Ratusan penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) terperangkap selepas beberapa tren LRT terkandas akibat kejadian pokok tumbang membabitkan tren Laluan Ampang – Sri Petaling, petang semalam. Menurut Berita Harian, kejadian itu menyebabkan perjalanan tren daripada kedua-dua arah terpaksa dihentikan untuk keselamatan dan kerja-kerja menyelamat serta pembersihan.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan kejadian ribut menyebabkan tidak kurang daripada 13 pokok tumbang dan menimpa trek LRT sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras. Gangguan perkhidmatan mula berlaku sekitar jam 6.39 petang menyebabkan beberapa tren terkandas di atas trek sekali gus memerlukan kerja-kerja mengeluar dan menyelamatkan penumpang.
Proses itu terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana keadaan tanah yang licin dan berbecak di samping risiko panahan petir. Operasi mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa yang lebih lama daripada biasa atas sebab-sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa ribut, hujan dan petir yang berlaku pada masa itu.
JOM BACA >> INTIP : Proton Iriz MC3 crossover dirakam dari jarak dekat, terlihat sedikit bahagian dalam
Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang selesai jam 10.20 malam namun kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat akan berjalan sepanjang malam ini. Operasi mengeluar dan memindahkan penumpang dilakukan Pasukan Respons Kecemasan Rapid KL dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling. Bagi mengurangkan impak gangguan berkenaan, Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut itu.
Dalam kes berasingan, sebuah tren komuter yang membawa 70 penumpang terkeluar dari landasan di KM421.168 berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), petang semalam. Kejadian mengakibatkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut dan sebaliknya.
JOM BACA >> Proton X50 dipandu penasihat jualan alami kemalangan semasa dalam perjalanan untuk diserah kepada pelanggan?
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Zain Mat Taha, berkata tiada kemalangan jiwa membabitkan kakitangan mahupun orang awam. Katanya, roda koc terakhir dan koc kedua terakhir tren terbabit terkeluar dari landasan, menyebabkan laluan tren untuk komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terhalang sepenuhnya.
Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS laluan Gemas ke Padang Besar dan sebaliknya yang melalui laluan tersebut akan mengalami kelewatan ekoran insiden itu. Perkhidmatan tren komuter dari Sungai Gadut – Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Kajang manakala tren dari Stesen Batu Caves akan ditamatkan di Stesen Bangi. Tren ETS akan ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan dipindahkan menaiki bas ke Stesen KL Sentral.
Bagi pengguna KTM Komuter, KTMB menyediakan bas-bas perantara kepada penumpang terbabit dari Stesen Kajang ke Stesen Bangi dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat. Siasatan insiden itu juga akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu KTMB.
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> Bergesel dengan Exora terbabas punca gandar belakang Alza ini tercabut
JOM BACA >> Berkat jaga ibu sedang sakit, lelaki ini cuma bayar RM1 dan dapat beli Proton X50 di Shopee!
JOM BACA >> Gambaran 3D “King@Myvi” generasi keempat
JOM BACA >> INTIP : Perodua Ativa (D55L) mula tiba di bilik pameran
JOM BACA >> INTIP : Persona dan Iriz MC2 serta versi crossover dirakam dari jarak dekat – Sah pakai logo baharu dan skrin terapung
KOMEN TERKINI