Sejak petang semalam tersebar di beberapa laman Facebook foto bocor yang dipercayai Perodua Axia 2019 varian STYLE. Adakah ini disengajakan kerana ia secara kebetulan pula sama dengan tarikh mula tempahan yang diumumkan semalam.
Seperti yang diulas oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan media, Axia STYLE merupakan ahli keluarga Axia baharu yang akan menampilkan keseronokan dan keaktifan gaya hidup. Nampaknya jangkaan kami seperti dalam artikel terdahulu tepat kerana terbukti Axia STYLE merupakan versi yang digayakan seperti sebuah crossover.
JOM BACA >> Perodua Axia 2019 – Tempahan kini dibuka, varian baharu STYLE diperkenalkan
Menerusi foto yang tertiris ini kita dapat melihat pasukan reka bentuk Perodua cekap membaca trend terkini permotoran global dan berjaya mengolah sebuah kereta kompak segmen-A menjadi crossover yang ranggi. Dari depan kita dapat melihat perubahan paling ketara pada bahagian jeriji yang kini lebih besar dan lebar.
Pada sisi jeriji yang besar itu pula dipasang dengan lampu kabus berbentuk bulat. Di bahagian bawah bampar pula menggabungkan kombinasi dua tona warna, kelabu gelap dan pad gelincir (skid pad) kemasan keluli kusam yang biasa kita lihat pada model crossover. Walaupun lampunya masih tidak berubah, namun Perodua berjaya menjadikan Axia STYLE nampak seperti sebuah kenderaan yang lasak.
Di bahagian sisi, kemasan kelabu gelap pada bahagian bawah bampar terus disambungkan kepada pelapik lengkung tayar dan ditarik menjadi skirting tepi. Kelihatan juga rel bumbung pada bahagian atas kereta, selain cermin sisi yang berwarna hitam dan rim aloi rekaan lima bilah dengan kemasan dwi-tona bersaiz 15 inci.
JOM BACA >> Proton X70 dijangka lebih murah, bakal dilancarkan pada bulan November
Pada pengamatan kami, lega tanah Axia STYLE nampak seakan lebih tinggi dan mungkin ia menggunakan suspensi yang berbeza. Dalam artikel yang disiarkan pada 20 Disember 2018, kami pernah mengatakan yang Perodua sedang membangunkan sistem suspensi khas, untuk model segmen gaya hidup. Dua model akan menjadi model terawal dalam segmen pasaran baharu ini adalah Myvi dan Axia. Nampaknya apa yang kami katakan sebelum ini sememangnya berasas.
Ke bahagian belakang, Axia STYLE masih mengekalkan lampu yang sama pada model semasa varian SE dan AV. Perubahan hanya dibuat pada bampar yang nampak lebih sporty dan ringkas. Turut kelihatan juga pad gelincir kemasan keluli kusam yang terletak betul-betul di bawah tempat letak nombor plat serta pemantul cahaya menegak di sisi kiri dan kanan bampar.
Secara keseluruhan rekaan Axia STYLE nampak bergaya dan dijangka menarik minat gologan muda yang mahukan kereta dengan gaya yang tersendiri. Dengan harga tentatif RM38,890 (tanpa insurans) untuk varian ini, nampaknya langkah Perodua memperkenalkan varian STYLE adalah tindakan yang bijak. Kami ramal Myvi STYLE akan menyusul kemudian, nantikan!
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> PANAS : Risalah Perodua Axia facelift 2019 tertiris! Bakal dilengkapi dengan A.S.A 2.0
JOM BACA >> Ini mungkin gambaran Saga 2019 versi hatchback dan ute, jika Proton mahu menghasilkannya
JOM BACA >> MESTI TONTON : Saga 2019 – 10 perubahan paling penting yang wajib anda tahu
JOM BACA >> Proton Saga 2019 lebih ‘gah’ – Ini 5 perubahan yang kami suka
KOMEN TERKINI