ARKIB

KATEGORI

Buletin

Volkswagen perkenal Tiguan 1.4 2WD facelift

Views

42-38653673

Volkswagen Group Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan Tiguan 1.4 2WD, sebuah SUV kompak yang diimport sepenuhnya dari Jerman.  Tiguan dilengkapi enjin petrol bersesaran 1.4 liter TSI bersama sistem pengecas turbo berkembar dan pancitan bahan api yang dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan untuk prestasi mengujakan.

Kombinasi ini mampu menghasilkan tork maksimum 240Nm yang bermula dari serendah 1,500rpm. Ini membolehkan Tiguan memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 198km/j. Tiguan memiliki rating penggunaan gabungan bahan api yang mengagumkan, 7.1 liter/100km.

“Tiguan merupakan sebuah SUV pacuan dua roda yang dinamik, menawarkan kuasa dan penjimatan bahan api untuk pemanduan berprestasi. SUV ini menawarkan pemanduan yang dinamik dan menyeronokkan,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Christoph Aringer.

Tiguan yang berpacuan dua roda dilengkapi sistem penghidup enjin start/stop automatik. Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi sistem brek janaan semula di mana tenaga kinetik yang terhasil sewaktu memandu dan membrek akan diubah untuk mengecas bateri kenderaan.

Tiguan didatangkan dengan sistem pengesan mengantuk ‘Rest Assist’, Electronic Stability Control (ESC), enam beg udara (dua di hadapan, dua sisi dan dua curtain), tali pinggang keledar tiga poin standard dan perehat kepala hadapan yang dioptimumkan keselamatannya. Tiguan juga dimuatkan dengan sistem penggera anti-kecurian untuk keselamatan yang tiada tandingan.

Bahagian dalaman Tiguan dipasang dengan tempat duduk ‘Milan’ Alcantara. Ia turut dilengkapi dengan brek parkir elektrik binaan dalam bersama ciri auto-hold, tuil gear dibalut kulit, cermin pandang belakang anti-silau automatik, lampu pada bahagian kaki, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan fungsi gelongsor, meja boleh lipat untuk tempat duduk hadapan, perehat tangan hadapan boleh laras, tempat duduk hadapan boleh laras, sistem tempat duduk boleh ubah dan 8 unit pembesar suara.

Dari bahagian luar, Tiguan mudah dikenali sebagai sebuah Volkswagen. Dengan gril radiator berwarna krom, SUV yang praktikal itu dilengkapi lampu utama jenis bi-xenon bersama lampu nyalaan siang LED (Tech Pack). Tidak terkecuali, talaan jarak lampu utama dan lampu ketika membelok yang dinamik (Tech Pack), lampu kabus di hadapan dan belakang, serta cermin sisi boleh lipat secara elektrik dan boleh dipanaskan (Tech Pack).

Biarpun tampil elegan, gayaannya yang rugged dan agresif diserlahkan menerusi rim aloi ‘Boston’ bersaiz 17 inci dan roof rail berwarna perak. Bukan itu sahaja, lampu keliling, kaca penebat haba, alat pengesan hujan dan parkir belakang, di samping penampilannya yang lebih lebar dan rendah memberikan Tiguan profil yang lebih tajam.

Tiguan didatangkan dalam lima pilihan warna: putih (Pure White), perak (Reflex Silver), Titanium Beige, kelabu (Pepper Grey) dan coklat (Toffee Brown). Tiguan ditawarkan pada harga RM178,888 dan pilihan Tech Pack berharga RM188,888.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment


  • Adakah mereka yang bergaji bawah RM5000 sebelum tolak ansuran rumah dan potongan lain mampu untuk beli kenderaan ini. Adakah relevan dengan perancangan kerajaan memberi harga subsidi hanya kepada mereka yang bergaji RM5000 ke bawah dengan kenderaan dibawah 2000cc? This car is a 1.4…

Leave a Reply