ARKIB

KATEGORI

Buletin

Hyundai perlihat rekaan Santa Fe generasi kelima, bakal dilancar Ogos nanti!

Berita Global

Views

Gergasi automotif Korea Selatan, Hyundai mula memperlihatan generasi kelima model SUV, Santa Fe yang tampil dengan gaya rekaan yang amat berbeza sama sekali dengan model generasi sebelumnya.

Santa Fe generasi kelima mengadaptasikan gaya reka bentuk luaran gaya ‘kotak’ yang kelihatan lebih moden dan agak radikal, serta rekaan lampu hadapan yang ranggi dengan menonjolkan motif huruf “H”.

Sekilas pandang, gaya rekaannya bolehlah diibaratkan sebagai “Abang Besar” kepada model SUV kecil terbaharu Hyundai di pasaran India, iaitu Exter.

Gaya rekaan terkininya yang diinspirasikan dari Land Rover Defender 130 itu ditonjolkan lagi menerusi penggunaan rim aloi bersaiz 21-inci yang dibaluti tayar berprofil 245/45 R21.

JOM BACA >> Lelaki ini menyesal beli kereta Honda selepas tuntutan waranti beberapa kali ditolak

Dari muncung hadapan hingga ke belakang, rekaan Santa Fe generasi kelima banyak dipengaruhi elemen kotak bagi menojolkan imej lasak serta memaksimakan ruang kabin agar menjadi lebih lapang.

Kedudukan lampu belakangnya kini agak ke bawah sedikit dan turut menampilkan motif huruf “H”, manakala lambang Hyundai dan nama Santa Fe pada pintu but belakang kelihatan ‘terlebih’ besar.

Ruang kabinnya pula tampil dengan gaya moden dan minimalis, dengan susun atur papan pemuka yang ringkas dan memaparkan dua skrin lengkung memanjang yang berfungsi sebagai kluster instrumen dan unit inforia.

Di bahagian konsol tengahnya kelihatan dua unit pengecas nirwayar, unit kawalan suhu pendingin hawa, perehat lengan dan ruang letak botol minuman.

Selain itu, bolong penghembus pendingin hawa tampil dengan rekaan melintang dan merentangi keseluruhan papan pemuka.

JOM BACA >> Gambaran awal Perodua D66B berdasarkan lakaran yang tertiris di media sosial

Penggunaan bahan plastik kitar semula turut kelihatan pada alas kaki, headliner, dan penyandar belakang pada tempat duduk baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahan mampan juga kelihatan pada kemasan kulit tiruan (leatherette) yang membaluti bahagian tepi pintu.

Buat masa ini Hyundai hanya mendedahkan reka bentuk Santa Fe dan tiada sebarang maklumat berkenaan dengan spesifikasi teknikalnya. Namun, dikatakan jarak antara gandar rodanya telah dipanjangkan.

Dari segi rangkaian kuasa, besar kemungkinan ia akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2.5 liter turbo Smartstream G2.5T-GDi yang menjana 277 kuasa kuda dan 422 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi 8-kelajuan DCT.

Ini berpandukan kepada emblem “2.5T” yang terpampang pada bahagian belakang. Hyundai akan merungkaikan spesifikasi lengkap Santa Fe menjelang pelancarannya yang dijadualkan bulan hadapan (Ogos) menerusi saluran YouTube.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Proton X90 dipertontonkan – Enjin hibrid ringan, empat varian, pilihan konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk
JOM BACA >> Terkejut jadi mangsa kemalangan, seekor kuda berlari ke tengah LPT2
JOM BACA >> Pemandu Honda HR-V seakan ‘sengaja langgar’ motosikal dalam video tular disaman
JOM BACA >> X90 (VX11) bakal jadi model NEV pertama Proton – Sah akan ada varian ‘mild’ hibrid!
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Honda WR-V generasi baharu mula turun beraksi

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply