ARKIB

KATEGORI

Buletin

Risiko enjin terbakar – KIA dan Hyundai panggil balik 533,000 unit kenderaan di Amerika Syarikat

Berita Global

Views

KIA dan Hyundai memanggil balik lebih dari setengah juta unit kenderaan keluaran mereka di Amerika Syarikat berikutan ada risiko kebakaran enjin. Autonews melaporkan dua gergasi kereta Korea itu telah memanggil balik sebanyak 378,000 unit model KIA Soul yang dikeluarkan antara tahun 2012-2016, 155,000 unit model Hyundai Tucson (2011-2013) dan KIA Sportage (2011-2012).

Kempen panggil balik telah dibuat secara berasingan untuk setiap model. Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA), model KIA Soul dengan enjin 1.6-liter mungkin mengalami suhu gas ekzos tinggi yang membolehkan zarah memasuki ruang pembakaran dan mencipta pembakaran enjin yang tidak normal.

Jika ia berterusan, rod penyambung omboh boleh menyebabkan blok enjin patah dan berlaku kebocoran minyak sehingga meningkatkan risiko kereta terbakar. Untuk menyelesaikan isu ini, juruteknik KIA akan menaik taraf perisian ECU berkaitan dan penukar bermangkin akan diganti jika ia menunjukkan tanda-tanda kerosakan – dan sama dengan enjinnya.

JOM BACA >> INTIP : Proton Persona facelift sedang jalani penggambaran iklan

Tucson dan Sportage pula dipanggil balik kerana kebocoran pan minyak (oil pan) yang disebabkan oleh tampalan yang tidak mencukupi semasa pemasangan. Sekiranya kereta dipandu untuk tempoh masa yang panjang dengan pan minyak bocor, enjin kenderaan itu boleh rosak dan meningkatkan kemungkinan risiko kebakaran.

Setakat ini kedua-dua syarikat tersebut tidak menyatakan butiran terperinci bagaimana mereka akan menyelesaikan isu ini, tetapi kemungkinan besar ia akan melibatkan penggantian atau menampal semula pan minyak.

Selain itu, KIA dan Hyundai juga akan menaik taraf perisian untuk 3.7 juta unit kenderaan yang tidak dipanggil balik dalam usaha untuk melindungi mereka daripada kerosakan enjin, dan juga akan menawarkan jaminan baharu untuk isu enjin.

Buat masa ini kami belum mendapat apa-apa maklumat dari pihak KIA Malaysia dan Hyundai-Sime Darby Motors berhubung dengan isu tersebut. Kami tidak pasti sama ada unit model sama yang dijual di Malaysia turut terkesan dengan isu ini dan akan memaklumkan kepada anda sekiranya memperolehi perkembangan terkini.

JOM BACA >> Tempahan Proton Iriz facelift 2019 mula dibuka esok – 5 varian ditawarkan

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply