Ini berita yang pastinya membuatkan tidur anda tak lena! Setelah membuat carian menerusi portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), penulis telah berjaya menemui beberapa tanda dagang atas nama ‘e.MAS7‘ yang telah didaftarkan menerusi tujuh kategori berbeza.
Kesemuanya telah didaftarkan oleh ejen, Amera binti Mohd Yusof/Amera & Associates Advocates bagi pihak Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd.
Permohonan tanda dagang e.MAS7 telah mula dihantar sejak 13 Jun 2024 dan masih dalam proses menunggu kelulusan dan pewartaan.
Berikut adalah senarai kategori tanda dagang e.MAS7 yang telah didaftarkan:
- Kelas 9 di bawah kategori bateri untuk kenderaan elektrik, tiang pengecasan dan lain-lain
- Kelas 12 di bawah kategori kereta, kenderaan elektrik, automobil motor dan lain-lain
- Kelas 16 di bawah kategori bahan promosi bercetak, risalah pengiklanan, poster, gambar, beg barangan cenderahati dan lain-lain
- Kelas 25 di bawah kategori pakaian, kasut dan topi dan lain-lain
- Kelas 35 di bawah kategori pengiklanan, pengurusan perniagaan, pemasaran media sosial dan membekalkan informasi perniagaan menerusi laman sesawang dan lain-lain
- Kelas 37 di bawah kategori perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik, pembaikan dan penyelenggaraan transmisi hibrid, pengecasan kenderaan elektrik dan lain-lain
- Kelas 42 di bawah kategori reka bentuk automotif, reka bentuk kenderaan, pembangunan kenderaan, ujian kelayakan jalan kenderaan bermotor, reka bentuk enjin kenderaan dan lain-lain
JOM BACA >> INTIP: Wajah sebenar Proton X70 MC2 ‘terdedah’, sedang jalani penggambaran iklan ke?
Dengan senarai panjang kategori tanda dagang yang telah didaftarkan, adakah ia memberi petunjuk kepada pengesahan nama rasmi kepada kembar Geely Galaxy E5?
Difahamkan model SUV elektrik itu besar kemungkinan bakal menjadi calon model EV pertama yang menggunakan lencana Proton e.MAS.
Dalam artikel terdahulu, ejen perisik tersohor kami, iaitu Mat Bond berkata delegasi wakil pengedar Proton e.MAS yang terpilih telah dibawa oleh pihak pengurusan Proton ke China beberapa bulan lalu untuk memandu uji model Galaxy E5.
Galaxy E5 yang diuji oleh delegasi tersebut dikatakan masih lagi unit pemanduan kiri (LHD) untuk pasaran tempatan di China.
Tambah Mat Bond, ada spekulasi awal mengatakan Galaxy E5 versi pemanduan kanan (RHD) dengan lencana Proton e.MAS akan dijual pada harga anggaran di bawah RM120,000.
Walau bagaimanapun, harga sebenar model tersebut hanya akan diketahui semasa hari pelancaran rasminya yang dijadualkan pada bulan Disember nanti.
Pada ketika ini, 17 pengedar Proton e.MAS terawal difahamkan sedang giat membina bilik pameran di lokasi masing-masing. Galaxy E5 merupakan model pertama Geely Galaxy yang dibangunkan untuk pasaran domestik dan eksport.
JOM BACA >> SPEKULASI: Supermoped Modenas-Kawasaki mungkin guna enjin 177cc?
Di China, ia dijual pada julat harga yang dijangka antara 130,000 yuan hingga 170,000 yuan (RM 84,251 hingga RM 110,174).
Berikut adalah fakta ringkas mengenai Geely Galaxy E5:
- Dibangunkan dari pelantar Seni Bina Elektrik Geely (GEA), yang diperoleh daripada Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA).
- Pelantar GEA boleh digunakan untuk rangkaian kuasa EV, EREV, PHEV dan metanol hijau.
- Ukuran dimensi 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dan jarak tapak roda 2,750 mm.
- Menggunakan sistem pemacu elektrik pintar 11-dalam-1 yang merangkumi 11 peranti utama seperti motor, kawalan elektronik dan pengurang. Berat sistem ini ialah 79.8 kg dan isipadu hanya 72 liter.
- Kecekapan komprehensif adalah sehingga 90.04 peratus dan penggunaan kuasa serendah 11.9 kWj setiap 100 km.
- Dipacu motor elektrik berkuasa 160 kW dengan masa pecutan 0-100 km/j, dalam tempoh 6.9 saat dan mampu mencatat kelajuan maksima mencecah 180 km/j.
- Menggunakan bateri bilah-pendek (short-blade battery) jenis litium besi fosfat, ‘Aegis‘ yang dibangunkan sendiri oleh Geely dengan kapasiti 49.52kWj dan 60.22kWj (jarak pandu antara 440 km dan 530 km mengikut kitaran CLTC).
- Dilengkapi dengan cip Infineon TC397 bagi membolehkan kecekapan komunikasi yang tinggi dan tindak balas kuasa yang cepat.
- Kerangkanya lebih kukuh dengan menyepadukan bateri ke dalam badan, atau ‘sel-ke-badan’ (CTB).
- Ia turut dilengkapi dengan sistem anti-gelincir pemaduan semua cuaca (G-TCS) yang membolehkannnya lulus dalam ‘ujian Moose’ pada kelajuan 78 km/j.
- Model ini dilengkapi dengan sistem pemulihan tenaga pintar 4-kelajuan yang melaraskan daya brek dalam masa nyata berdasarkan jarak kenderaan, kesesakan jalan raya dan maklumat tanjakan.
- Pelanggan boleh memilih dua saiz rim berbeza, iaitu 18 dan 19-inci.
Rekaan kabin Galaxy E5 menampilkan dua skrin LCD yang menjadi paparan instrumen dan paparan untuk pemandu. Ia turut dilengkapi skrin unit inforia jenis terapung bersaiz besar di tengah-tengah papan pemuka.
Galaxy E5 menggunakan sistem Flyme Auto yang dibangunkan bersama Meizu. Sistem Galaxy E5 dikuasakan oleh cip automotif 7 nm, Dragon Eagle-1 yang pertama dihasilkan secara domestik di China.
Setakat ini hanya tanda dagang nama e.MAS dan e.MAS7 yang telah berjaya ditemui di portal rasmi MyIPO. Mungkin ada lagi nama lain yang akan didaftarkan selain nama e.MAS7 nanti.
Apa pun, nantikan info seterusnya dari semasa ke semasa!
KLIK UNTUK BESARKAN
Foto kredit Theottle
JOM BACA >> INTIP: Modenas sedang uji skuter maxi Kymco DTX250 ke tu?
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Gambaran awal Proton X80, versi kembar Geely Xingyue/Tugella
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Gambaran awal Proton X50 facelift versi Theottle
JOM BACA >> INTIP: Proton X70 MC2 ronda-ronda KL ditemani X90, pelancaran mungkin sedikit lewat
JOM BACA >> Supermoped Modenas-Kawasaki sedang jalani ujian di Eropah, mungkin ada dua kapasiti enjin?
KOMEN TERKINI