ARKIB

KATEGORI

Buletin

Lotus Evija diperkenalkan – 130 unit sahaja, 1,973 kuasa kuda!

Berita Global

Views

Akhirnya, setelah beberapa siri iklan acah, Lotus dengan rasminya memperkenalkan hypercar elektrik pertamanya, Evija. Model yang sebelum ini dikenali dengan Type 130 dipacu oleh empat motor elektrik yang menghasilkan output 1,973 kuasa kuda dan 1,700 Nm daya kilas. Menurut Lotus, hypercar ini mampu memecut dari 0-100 km/j, kurang dari 3 saat! Ini bakal menobatkannya sebagai kereta pengeluaran paling berkuasa di dunia.

Kelajuan maksimanya pula mampu mencecah sehingga 320 km/j. Kesemua motor elektriknya dijana oleh pek bateri lithium-ion yang dipasang pada bahagian tengah dan ia membolehkan hypercar ini bergerak sejauh 400 km untuk sekali cas. Baterinya juga boleh dicas dengan pantas dan mampu menerima 800 kW elektrik menerusi unit pengecas yang buat masa ini masih lagi belum dikomersialkan.

Jika ia mula dikeluarkan, Evija hanya memerlukan hanya 9 minit untuk dicas sepenuhnya. Setakat ini pengecas paling pantas yang ada hanya mempunyai kapasiti 350 kW. Dengan menggunakan unit pengecas ini, ia memerlukan 12 minit untuk mengecas Evija sebanyak 80 peratus dan untuk cas penuh ia mengambil masa 18 minit sahaja.

Evija dibina dari casis monocoque gentian karbon ultra-ringan yang hanya seberat 129 kg. Ini menjadikannya hypercar paling ringan dengan berat keseluruhannya 1,680 kg. Lotus berkata, kereta ini direka untuk mengoptimumkan prestasi ekstrem di litar dan pada masa yang sama selesa untuk dipandu di jalan biasa.

JOM BACA >> PANAS : Lagi foto Proton Saga facelift 2019 tertiris, mungkin varian Standard

Untuk menjayakan misi ini, ia telah dilengkapi dengan sistem suspensi yang menampilkan tiga peredam (damper) adaptif spool-valve pada setiap gandar. Evija turut dipasang dengan rim magnesium 20 dan 21 inci yang dibalut dengan tayar Pirelli Trofeo R.

Ia perkasakan lagi dengan sistem brek AP Racing forged aluminum dengan cakera karbon seramik. Ketika kenderaan elektrik tidak sesuai untuk litar, Lotus berkata Evija dilengkapi dengan empat-radiator yang membantunya untuk mengekalkan pek bateri pada suhu yang optimum.

Rekabentuk

Sememangnya Evija merupakan model Lotus yang lain dari yang lain. Ia seperti memberi isyarat kepada permulaan gaya reka bentuk baharu yang lebih kontemporari. Muncung depannya tidak lagi seperti rekaan tipikal Lotus, walaupun unsur rekaan warisannya masih kelihatan di situ.

Rekaan bertingkat lampu depannya sangat unik dan ia menggunakan teknologi lampu laser yang dihasilkan oleh Osram. Sekilas pandang dari sisi, ia mengingatkan kami kepada model Lotus Hot Wheels Concept yang diperkenalkan pada tahun 2007. Paling unik adalah rekaan kamera pandangan sisi yang tersembunyi dalam fender roda depan dan hanya akan timbul apabila kunci kereta ini dibuka.

Evija turut dilengkapi dengan aerodinamik aktif yang merangkumi spoiler belakang aktif dan Sistem Pengurangan Seretan seperti jentera lumba Formula 1. Ia juga mempunyai terowong Venturi yang mengoptimakan aliran udara menerusi badannya.

JOM BACA >> INTIP : Proton Saga facelift 2019 varian Premium dikesan di dua lokasi berbeza

Diffuser belakangnya nampak besar dan satu lagi keunikan pada kereta ini adalah lampu belakang LED berbentuk lingkaran yang diinspirasikan dari afterburner jet pejuang. Slot pengecas pula tersembunyi di bahagian belakang selain tulisan L O T U S bercahaya yang turut berfungsi sebagai lampu undur.

Apabila pintu gaya kepaknya dibuka, kita dapat melihat satu ruang kabin yang cukup minimalis dan sangat futuristik. Boleh dikatakan hampir keseluruhan ruang kabinnya dihiasi oleh unsur gentian karbon dengan rekaan papan pemuka yang seolah-olah terapung.

Paparan pada instrumen panel adalah digital sepenuhnya dan ia boleh dikawal melalui stereng seperti kereta lumba F1 yang dibaluti Alcantara. Apa yang paling menyerlah di ruang kabin adalah konsol tengah gaya cerun ski yang nipis dan mempunyai beberapa butang kawalan sentuh haptic berbentuk heksagon.

Tempat duduk Evija pula dihasilkan dari bahan gentian karbon yang dibaluti dengan upholsteri Alcantara. Tali pinggang keledar tiga-poin merupakan ciri standard, namun abah-abah empat-poin turut ditawarkan sebagai pilihan.

Harga

Pengeluaran adalah terhad sebanyak 130 unit sahaja dan Lotus pada ketika ini sedang mula menerima tempahan dengan deposit sebanyak RM1.275 juta (USD 310,177). Model pertamanya akan mula dibina pada tahun depan dan setiap unit berharga RM8.636 juta (USD 2.1 juta)!

JOM BACA >> INTIP : Proton uji Saga facelift 2019 varian Standard
JOM BACA >> Gambaran reka bentuk rim 15 inci Proton Saga facelift 2019
JOM BACA >> Proton Saga facelift 2019 – Harga mungkin turun, ini yang pasti ada
JOM BACA >> PANAS : Foto papan pemuka Proton Saga facelift 2019 varian Standard pula tertiris

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply