Servis Selepas Jualan buat julung kalinya dianjurkan oleh Proton pula bertujuan untuk mencari juruteknik selepas jualan terbaik, telah menarik minat seramai 50 peserta untuk pusingan pertama. Pemenang-pemenang yang layak untuk ke pusingan akhir, yang akan diadakan pada bulan September di wilayah tengah, akan bersaing untuk merebut hadiah sebanyak RM50,000 dan lawatan insentif ke Geely di China.

JOM BACA >> PANAS : SUV Proton Tanpa Celoreng Penyamaran Berjaya Dikesan Di China!

Penambahbaikan dalam kualiti servis adalah penting untuk Proton memandangkan syarikat telah memulakan kerja-kerja asas bagi pengenalan SUV dan produk lain yang akan dibangunkan bersama dengan Geely pada masa akan datang. Proton juga sedang membuat pelaburan besar dengan rakan kongsi untuk menaik taraf cawangan kepada status 3S dan 4S yang bertujuan untuk menambahkan lagi juruteknik yang lebih berkemahiran bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

Proton juga memastikan tarikan di dalam barisan keretanya sentiasa terjaga dengan memulakan dua aktiviti untuk menonjolkan produknya. Aktiviti pertama adalah Ace The Space, di mana orang ramai boleh mengambil bahagian dalam cabaran bagi melihat berapa ramai yang boleh muat di dalam ‘Xtra ruang’ bagi sebuah Proton Ertiga.

Pasukan terbaik akan mendapat ganjaran menarik dan lima kumpulan terbaik keseluruhan dijemput untuk bersaing di pertandingan akhir yang akan diadakan pada 18 Ogos di Proton Edar Crystal. Untuk pusingan akhir adalah Proton Exora akan digunakan dan berkemungkinan besar rekod seramai 41 orang di dalam sebuah Ertiga akan dapat dipecahkan.

Inisiatif kedua ialah Proton 1 Tank Adventure, yang membawa para pelanggan, ahli kelab kereta Proton, selebriti dan rakan-rakan media bersama-sama menjelajah ke lima wilayah di Malaysia. Para peserta pada setiap pusingan akan menikmati pemandangan, budaya dan makanan tempatan di wilayah-wilayah tersebut sambil memandu kereta Proton sama ada Iriz, Persona atau Saga dalam penjelajahan yang meliputi lebih dari 600km dengan hanya menggunakan satu tangki minyak.

Hadiah akan diberikan kepada peserta yang terbaik dan pada pusingan akhir yang akan diadakan pada hujung bulan ini, peserta akan diminta untuk melengkapkan perjalanan lebih dari 720km. Angka penggunaan minyak yang paling jimat yang diperoleh para peserta semasa pusingan wilayah setakat ini adalah 21.05km/L bagi Iriz dan 25.18km/L bagi Persona. Bagi Proton Saga pula, bacaan terbaik yang direkodkan adalah 28.49km/L.

Selain itu, Proton terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.

JOM BACA >> Coretan : Industri Automotif – ‘Idea Gila’ Tun Yang Telah Berjaya Mengubah Landskap Ekonomi Negara

KLIK UNTUK BESARKAN

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment

Leave a Reply