ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda BR-V dengan gaya baharu diperkenalkan – Harga bermula dari RM89,900

Berita Tempatan

Views

Honda Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan model BR-V facelift 2020 bersama-sama dua Kempen Bantuan Kemasyarakatan dalam menyokong program – program bantuan COVID-19. Tempahan model BR-V facelift telah mula dibuka sejak tiga bulan yang lalu.

BR-V facelift ditawarkan dengan dua pilihan varian iaitu E dan V. Harga yang ditawarkan bermula dari RM89,900 untuk varian E, manakala varian V dijual pada harga RM96,900. BR-V facelift tampil dengan beberapa penambahbaikan, terutama pada rekaan luarannya yang tampak lebih maskulin dan menyerlahkan konsep rekaan “Active-Solid Motion“.

Ia kini kelihatan lebih lasak dengan jeriji depan baharu, bampar depan baharu dengan kemasan bampar rendah depan, kemasan lampu kabus depan baharu serta rim aloi 16-inci dwi-tona dengan reka bentuk baharu. Imej sporty terserlah di bahagian belakang dengan antena sirip baharu dan bampar belakang baharu dengan kemasan bampar rendah belakang.

JOM BACA >> INTIP : Honda City Hatchback mula turun ke jalan raya

Dari segi prestasi, BR-V facelift masih mengekalkan enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang digandingkan dengan kotak gear CVT. Kombinasi ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 120PS, tertinggi dalam kelasnya. Model yang dikemaskini ini turut dilengkapi dengan tuil gear tangan (paddle shift). BR-V facelift mempunyai kapasiti kargo sebanyak 223 liter apabila semua tempat duduk digunakan dan ia bertambah kepada 539 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Selain itu, beberapa ciri nilai tambah baharu diperkenalkan seperti pembesar suara jenis “tweeter“, lampu kargo dan penapis kabin. Varian V dilengkapi dengan paparan audio 7-inci, tempat duduk dibalut kulit dengan kemasan merah serta rekaan tombol gear dengan perincian bebenang merah. Pendingin hawa automatik, butang penghidup enjin dan kemasukan pintar tanpa kunci adalah ciri standard pada Varian E.

Lima pilihan warna ditawarkan, White Orchid Pearl, Model Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, Passion Red Pearl dan termasuk satu warna baharu Marine Purple Pearl, yang pertama kali diperkenalkan dalam barisan model Honda Malaysia.

JOM BACA >> Proton X70 2020 kini dengan Pembersih Udara Pintar

Bersempena dengan pengenalan BR-V facelift Honda Malaysia turut melancarkan dua Kempen Bantuan Kemasyarakatan. Salah satunya ialah “Be Kind With BR-V” yang akan bermula dari 2 Jun hingga 31 Ogos 2020. Honda Malaysia akan mendermakan sejumlah sumbangan kepada program-program bantuan COVID-19 bagi setiap unit BR-V facelift yang berjaya dijual.

Kempen yang kedua “Honda Dealer Donation Drive” pula bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2020 yang melibatkan kerjasama dengan kumpulan pengedarnya dalam menyokong komuniti yang terjejas di kawasan kejiranan mereka. Para pelanggan boleh mengunjungi pengedar terdekat untuk menderma barangan asas seperti makanan kering atau barangan keperluan rumah. Sumbangan yang diterima akan dikumpulkan dan dihantar kepada komuniti yang memerlukan di kawasan berhampiran.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama, pihaknya akan menyediakan persekitaran yang selamat dan disanitasi untuk ketenangan para pelanggan sesuai dengan norma baharu. Tambah beliau lagi, dengan pelancaran BR-V facelift pihaknya yakin model ini akan terus mendapat penerimaan positif daripada pasaran.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Satria Neo X : Model ikonik Proton berubah menjadi crossover kompak dua pintu
JOM BACA >> MESTI BACA : Simulator Perlumbaan – Apa yang anda perlu tahu
JOM BACA >> Proton PM5 ‘menjelma kembali’ dalam bentuk imej 3D
JOM BACA >> Kereta Proton beraksi dalam filem Extraction di Netflix
JOM BACA >> Proton Arena generasi baharu dijelmakan dalam bentuk 3D

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply