ARKIB

KATEGORI

Info

INFO : Percaya atau tidak 12 tahun lalu moyang kepada Proton X70 ini sudah ada ciri Arahan Suara?

Views

Sesekali kita mengimbau kisah lama menarik juga kan? Sebelum itu, rasanya masih belum terlewat lagi untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2019 untuk pembaca setia laman web kami. Diharapkan semoga tahun ini memberikan lebih kecemerlangan dan kebaikan buat kita semua. Ok, berbalik kepada tajuk artikel, 12 tahun yang lalu Rakan Strategik Asing Proton, Geely telah memperkenalkan sebuah kereta sport konsep yang diberi nama Forwind (Fengyin di China) di Beijing Motor Show 2006.

Model konsep yang persis reka bentuk sebuah Batmobile ini sememangnya lain dari yang lain. Rekaannya diinspirasikan oleh jet pejuang halimunan Lockheed F-117 Night Hawk dan ia kelihatan lebih radikal dalam rupa yang sebenar. Geely Forwind (Fengyin) telah direka oleh Institut Penyelidikan Automobil Geely dengan kerjasama Jabatan Automobil Universiti Tsinghua. Ini bermakna, model konsep dua pintu ini adalah hasil rekaan anak tempatan di negara tembok besar tersebut.

Geely mengambil peranan dalam proses reka bentuk kenderaan, luaran dan dalaman manakala Tsinghua pula menghasilkan teknologi canggih baharu. Idea sebenar rekaan kereta konsep ini adalah untuk membuktikan kepada dunia keupayaan reka bentuk Geely dan Tsinghua pula mahu membuktikan yang mereka mampu membangunkan teknologi baharu automotif.

Apa teknologi baharu yang ada pada Geely Forwind (Fengyin) pada ketika itu?

Kita semua kena ingat pada tahun 2006, kebanyakan pembuat kereta China mengeluarkan kereta murah yang boleh dikatakan ‘haprak’ dengan teknologi enjin zaman tori selain reka bentuk yang merapu. Antara ciptaan yang diperkenalkan oleh Tsinghua pada model konsep Geely Forwind (Fengyin) adalah panel solar pada bumbung yang bertujuan untuk menjana beberapa sistem seperti pendingin hawa dan juga lampu.

Panel solar itu akan menyimpan tenaga yang diserapnya pada sebuah unit bateri, akan tetapi tenaga yang disimpannya tidak boleh digunakan untuk menggerakkan kereta tersebut. Tambah menyedihkan, Geely turut merahsiakan jenis enjin yang digunakannya pada model konsep tersebut. Sepatutnya mereka tidak melepaskan peluang keemasan pada ketika itu dengan memperkenalkan enjin hibrid atau elektrik.

JOM BACA >> SPEKULASI : Perodua sedang bangunkan SUV mini dari pelantar X-Concept?

Apa yang menarik, ciri Arahan Suara buat pertama kalinya diperkenalkan pada model tersebut hasil usaha sama Geely dan Tsinghua. Pada ketika itu ia menggunakan sebuah mikrofon dan ‘sampler digital’ yang boleh mengubah bunyi menjadi data, serta komputer yang akan menyalurkan data-data ini kepada komponen pengawal arahan suara yang boleh mengaktifkan pintu, lampu, sistem audio, sistem multimedia, dan sistem navigasi.

Mesti anda ingat ciri Arahan Suara Geely Boyue/Proton X70 dah sangat canggih sangat zaman sekarang, rupanya moyang dia dah pakai teknologi ini 12 tahun yang lalu. Sistemnya sama dan tiada beza dengan apa yang ada pada kedua-dua model itu tau! Canggih kan? Satu lagi inovasi menarik pada model ini adalah sistem diagnosis kendiri yang membolehkan kereta ini memeriksa dirinya sendiri secara berterusan dan sekiranya berlaku kerosakan atau perlukan penyelenggaraan, ia akan memberitahu pemandu dengan suara digital.

Dah macam KITT dalam cerita Knight Rider pulak. Bijak, bijak. Namun begitu tidak ada satu pun daripada sistem ini yang pernah ditunjukkan. Kalau nak bersangka baik, korang buat-buatlah percaya walaupun ada rasa curiga. Untuk mengulas mengenai reka bentuknya secara terperinci, kami sebenarnya tidak sanggup kerana secara keseluruhan reka bentuk model ini memang sangat pelik dan jelik pada mata kami.

Kebetulan pada tahun yang sama juga Proton telah mengeluarkan sebuah model konsep crossover dengan kerangka aluminium penuh, Proton MSX/Lotus APX hasil rekaan Lotus yang dipamerkan pada Geneva Motor Show 2006. Ia menggunakan enjin 3.0 liter turbo V6 yang mampu menghasilkan 300 hp pada 6250 rpm dengan 360 Nm tork pada 4500 rpm. Proton MSX/Lotus APX mampu memecut dari 0–60 mph hanya dalam masa 5 saat dan kelajuan tertingginya mencecah 245 km/j dengan purata penggunaan bahan api sekitar 8.7 liter/100 km. Sepatutnya inilah SUV atau crossover Proton yang pertama namun apakan daya ia tidak menjadi nyata.

Untuk membandingkan reka bentuk Geely Forwind (Fengyin) dengan Proton MSX/Lotus APX pada ketika itu sememangnya ibarat ‘langit dan bumi’ namun setelah 12 tahun Geely kini tampil lebih gah dengan rekaannya yang tersendiri. Dari segi teknologi, Geely Forwind (Fengyin) telah mendahului zaman dan inovasinya pada ketika itu telah mula digunakan pada model mereka yang terkini. Semoga dapat Proton mempelajari sesuatu daripada Geely dan kami juga berharap agar Proton mampu membangunkan inovasinya sendiri yang akan diguna pakai oleh Geely dan Volvo suatu hari nanti.

JOM BACA >> Mungkin inilah rupa SUV baharu Perodua

KLIK UNTUK BESARKAN

Geely Forwind (Fengyin) Concept 2006

Proton MSX/Lotus APX Concept 2006

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply