ARKIB

KATEGORI

Buletin

Toyota perkenal Urban Cruiser Hyryder di India – Bakal pengganti Suzuki Vitara dan calon SUV Perodua 2023 (D66B)

Berita Global

Views

Toyota India secara rasminya memperkenalkan model SUV terbaharu mereka, Urban Cruiser Hyryder, semalam. Sekilas pandang, SUV yang dibangunkan secara usahasama dengan Maruti Suzuki itu kelihatan seperti Vitara semasa, terutama pada siluet luaran yang berbentuk kotak.

Dalam artikel terdahulu, model yang menggunakan namakod Maruti-Suzuki YFG dikatakan bakal menggunakan nama Vitara. Ia bakal berentap dengan beberapa SUV lain dalam segmennya seperti Hyundai Creta dan Skoda Kushaq.

Ia menampilkan jeriji “Kristal Akrilik” yang hampir tertutup keseluruhannya dan diserikan lagi dengan kemasan krom yang menjadi pemisah kepada lampu siang (DRL). Lampu hadapannya diposisikan sedikit rendah pada bampar yang mengapit salur masuk udara besar di bahagian tengah.

Di belakang, reka bentuk lampu jenis LED mirip model Honda C-HR yang disambungkan dengan palang krom. Satu lagi ciri unik rekaan model ini adalah lampu signal dan undur berbentuk menegak yang diletakkan pada bampar belakang yang dihiasi dengan plat gelincir.

Urban Cruiser Hyryder berukuran 4,365 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,635 mm tinggi, manakala jarak antara gandarnya berukuran 2,600 mm. Ia menjadikannya 370 mm lebih panjang berbanding Urban Cruiser biasa dan hampir sama dengan Toyota CH-R spesifikasi Eropah.

Jika merujuk kepada dimensi tadi, sebenarnya saiz SUV ini adalah hampir sama dengan Suzuki S-Cross dan ada kemungkinan ia berkongsi pelantar yang sama.

Menjengah ke bahagian kabin, ia menampilkan unit infohibur dengan skrin 9-inci dan juga panel meter digital bersaiz 7-inci. Panel papan pemuka dan pintu menggunakan bahan plastik sentuhan-lembut (soft-touch) dengan kombinasi dwitona serta upholsteri kulit yang membaluti tempat duduk.

Varian andalan akan mendapat beberapa lagi ciri menarik seperti bumbung suria panorama, pencahayaan ambien, paparan dongak (head-up), kamera 360-darjah, pad pengecasan nirwayar, tempat duduk berliang, corong pendingin hawa belakang dan port pengecasan USB.

Dari segi ketersambungan, ia boleh dikawal secara kawalan jauh menerusi telefon pintar atau jam pintar, serta kawalan suara yang serasi dengan Google Assistant dan Siri. Bagaimanapun, ciri keselamatannya, tidaklah secanggih model Toyota mahupun Suzuki spesifikasi Eropah, dengan 6 beg udara dan tiada ciri bantuan pemandu (ADAS).

SUV ini ditawaran dengan dua trenkuasa petrol elektrik yang berbeza. Model aras-mula dilengkapi dengan unit “Neo Drive” Suzuki yang menggabungkan enjin 1.5-liter K-Series dengan sistem hibrid-ringan 12-Volt ISG dan bateri lithium ion kapasiti kecil 6Ah.

JOM BACA >> INTIP: Wajah sebenar Perodua Alza 2022 (D27A) terdedah! Deretan unit pengeluaran tular di media sosial!

Trenkuasa ini mampu menjana 101 kuasa kuda dan 135 Nm daya kilas dan dipadankan dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik yang menyalurkan kuasa ke gandar depan.

Bagi versi dengan hibrid, ia dilengkapi dengan enjin 1.5-liter, motor elektrik yang lebih berkuasa, ISG dan bateri lithium ion yang lebih besar. Trenkuasa ini mampu menghasilkan 114 kuasa kuda, sama seperti Yaris and Yaris Cross spesifikasi Eropah dengan 141 Nm daya kilas.

Kuasanya disalurkan kepada gandar depan menerusi transmisi e-Drive. Menurut Toyota, Urban Cruiser Hyryder Hybrid merupakan jentera paling cekap dalam kelasnya, dan banyak menggunakan motor elektrik semasa pemanduan di dalam bandar.

Model ini akan dipasang di kilang Bidadi, Karnataka, India bersama kembarnya dari Suzuki. Selain India, ia bakal dieksport ke pasaran lain dan harganya akan diumumkan semasa pelancaran rasminya kelak.

Sebelum ini, ada desas-desus mengatakan model ini juga bakal menjadi SUV versi Perodua tahun hadapan. Model dengan namakod D66B itu bakal dijana dengan enjin Dual VVT-i 1.5L untuk versi asas dan pilihan trenkuasa hibrid untuk varian andalan.

Dalam artikel terdahuluPerusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah mendaftarkan dua nama baharu, iaitu Traz dan Nexis, di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang ‘dicop lebih awal’ bagi kegunaan model baharu mereka nanti.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Info ringkas Perodua Alza (D27A), apa yang sudah diketahui setakat ini
JOM BACA >> INTIP: Saga MC2 jalani penggambaran iklan, petanda pelancaran semakin hampir!
JOM BACA >> RISIK: Perodua Alza (D27A), apa yang kami tahu setakat ini
JOM BACA >> Proton X70 MC1 bakal dilancar Mei ini, 5 pilihan varian
JOM BACA >> Pelancaran Proton X90 (VX11) mungkin ditunda ke tahun depan – TheEdge

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply