ARKIB

KATEGORI

Buletin

Apa model baharu yang bakal dilancarkan Proton antara 2018 hingga 2023?

Views

Dalam satu taklimat kepada media semalam, Proton telah mendedahkan perancangan mereka untuk melancarkan satu model baharu setiap tahun. Foto tayangan slaid tersebut telah dimuat naik ke laman Facebook rakan media kami, Aurizn Malaysia beberapa jam yang lalu. Foto tersebut juga memaparkan bayangan beberapa model baharu yang bakal menjengah pasaran Malaysia bermula dari tahun 2018 hingga 2023.

Jika melihat kepada infografik dari slaid tersebut mulai tahun 2018, ia bermula dengan pengenalan model SUV Proton X70. Pada tahun 2019, ia menunjukkan seperti sebuah SUV dan kami jangka ia merupakan versi pemasangan tempatan (CKD) X70. Tahun 2020, Proton dijangka melancarkan sebuah lagi SUV dan mungkin inilah model X50 yang berkongsi pelantar dengan Geely Bin Yue/SX11.

Pada tahun 2021, Proton dijangka bakal melancarkan sebuah model sedan. Jika Prevé sudah ditamatkan pengeluarannya dan Proton mahu menggantikannya dengan model serba baharu, boleh jadi model yang dirancang itu adalah model penggantinya. Ia mungkin juga model baharu Persona kerana model faceliftnya bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

JOM BACA >> SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz dilancarkan – Harga bermula dari RM72,900

Tahun 2022, satu lagi model sedan bakal dilancarkan dan kami jangka ia mungkin model baharu Saga. Sebelum ini kami pernah mendengar desas-desus mengenai model serba baharu Persona dan Saga yang bakal diperkenalkan pada tahun 2021 dan 2022. Namun kami hanya menganggapnya sebagai ‘khabar angin’. Tahun 2023 pula nampaknya lebih menarik kerana Proton kembali memperkenalkan sebuah lagi SUV tetapi kami tiada langsung maklumat mengenainya.

Sekiranya Proton mengikut apa yang dirancangkan seperti yang tertera dalam slaid ini, kita sudah mendapat gambaran gambaran awal model yang akan diperkenalkan dalam tempoh enam tahun. Nampaknya hasrat kita untuk menikmati enjin TGDI Proton hasil usahasama Proton, Ricardo dan Lotus ‘terkubur’ begitu sahaja memandangkan Proton bakal menggunakan enjin dan transmisi yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo. Selain itu model Proton pada masa depan juga akan menggunakan teknologi ‘mobiliti terhubung’ dari Lynk & Co dan Volvo.

Barangkali model Lynk & Co 01 dan Lynk & Co 02 yang sering dikesan sejak kebelakangan ini ada hubung kait dengan teknologi tersebut. Ada juga yang mengatakan kedua-dua model ini sedang dipersiapkan untuk pemanduan sebelah kanan kerana Geely bakal melancarkan jenama tersebut ke Malaysia dan juga rantau ASEAN. Model-model ini bakal berkongsi kilang pengeluaran yang sama dengan Proton di Tanjung Malim.

Selain itu, Proton juga bakal mempertingkatkan model sedia ada dan antara model-model tersebut adalah Iriz MC2, Persona facelift dan yang terbaharu Exora MC4. Kami juga dimaklumkan model Saga akan turut mengalami fasa facelift dalam tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan. Kami yakin ada lagi model-model lain yang sengaja tidak dinyatakan dalam slaid tersebut, sebagai contoh model MPV yang dibangunkan dari Geely Jiaji.

Takkanlah semudah itu Proton nak membocorkan ‘rahsia besar’ kepada media supaya mereka boleh membuat spekulasi. Betul tak?

JOM BACA >> Gambaran digital ‘mirip model sebenar’ Proton Iriz MC2 rekaan TheAjerul

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

4 Comments

Leave a Reply