TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia telah melancarkan Renault Zoe elektrik baharu. Seperti yang diumumkan ketika pratonton tahun lalu, Renault Zoe baharu didatangkan dalam dua varian.
Varian asas Zoe R110 ditawarkan pada harga ialah RM165,000 (atas jalan tanpa insurans), manakala Zoe R135 dengan spesifikasi lebih tinggi berharga RM179,000 (atas jalan tanpa insurans). Model ini juga ditawarkan menerusi pelan langganan 12 hingga 36 bulan.
Dilengkapi bateri terkini Renault 52kWh, Zoe baharu menawarkan lebih kuasa sehingga 135 PS dan 245 Nm daya kilas, serta jarak pemanduan mencecah 395 km mengikut piawaian WLTP. Ia boleh dicas dari 0-100 peratus dalam tempoh tiga jam sahaja menggunakan pengecasan AC 22 kW.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Wong Hoe Mun, pelanggan tidak perlu bimbang kerana terdapat 110 pusat pengecasan 22 kW AC di seluruh Semenanjung Malaysia, dan salah satunya terletak di bilik pameran utama Renault, Petaling Jaya.
Mereka yang berminat untuk melanggan Zoe baharu boleh mendapatkan Fixed Plan menerusi platform Renault Subscription.
Tiga pelan yang ditawarkan iaitu setahun, dua tahun dan tiga tahun dengan kadar bermula RM2,799 sebulan untuk Zoe R110 dan RM2,999 sebulan bagi Zoe R135.
Langganan Fixed Plan | Zoe R110 | Zoe R135 |
3 Tahun | RM2,799 sebulan | RM2,999 sebulan |
2 Tahun | RM3,299 sebulan | RM3,499 sebulan |
1 Tahun | RM3,799 sebulan | RM3,999 sebulan |
*Bayaran bulanan termasuk insurans, kos servis biasa dan kabel Type 2 AC.
Proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.
JOM BACA >> Proton X90 dipertontonkan – Enjin hibrid ringan, empat varian, pilihan konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk
EV ini menampilkan bateri Z.E. 50 yang sama dengan model terdahulu, namun mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh.
Ini membolehkannya menawarkan lebih kuasa dengan peningkatan lebih 20 peratus berdasarkan kepada piawaian WLTP – 395 km untuk Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135.
Kedua-dua varian itu menggunakan kotak gear satu-kelajuan untuk memacu roda hadapan, tetapi dengan konfigurasi motor yang berbeza.
Zoe R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan 225 Nm daya kilas. Angka itu membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.
Zoe R135 pula menerima motor 100 kW yang berupaya menghasilkan 135 PS dan 245 Nm daya kilas. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan pecutan maksimum 140 km/j.
Renault Zoe baharu menyokong pengecasan pantas sehingga 50 kW dengan sambungan CCS2 yang membolehkan pengecasan dari 10-80 peratus dalam masa 70 minit. Manakala pengecasan menggunakan AC Type 2 22 kW menawarkan 0-100 peratus dalam masa hanya tiga jam.
Mod B pula berfungsi meningkatkan kecekapan brek regeneratif Zoe baharu, dengan menukar tenaga kinetik menjadi elektrik sebanyak mungkin untuk meningkatkan jarak perjalanan.
Ia turut meningkatkan aspek nyahpecutan sebaik sahaja injak dilepaskan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menekan brek. Dimensi Renault Zoe baharu masih tidak berubah iaitu 4,087mm panjang, 1,562mm tinggi, dan 1,945mm lebar.
Dari segi reka bentuk, ia menampilkan hud hadapan yang telah diolah semula, ruang pengecasan pada logo Renault, bampar hadapan baharu, kemasan krom pada jeriji, lampu utama LED ‘Pure Vision‘, lampu siang (DRL) dan lampu kabus.
Rekaan hud hadapan telah diolah semula dengan penampilan yang lebih maskulin. Kontur baharu terarah ke bahagian tengah wajah dengan holografik logo permata Renault, yang menempatkan ruang pengecasan baharu.
Kedua-dua varian dilengkapi rim aloi rekaan lima jejari bersaiz 16 inci, brek cakera di depan dan belakang bersama tayar bersaiz 195/55.
Di ruangan kabin, Zoe baharu menampilkan panel instrumen digital untuk pemandu bersaiz 10-inci, sistem inforia Renault Easy Link dengan skrin sentuh 9.3-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu, ia turut dipasang sistem bunyi dengan enam unit pembesar suara secara standard.
JOM BACA >> Terkejut jadi mangsa kemalangan, seekor kuda berlari ke tengah LPT2
Kedua-dua varian hadir dengan cermin yang boleh ditala secara elektrik (boleh dilipat untuk Zoe R135), penderia parkir belakang, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED, kawalan suhu automatik dan panel kawalan baharu yang lebih ergonomik.
Zoe R135 mendapat tambahan dengan dua port USB di belakang, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, sensor parkir hadapan dan kemasan tempat duduk upholsteri fabrik baharu 100 peratus kitar semula menggunakan ‘yarn‘ sisir kasar.
Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula jadi berwarna hitam. Sementara Zoe R135 menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik.
Konsol tengah baharu kini menawarkan dua kali ganda ruang penyimpanan yang merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar. Ruang but bagaimanapun masih kekal 338 liter.
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan empat beg udara, amaran penukaran lorong (LDW), kawalan kestabilan elektronik (ESC), regulasi anti-gelincir (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (EBA) dan bantuan mendaki (HSA).
Varian Zoe R135 pula menerima ciri tambahan seperti pancaran lampu tinggi adaptif (AHB), amaran titik buta dan bantuan parkir bebas tangan.
Zoe R110 baharu didatangkan dengan pilihan warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu. Setiap Renault Zoe baharu dilengpai dengan kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas mudah alih.
Pelanggan yang membeli atau melanggan turut diberi pilihan pemasangan asas pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.
Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> X90 (VX11) bakal jadi model NEV pertama Proton – Sah akan ada varian ‘mild’ hibrid!
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Honda WR-V generasi baharu mula turun beraksi
JOM BACA >> Gambaran awal Proton X90 (VX11) warna Deep Marine Blue versi The Ajerul
JOM BACA >> Gambaran secara digital Perodua Axia 2023 (D74A), nampak macam “King” tapi bukan dia…
JOM BACA >> Theophilus Chin beri bayangan awal Perodua Myvi generasi keempat, guna asas Toyota Vios baharu
KOMEN TERKINI