ARKIB

KATEGORI

Buletin

Geely siar imej rasmi Galaxy Starship 7, ini ke bakal ‘Proton e.MAS 7 PHEV’?

Berita Global

Views

Geely Galaxy telah mula menyiarkan imej rasmi SUV plug-in hybrid, Starship 7 yang dikuasakan oleh sistem Thor generasi baharu dari Geely. Pelancaran rasminya dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

Geely Galaxy Starship 7 telah diumumkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) pada bulan September lalu.

Menurut portal CarNewsChina, SUV bersaiz sederhana ini dibina berasaskan pelantar terbaharu dari Geely, iaitu Global Energy Architecture (GEA).

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,740 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,685 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 2,755 mm.

Penampilan luarannya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Geely Galaxy E5 dan Proton e.MAS 7, terutama sekali lampu siang (DRL) yang berbentuk tirus memanjang dan bersambung, diposisikan pada bahagian atas.

Lampu utamanya pula diletakkan pada bahagian atas bampar hadapan yang menampilkan gaya rekaan yang ringkas dan moden.

Di bahagian belakang, ia menggunakan susun atur corong ekzos tersembunyi dan dilengkapi dengan lampu belakang LED rekaan melintang. Di bawah lampu tersebut pula tertera lambang jenama “Geely”.

JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua

Dari pandangan sisi, badan SUV ini dilengkapi dengan pemegang pintu konvensional serta bumbung suria panorama.

Sistem plug-in hybridnya pula terdiri daripada enjin 1.5L (BHE15-BFN) dan motor elektrik hadapan, dipadankan dengan pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh sama ada SVOLT atau Sunwoda Electronic.

Rangkaian kuasa ini mempunyai output maksimum sebanyak 110 kuasa kuda. Menurut MIIT, Geely Galaxy Starship 7 dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 19.09 kWj dan 28.94 kWj, dengan jarak pemanduan elektrik tulen sejauh 101 km dan 150 km.

Penggunaan bahan api komprehensif adalah 4.85 liter/100km untuk varian 19.09 kWj dan 4.88 liter/100km untuk varian 28.94 kWj.

Berat kenderaan tanpa muatan pula masing-masing 1,724 kg dan 1,790 kg. Pengecasan pantas juga merupakan ciri standard untuk kedua-dua varian.

Buat masa ini, jarak pemanduan komprehensif belum diumumkan secara rasmi. Ruang kabinnya mengadaptasikan skema warna dwitona, kombinasi coklat dan hitam.

Kokpitnya dilengkapi dengan stereng rata berbilang fungsi jenis dua jejari, panel instrumen LCD terapung, skrin inforia besar, lampu suasana sekeliling, serta bolong pendingin hawa yang merentasi papan pemuka.

Selain itu, terdapat dua ruang penyimpanan telefon mudah alih dengan pengecasan nirwayar dan dua pemegang cawan pada konsol tengah.

JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu

Terdapat juga pembesar suara yang terletak di sebelah kanan atas papan pemuka, serta di hadapan tempat duduk penumpang hadapan.

Selain itu, konsol tengahnya dilengkapi dengan pelbagai butang fizikal dan tombol putar. Pembantu kecerdasan buatan (AI) dan sistem operasi kokpit pintar Flyme Auto juga dijangka terdapat pada model ini.

Adakah Geely Galaxy Starship 7 bakal model Proton e.MAS 7 PHEV?

Dalam artikel terdahulu, penulis telah berjaya menemukan beberapa permohonan tanda dagang baharu atas nama e.MAS 3e.MAS 5 dan e.MAS 7 PHEV yang telah didaftarkan menerusi tiga kategori.

Permohonan telah didaftarkan oleh ejen, Amera binti Mohd Yusof/Amera & Associates Advocates bagi pihak Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd di portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Kesemua nama tersebut telah didaftarkan di bawah tiga kategori yang berbeza, iaitu:

  • Kelas 12 di bawah kategori kereta, kenderaan elektrik, automobil motor dan lain-lain.
  • Kelas 16 di bawah kategori bahan promosi bercetak, risalah pengiklanan, poster, gambar, beg barangan cenderahati  dan lain-lain.
  • Kelas 35 di bawah kategori pengiklanan, pengurusan perniagaan, pemasaran media sosial dan membekalkan informasi perniagaan menerusi laman sesawang dan lain-lain.

Ini seolah-olah memberi petunjuk awal kepada pengesahan nama rasmi kepada beberapa model baharu di bawah jenama Proton e.MAS, selepas  e.MAS 7 yang bakal dilancarkan pada bulan Disember nanti.

Nama ‘e.MAS 7 PHEV’ telah mencuri tumpuan penulis dan besar kemungkinan ia adalah model kembar kepada Geely Galaxy Starship 7.

Model ini akan diletakkan pada kedudukan lebih tinggi sedikit berbanding Galaxy E5 dan akan dilancarkan ke pasaran China pada suku keempat (Q4) tahun ini.

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto kredit Geely Galaxy Weibo

JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?
JOM BACA >> Meskipun sambutan agak sendu, Geely tetap lancar model ‘Proton Exora tak jadi’, Jiaji 2025 di China
JOM BACA >> INTIP: Mitsubishi Xforce dengan Xpander facelift ke tu? Nak ke mana la agaknya ye…

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply