ARKIB

KATEGORI

Info

Proton mula bangkit, pembekal tempatan makin terhimpit

Rencana

Views

Kami ingin kongsikan pendapat peribadi Editor kami, Shamsul Yunos dalam artikel kali ini. Isu yang dibangkitkan ini tidak berniat untuk menjatuhkan reputasi jenama Proton, ia sekadar memberi pandangan kepada pihak berkenaan dalam memastikan kepentingan nasional tidak diabaikan.

Mari kita baca apa pandangan beliau.

Dalam pembacaan berita tentang Proton sekarang, sudut paling popular ialah kebangkitan semula Proton dengan bantuan dari Geely, gergasi automotif terbaharu dari China. Sudut ini sudah tentu popular di China, namun di Malaysia, kita perlu melihat kejayaan ini secara kritikal dari pandangan kepentingan negara kerana pelaburan Malaysia dalam Proton tidak terhad kepada kewangan dan ekonomi, tetapi juga secara emosi.

Jika kita lihat semasa pelancaran model Proton Saga 2019 yang dikemaskini, kita tahu bahawa Proton juga sedar tentang aspek patriotik jenama Saga itu sendiri. Pelancaran model tersebut sarat dengan mesej patriotik dan sejarah. Ianya bagus dan mengingatkan kita supaya mengingati tentang sejarah pembentukan Proton itu sendiri, iaitu sebagai pemangkin dan pemacu pembangunan keupayaan negara.

Memang seronok bila bersorak tentang kejayaan Proton, tetapi dalam keseronokkan itu kita perlu memastikan bahawa kepentingan kita masih lagi menjadi keutamaan pihak pengurusannya. Kini sudah mula timbul bibit-bibit kerisauan tentang sama ada Proton akan kekal menyokong ekosistem automotif Malaysia.

Kerisauan pembekal komponen tentang permintaan penurunan kos yang tidak munasabah atau “tidak berpijak di bumi nyata” semakin kuat kedengaran. Ada yang menyatakan kerisauan kegagalan menurunkan kos ke tahap yang ditetapkan, bakal dijadikan sebab untuk membawa masuk komponen dari China, atas alasan kelangsungan perniagaan Proton.

JOM BACA >> PANAS : Foto Perodua Axia 2019 varian STYLE bocor!

Kita faham isu kelangsungan perniagaan adalah penting, tetapi Proton ditubuhkan sebagai pencetus pembangunan teknologi dan keupayaan negara. Keputusan kerajaan untuk memberi Proton, 30,000 permit import (AP) untuk X70 yang dibina dari China adalah tanda harapan rakyat Malaysia supaya Proton terus memberi keutamaan kepada pembekal dan ekosistem automotif Malaysia.

Penurunan kos adalah sesuatu yang mungkin perlu dilakukan, tetapi ini tidak bermakna syarikat besar boleh menekan pembekal tanpa melihat kepada situasi semasa. Proton mempunyai sejarah dan ada kalanya sejarah tidak melakarkan ingatan yang manis sahaja dan ini antara sebab mungkin kenapa penurunan kos adalah sukar bagi sesetengah pembekal.

Jumlah jualan Proton juga adalah terhad, oleh itu mereka sudah tentu tidak dapat menikmati ‘skala ekonomi’ yang dinikmati oleh Geely di China. Kos sahaja tidak boleh dijadikan sebab untuk tidak menggunakan kebolehan tempatan. Saya menyokong sebarang usaha untuk menjadikan ekosistem automotif tempatan lebih kompetitif tetapi ianya perlulah dilakukan secara berhemah.

Perodua, sebagai contoh, memang sudah memulakan program pemotongan kos yang signifikan sejak 15 tahun yang lalu. Kali pertama mereka melancarkan program pengurangan kos sebanyak 30 peratus bermula pada tahun 2005 dan mereka mengambil masa 6 tahun untuk mencapai sasaran tersebut.

Perancangan awal ialah untuk mencapai pengurangan 30 peratus dalam tempoh lima tahun, tetapi telah terlajak setahun. Setelah mencapai sasaran pertama, mereka melancarkan kempen pengurangan kos kali kedua, kali ini sasaran mereka ialah untuk mencapai daya saing serantau, supaya kos kita setanding dengan kilang global di Thailand dan Indonesia.

Kempen kedua ini mengambil masa lima tahun lagi. Realitinya, Perodua perlu melakukan program pemotongan kos sebanyak dua kali untuk berdaya saing dengan kilang serantau dan ini adalah penanda aras kecekapan ekosistem tempatan. Sehingga kini Perodua masih lagi mengejar tahap daya saing global, jadi penulis faham sangat keperluan untuk mengurangkan kos.

Penulis sebutkan contoh Perodua ini sebagai bukti bahawa pembekal tempatan boleh mencapai sasaran pengurangan kos yang dramatik, tetapi ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan melulu dengan menggunakan perbandingan yang tidak realistik.

Masa dan proses perundingan terperinci perlu dilakukan demi memastikan keadilan tercapai untuk semua pihak yang berkepentingan. Dalam kes Proton ini, kita semua seluruh rakyat Malaysia mempunyai kepentingan kerana kita telah menyokong Proton dalam pelbagai cara dari “pagaran import” dan pelepasan cukai sehinggalah kelulusan 30,000 AP untuk X70.

Sebagai seorang pengamal media, penulis sudahpun menyatakan kerisauannya tentang perkara ini kepada rakan-rakan dalam Proton dan sebagai wartawan, penulis berjanji akan memantau isu ini dengan lebih dekat. Menurut pengumuman awal tahun lalu, Proton X70 pemasangan di Tanjung Malim bakal dilancarkan tidak lama lagi dan ini bakal menjadi ujian paling besar bagi Proton dari segi kandungan tempatan.

Sebelum ini kita ada mendengar bahawa untuk model Iriz, Persona, Exora dan Saga, ada komponen dari China menggantikan komponen tempatan. Kita faham ini akan berlaku kerana ada komponen yang mungkin sukar dihasilkan disini, tetapi kita amat berharap senarai komponen dari China tidak melibatkan komponen yang memang boleh dihasilkan di Malaysia, sebagai contok komponen plastik kosmetik, kemasan dalam kereta dan sebagainya.

JOM BACA >> Perodua Axia 2019 – Tempahan kini dibuka, varian baharu STYLE diperkenalkan

Pertanyaan mengenai kandungan tempatan dan pengekalan keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk tempatan akan menjadi isu utama untuk Proton bergerak ke hadapan. Isu kualiti dan sebagainya penulis tidak berapa risau kerana sudah berkali-kali kita diingatkan bahawa Geely ialah syarikat besar dan mempunyai sistem yang baik dan dibantu dengan kepakaran Volvo untuk menghasilkan kereta yang baik dan sesuai untuk pasaran.

Walaupun produknya baik, adalah sangat penting Proton tidak bertindak seperti pengedar atau penjual teknologi yang dipinjam dari tempat lain. Perkara ini semakin bermain di fikiran penulis kerana pasaran automotif China kini sedang merudum dan Geely dilaporkan mengalami kemerosotan jualan sehingga 40 peratus, satu angka yang sangat besar dan boleh menyebabkan pelbagai masalah berlaku kepada syarikat tersebut.

Kita berharap sangat pengurusan tempatan Proton tidak membiarkan keadaan di China menjadi sebab untuk mereka mengambil kesempatan ke atas Proton dan pasaran Malaysia. Kita perlu ingat bahawa ada banyak lagi pemain di pasaran yang telah melabur wang, dan lebih penting lagi masa dan komitmen untuk membangunkan industi automotif tempatan.

Jenama seperti Honda dan Toyota sudah lama bertapak dan mereka berusaha untuk menggunakan komponen tempatan walaupun kita tahu ada beberapa isu yang “bolos”. Volvo dan Mercedes Benz pula, walaupun kecil tetapi sudah mengekspot kenderaan ke pasaran lain. BMW juga telah membuka kilang berteknologi tinggi untuk pemasangan enjin di Kulim, Kedah.

Perodua bersama Daihatsu dan juga Toyota membuat pelaburan besar di Sendayan membina dua kilang untuk penghasilan enjin dan kotak gear. Walaupun bukan 100 peratus komponen dalaman enjin dan kotak gear dihasilkan di Malaysia, namun ia satu langkah penting dalam membangunkan ekosistem tempatan. Kita harus memberi mereka peluang yang adil dan saksama.

Sekarang, isu kelangsungan perniagaan Proton kelihatan sudah hampir selesai, untung dari Proton sudah menjadikan saham syarikat induk tempatan DRB-Hicom sebagai pilihan semula di Bursa Kuala Lumpur. Alhamdulillah. Jadi eloklah kita mula fokus kembali kepada tujuan asal Proton sebagai penjana pembangunan keupayaan anak bangsa dan jangan terlalu membuta tuli mengejar keuntungan dan penurunan kos tanpa mengambil kira gambaran keseluruhan.

Penulis sangat berharap pihak pengurusan Proton dapat menerima pendapat ini secara positif dan berusaha untuk menjayakan Proton sebagai sebuah syarikat berkepentingan Malaysia yang mengutamakan kepentingan Malaysia. Kita mengalu-alukan pelaburan asing tetapi pelabur asing wajib mengakui bahawa mereka mencari peluang di negara kita dan kepentingan kita mestilah menjadi keutamaan. Kini terpulanglah kepada kita untuk memastikan mereka sedar dan “membuka mata”.

Artikel ini juga diterbitkan di laman sesawang Utusan Malaysia.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Proton X70 dijangka lebih murah, bakal dilancarkan pada bulan November
JOM BACA >> PANAS : Risalah Perodua Axia facelift 2019 tertiris! Bakal dilengkapi dengan A.S.A 2.0
JOM BACA >> Ini mungkin gambaran Saga 2019 versi hatchback dan ute, jika Proton mahu menghasilkannya
JOM BACA >> MESTI TONTON : Saga 2019 – 10 perubahan paling penting yang wajib anda tahu

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply